PUTRAJAYA, 06 JUN 2025 - Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Fadzil, telah menyampaikan tausiah sulungnya kepada warga Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dalam satu sesi khas yang diadakan di Dewan Syura, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa konsep rahmah merupakan asas yang sangat penting dalam pengeluaran fatwa. Konsep ini bukan sahaja mencerminkan keindahan Syariah, malah memastikan bahawa setiap panduan yang diberikan mampu menyantuni realiti kehidupan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan agar nilai rahmah diterapkan dalam hubungan sesama warga jabatan. Sikap saling menyayangi, menghormati dan berlapang dada antara satu sama lain akan menghasilkan suasana kerja yang harmoni, memperkukuh kerjasama, dan memudahkan pelaksanaan tugas secara kolektif dan tersusun.