اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

SESI PERBINCANGAN MENGENAI IJTIHAD KONTEMPORARI BERSAMA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

PUTRAJAYA, 28 Julai 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menghadiri satu sesi perbincangan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang berlangsung di Akademi Kehakiman Syariah Malaysia.

Sesi perbincangan ini mengangkat tema "Ijtihad Kontemporari Dalam Perancangan Harta Islam: Manhaj Kefatwaan Terhadap Inovasi Produk Hibah, Wasiat dan Takaful Dalam Pasaran Moden", yang memberi fokus kepada perbahasan hukum dan pendekatan kefatwaan terhadap perkembangan produk-produk perancangan harta Islam selaras dengan keperluan semasa.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YAA Tuan Haji Mohd Asri bin Haji Tahir, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, bersama para hakim Mahkamah Syariah dari seluruh Malaysia.

Perbincangan ilmiah ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kerjasama antara institusi kefatwaan dan kehakiman syariah bagi memastikan pengeluaran pandangan hukum yang lebih mantap, berautoriti dan responsif terhadap inovasi dalam pasaran moden. Selain itu, sesi ini turut membuka ruang percambahan fikiran dalam memperkasakan aplikasi fiqh semasa bagi menjamin kemaslahatan umat serta memperkukuhkan tadbir urus perancangan harta Islam di Malaysia.

Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh institusi perundangan dan kefatwaan Islam demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan sistem kewangan dan perancangan harta Islam yang berteraskan syariah.