Mukadimah
Arak atau khamar merupakan antara isu sensitif yang sering menjadi tumpuan masyarakat terutamanya bagi negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam seperti Malaysia. Pengharaman arak dalam Islam adalah suatu perkara yang muktamad dan jelas. Mutakhir ini, timbul kembali polemik berkaitan penyediaan atau penonjolan minuman berunsur arak dalam majlis-majlis rasmi yang berkaitan dengan pihak kerajaan. Persoalan ini tidak hanya melibatkan aspek syarak semata-mata, tetapi turut menyentuh soal adab, moral, norma masyarakat dan imej negara di mata dunia. Oleh itu, amat penting bagi semua pihak khususnya yang mewakili entiti kerajaan dan negara untuk memahami dan menghormati batas-batas yang ditetapkan demi memelihara keharmonian dan jati diri Malaysia.
Pengharaman Arak dalam Islam
Pengharaman arak telah ditegaskan dengan jelas dalam sumber al-Quran dan al-Sunnah, begitu juga larangan terhadap penglibatan umat Islam dalam segala urusan berkaitan dengannya.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Ma'idah (90)
Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa arak termasuk dalam kategori kotor atau keji dan ia merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan. Lantaran itu, umat Islam diperintahkan supaya menjauhi arak yang juga membawa maksud suatu bentuk pengharaman yang mutlak.
Selain itu, Rasulullah SAW turut melaknat sepuluh golongan yang terlibat dalam urusan arak termasuklah penyediaannya. Baginda SAW bersabda:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak. Orang yang memerah arak, orang yang meminta agar diperah, orang yang minum, orang yang membawa, orang yang meminta agar dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual, orang yang mengaut keuntungan hasil daripada jualan arak, orang yang membeli dan orang yang dijual kepadanya.”
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa penglibatan umat Islam dalam sebarang bentuk urusan berkaitan arak termasuk menyediakan dan menuangkannya (adalah dilarang keras.
Prinsip umum dalam Islam juga melarang umatnya bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Surah al-Ma'idah (2)
Fuqaha dalam mazhab al-Syafi‘i bersepakat bahawa penglibatan seorang Muslim dalam majlis yang mengandungi unsur maksiat seperti menawarkan hidangan arak adalah haram. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menghadiri sesuatu kemungkaran dan tidak mengingkarinya akan menyebabkan seseorang dianggap reda terhadapnya. Beliau menjelaskan bahawa reda terhadap maksiat itu sendiri adalah satu maksiat, justeru menjadi haram untuk seseorang kekal duduk di tempat tersebut. Sekiranya individu tersebut tidak mampu untuk mengingkari kemungkaran, maka wajib baginya untuk bangun dan meninggalkan tempat tersebut[1].
Perkara ini kemudiannya dijelaskan lagi oleh Imam al-Syirbini yang berpandangan bahawa haram bagi umat Islam untuk menghadiri majlis hiburan dan kebatilan sekiranya majlis tersebut turut mengandungi arak, nyanyian yang melalaikan atau perkara-perkara seumpamanya[2]. Jelas beliau, keharaman ini disebabkan oleh kewujudan unsur membesarkan dan mengakui kemungkaran di majlis tersebut dan beliau menegaskan bahawa perkara itu diharamkan secara ijmak (kesepakatan ulama).
Selain itu, arak juga bercanggah dengan konsep taqbih (pengingkaran atau penilaian buruk) dalam ilmu kalam yang peranannya dimainkan oleh akal. Menurut prinsip ini, akal yang sejahtera mampu menilai bahawa perbuatan meminum arak adalah perbuatan yang keji dan memudaratkan kerana ia menghilangkan keupayaan berfikir dan menurunkan martabat manusia ke tahap yang rendah. Dalam kerangka maqasid syariah, pengharaman arak jelas bertujuan bagi memelihara akal manusia daripada unsur yang boleh merosakkannya. Justeru, larangan arak bukan sekadar ketetapan hukum semata-mata, bahkan ia menzahirkan hikmah syariah dalam menjaga kesempurnaan fungsi akal yang menjadi asas kepada taklīf (pertanggungjawaban hukum).
Imam al-Shatibi menjelaskan bahawa antara objektif utama syariah ialah ḥifẓ al-‘aql (memelihara akal). Beliau menegaskan bahawa segala perkara yang boleh merosakkan fungsi akal seperti arak dan bahan memabukkan wajib dicegah kerana kerosakan akal membawa kepada hilangnya keupayaan manusia dalam menunaikan tanggungjawab syarak[3].
Di samping itu, sarjana Islam kontemporari juga telah membincangkan realiti pengambilan arak dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang tinggal dalam sesebuah negara Islam. Menurut Sheikh Abdul Karim Zaydan, harus bagi Ahl al-Dhimmah untuk meminum arak dan memakan khinzir sekiranya agama mereka membenarkan, namun ia disyaratkan agar tidak mengganggu keselamatan negara, tidak menzahirkan kemungkaran dan tidak memudaratkan orang Islam. Syarat-syarat utamanya ialah[4]:
- Minum arak hanya di rumah atau tempat khas mereka, bukan di tempat awam atau jalan raya.
- Tidak meninggikan suara atau menzahirkan perbuatan tersebut.
