اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 52/2025: BUDI95 DAN PRINSIP AMANAH: MENJAGA KEBAJIKAN RAKYAT, MEMELIHARA KEMASLAHATAN NEGARA

TintaMufti.jpg

 

BUDI95 DAN PRINSIP AMANAH: MENJAGA KEBAJIKAN RAKYAT, MEMELIHARA KEMASLAHATAN NEGARA

Subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan skim subsidi petrol bersasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia di bawah inisiatif BUDI MADANI untuk memastikan subsidi petrol RON95 benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia yang layak dan mengurangkan ketirisan serta penyeludupan yang berlaku di bawah sistem subsidi umum sebelum ini. Di bawah program ini, rakyat Malaysia mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan dapat menikmati pembelian petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Inisiatif kerajaan dalam memberikan subsidi petrol wajar dipuji kerana ia mencerminkan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan rakyat, walaupun pada hakikatnya pemberian subsidi bukanlah suatu kewajipan mutlak kerajaan. Langkah ini hakikatnya menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya melibatkan keperluan asas seperti bahan api.

Rakyat sewajarnya bersyukur atas inisiatif kerajaan memperkenalkan subsidi BUDI95 yang jelas dapat meringankan beban kos sara hidup dan menjaga kebajikan rakyat. Pada masa yang sama, subsidi ini juga merupakan satu amanah yang wajib untuk dijaga bersama, kerana penyalahgunaan atau pemberiannya kepada individu yang tidak layak boleh dianggap sebagai satu bentuk pecah amanah terhadap amanah yang diberikan oleh kerajaan.

Hak untuk mendapatkan subsidi petrol yang diberikan oleh pihak kerajaan ini dari sudut hukum fiqahnya dianggap sebagai hak intifa’, iaitu mereka yang mendapat hak ini hanya boleh menggunakannya untuk diri mereka sendiri sahaja. Keadaan ini berbeza dengan hak manfaat, seperti dalam kontrak sewa sesuatu barang sebagai contoh, yang mana seorang penyewa mempunyai hak manfaat yang membenarkannya berkongsi barang sewaan tersebut dengan orang lain.[1]

Justeru dalam konteks ini, hak subsidi BUDI95 adalah merupakan hak intifa’, dan ia tidak boleh dikongsikan kepada orang lain. Sebarang pelanggaran syarat atau penyalahgunaan subsidi bukan sahaja bertentangan dengan prinsip amanah, malah akan menyebabkan ketirisan wang kerajaan, sekali gus menjejaskan keupayaan negara untuk menyalurkan dana tersebut kepada keperluan lain yang lebih penting seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Sikap amanah dan bertanggungjawab dalam mematuhi syarat pemberian subsidi petrol amat penting bagi memastikan matlamat penyelarasan subsidi tercapai dan kesejahteraan bersama dapat terus dipelihara. Pengabaian terhadap amanah ini adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang perlu dijauhi seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah:[2]

اتَّقُوا الظُّلْمَ، فإنَّ الظُّلْمَ ظُلُماتٌ يَومَ القِيامَةِ

Maksudnya:Takutlah kamu akan perbuatan zalim, kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat”.

Sebagai penutup, semua pihak diseru agar memahami dan menyokong usaha penyelarasan subsidi BUDI95 ini dengan penuh kesedaran, kejujuran dan tanggungjawab. Rakyat yang layak hendaklah memanfaatkan subsidi ini dengan sebaiknya, manakala yang tidak layak hendaklah berlapang dada dan tidak mengambil hak orang lain. Semoga dengan sikap saling bertanggungjawab dan berintegriti, keberkatan dapat dicapai, ketirisan dapat dielakkan, dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara terus terpelihara.

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

9 REJAB 1447H / 30 DISEMBER 2025

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuḥayliy, Wahbah Muṣṭafā (1985), Al-Fiqh al-Islāmiy wa Adillatuh, Damsyik: Dār al-Fikr, 4:2896.

وأما حق الانتفاع: فهو مجرد رخصة بالانتفاع الشخصي بناء على إذن عام كحق الانتفاع بالمنافع العامة كالطرق والأنهار والمدارس والمصحات وغيرها، أو إذن خاص كحق الانتفاع بملك شخص أذن له به، كركوب سيارته، والمبيت في منزله، وقراءة كتبه ونحو ذلك.فليس للمنتفع أن يملك المنفعة لغيره، فتمليك الانتفاع: هو أن يباشر المنتفع بنفسه، وتمليك المنفعة أعم وأشمل، فيباشر بنفسه ويمكن غيره من الانتفاع بعوض كالإجارة، وبغير عوض كالإعارة

[2] Hadis riwayat Muslim.