
MAQASID UMRAN SEBAGAI KERANGKA MEMBANGUN INFRASTRUKTUR NEGARA
Mukadimah
Perbincangan tentang maslahat ummah ini tidak wajar dilihat melalui lensa polemik politik semata-mata, tetapi hendaklah dinilai melalui prinsip maqasid syariah dan kerangka pembangunan masyarakat. Hal ini sebagaimana yang telah dibahaskan oleh para ilmuwan Islam sejak zaman berzaman.
Dalam tradisi pemikiran Islam, pembangunan fizikal seperti jalan raya, jambatan, jaringan pengangkutan dan kemudahan awam termasuk dalam apa yang disebut sebagai maqasid umran merupakan satu pendekatan yang menilai pembangunan bukan sekadar pada struktur, tetapi pada tujuan kemanusiaan yang wujud disebaliknya. Fasiliti yang memudahkan kehidupan rakyat adalah sebahagian daripada usaha menegakkan maslahat, mengangkat darjat kehidupan, memakmurkan negara dan memastikan keadilan dapat dirasai seluruh warga.
Pembangunan bukanlah sekadar batu, simen dan besi, tetapi ia merupakan manifestasi kasih sayang, ihsan dan tanggungjawab sosial. Inilah intipati maqasid umran dalam membina negara yang sejahtera melalui infrastruktur yang memudahkan manusia, melindungi dan menghubungkan mereka di antara satu sama lain.
Hadis Rahmah sebagai Asas Kemanusiaan
Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya pada 8 Disember 2025, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membaca hadis Rasulullah SAW:
الرَّاحِمونَ يرحَمُهم الرَّحمنُ تبارَك وتعالى؛ ارحَموا مَن في الأرضِ يرحَمْكم مَن في السَّماءِ
Maksudnya: Orang yang penyayang akan disayangi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih. Kasihilah sesiapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi oleh sesiapa yang di langit.
Riwayat al-Tirmizi
Hadis ini tidak menyentuh isu kaum, agama atau kelompok tertentu. Ia adalah anjuran universal tentang sifat rahmah iaitu kasih sayang dan ihsan terhadap semua manusia. Maka mana-mana perbuatan yang membawa manfaat kepada manusia seluruhnya adalah satu bentuk taqarrub (pendekatan diri) kepada Allah.
YAB Perdana Menteri memberikan anologi mudah sebagai suatu bentuk pesanan buat warga kerja Kementerian Kerja Raya dengan menyebut:
“Merangka untuk membina jambatan, niatnya apa? Kerana kasih sayang kepada sesama manusia yang tidak boleh menyeberang dengan baik. Jadi memberikan kemudahan kerana kasih kepada manusia”
Ucapan ini menggambarkan prinsip maqasid umran secara praktikal di mana pembangunan infrastruktur harus berasaskan rahmah dan niat memudahkan kehidupan rakyat, memenuhi hak keselamatan mereka, kelancaran pergerakan dan kesejahteraan sosial.
Infrastruktur Jalan Raya: Manfaat dan Pengiktirafan Antarabangsa
Malaysia selama ini mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai antara negara yang mempunyai jaringan jalan raya berkualiti di dunia.[1] Rangkaian lebuh raya yang tersusun, jambatan yang menghubungkan wilayah serta sistem jalan yang terancang telah menjadikan Malaysia destinasi yang mudah diakses.
Kemudahan ini secara langsung menggalakkan kemasukan pelancong sebagi salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pelancong bukan sahaja membawa masuk pendapatan, tetapi turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat seperti penginapan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan. Semua ini adalah hasil daripada infrastruktur fizikal yang dirancang dengan baik, berfungsi dan terpelihara.
Di sinilah hadis rahmah tadi menemukan maknanya dalam konteks kontemporari dalam menyediakan kemudahan yang memudahkan manusia bergerak, mencari rezeki, melawat keluarga, membangunkan perniagaan serta menikmati keindahan negara. Semua ini adalah bentuk ihsan yang dituntut oleh agama.
Penutup
Tinta ini ingin menegaskan bahawa agama Islam bukan sekadar teks, tetapi ia adalah panduan membina tamadun dan memakmurkan kehidupan. Hadis rahmah yang dibacakan YAB Perdana Menteri menerangkan tentang konsep rahmah dan kemanusiaan yang menjadi suatu prinsip besar dalam ajaran Islam bagi memandu pembangunan negara. Selagi pembangunan dilaksanakan atas dasar kasih sayang, ihsan dan maslahat, maka ia termasuk dalam tuntutan maqasid syariah dalam membentuk karamah insaniah. Oleh itu, wajar bagi kita melihat isu ini dengan pandangan yang luas, berakhlak dan berteraskan ilmu, bukan prejudis mahupun sentimen. Semoga Malaysia terus membangun sebagai sebuah negara baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur iaitu negeri yang sejahtera serta mendapat limpah rahmat Tuhan.
Wallahua'lam
Rujukan:
[1] Rujuk https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1467062/kualiti-lebuh-raya-terima-pujian-antarabangsa-nanta-linggi