- Haram menjual arak kepada orang Islam dan haram menjualnya secara terang-terangan di hadapan orang Islam walaupun kepada Dhimmi yang lain.
- Haram memasuki masjid dalam keadaan mabuk.
Undang-Undang dan Pekeliling Negara
Walaupun tiada akta persekutuan yang secara khusus melarang hidangan arak dalam semua majlis kerajaan secara mutlak, namun dasar-dasar negara dan pekeliling sedia ada menggariskan keperluan bagi majlis rasmi kerajaan untuk mematuhi status Malaysia sebagai negara Islam dan negara majoriti Muslim. Antaranya ialah:
- Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1) menetapkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Ini bermaksud setiap dasar dan pelaksanaan yang melibatkan kerajaan mestilah menghormati prinsip dan nilai Islam sebagai agama rasmi negara[5].
- Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi) menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan hendaklah mematuhi tatacara dan etika yang sesuai dengan norma masyarakat serta tidak menimbulkan sensitiviti agama[6].
Analisis dan Realiti Semasa
Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, tetapi juga mencerminkan hakikat bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Oleh itu, penyediaan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan bertentangan dengan roh Perlembagaan serta menyinggung sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Pada masa yang sama, Malaysia juga telah dikenali sebagai Hab Halal Global yang menjadi rujukan antarabangsa dalam aspek pensijilan halal. Sejajar dengan itu, penghidangan arak dalam majlis rasmi yang melambangkan kerajaan hanya mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasi Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia.
Arak juga dikaitkan dengan kesan sosial yang serius seperti kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kadar pengambilan alkohol yang tinggi dan mabuk. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 213 kes kemalangan maut dilaporkan sepanjang tahun 2024 berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol. Sementara bagi separuh pertama tahun 2025, sebanyak 87 kes telah direkodkan[7]. Situasi ini menunjukkan bahawa arak bukan sahaja diharamkan atas dasar agama, malah mendatangkan kemudaratan nyata terhadap keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
Berdasarkan perbincangan di atas, kami ingin menggariskan tiga prinsip utama bagi semua pihak, terutamanya yang berkaitan dengan urusan kerajaan dan negara:
- Pengesahan Halal Wajib: Sebarang program atau majlis yang dianjurkan oleh agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan atau yang melambangkan identiti negara mestilah menghidangkan makanan atau minuman yang telah disahkan sebagai halal oleh pihak berautoriti (JAKIM atau JAIN).
- Larangan Penggunaan Simbol Kerajaan: Penganjuran majlis yang menghidangkan minuman arak tidak boleh melibatkan sebarang logo, lambang atau label yang melambangkan pihak kerajaan mahupun negara.
- Bukan Acara Awam/Terbuka: Penganjuran majlis sedemikian mestilah berlangsung dalam keadaan yang tertutup dan tidak boleh disiarkan secara terbuka kepada masyarakat bagi memelihara sensitiviti agama dan norma sosial majoriti.
Kesimpulan
Perbuatan menghidang atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan hukum syarak, moral, dan undang-undang negara. Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya. Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan Hab Halal Dunia, tindakan sebegini hanya mencemarkan imej negara serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
Oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam demi memelihara keharmonian serta perpaduan nasional.
[1] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab (Beirut: Dar al-Fikr, t.t), 9: 289.
"إذا حضرَ مُنكَرًا ولم يُنكرْهُ، كانَ راضيًا به، والرِّضا بالمعصيةِ معصيةٌ، فحرُمَ عليه الجلوسُ في ذلك الموضعِ، فإنْ عجزَ عن الإنكارِ وجَبَ عليه القيامُ والانصرافُ عنهم."
[2] al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t), 4:433.
"ويحرُمُ حضورُ مجالسِ اللهوِ والباطلِ إذا اشتملتْ على محرَّمٍ كخمرٍ أو غناءٍ أو نحوِهما، لما في ذلك من تعظيمِ المنكرِ وتقريره، وهو حرامٌ إجماعًا."
[3] Abu Ishaq al-Shatibi, al-Muwafaqat fi Usul al-Shariah, jld. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003),9.
[4] Abdul Karim Zaydan, Ahkam Ahl al-Zimmah wa al-Musta'manin fi Dar al-Islam (Beirut: Mu’assasat al-Risalah, 1982), 202–203.
1. لا يجوز لهم شرب الخمر في الأماكن العامة والشوارع، وإنما يكون ذلك في بيوتهم، أو في الأماكن الخاصة بهم. 2. ولا يجوز لهم أن يرفعوا أصواتهم عند شربها، أو يتظاهروا بما يدل على ذلك، كأن يتطابخوا بما يشير إلى تناولها.3. ولا يجوز لهم بيع الخمر للمسلمين، ولا يجوز لهم بيعها علناً، بحيث يراه المسلمون، ولو كان البيع لذمِّيٍّ مثله.4. ولا يجوز لهم دخول المساجد وهم سكارى.
[5] Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 3(1).
[6] Perbendaharaan Malaysia, Pekeliling Perbendaharaan WP5.1: Keraian Rasmi Kerajaan, 2018.
[7] Polis Diraja Malaysia, Laporan Statistik Kemalangan Berkaitan Alkohol 2024–2025, Bukit Aman, 2025.