KUALA LUMPUR, 6 JUN 2025 — Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan telah menyampaikan khutbah Jumaat buat kali pertama di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. Kehadiran beliau sebagai khatib disambut baik oleh para jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat. Khutbah yang disampaikan dengan penuh semangat dan keinsafan itu telah memberi kesan mendalam kepada para jemaah. Suasana masjid menjadi sangat tenang dan khusyuk, mencerminkan penerimaan dan tumpuan penuh daripada hadirin.
Para jemaah turut memberikan maklum balas positif terhadap penyampaian khutbah oleh Sahibus Samahah, yang disifatkan sebagai tersusun, berkesan dan menyentuh aspek kerohanian secara mendalam. Beliau juga berjaya mengekalkan tumpuan penuh jemaah sepanjang khutbah disampaikan. Pihak pengurusan masjid memaklumkan bahawa pada hari tersebut, suasana masjid sangat tertib dan tenang tanpa sebarang gangguan, termasuk daripada kanak-kanak — sesuatu yang jarang berlaku pada solat Jumaat biasa.
Kehadiran Mufti Wilayah ini disambut baik oleh para jemaah, yang berharap agar beliau terus diberi ruang untuk menyampaikan khutbah pada masa akan datang sebagai panduan rohani dan pengukuh perpaduan masyarakat.