اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 74/2026: NORMALISASI STEREOTAIP WANITA MENURUT ISLAM

TintaMufti.jpg

NORMALISASI STEREOTAIP WANITA MENURUT ISLAM

Mukadimah

Belakangan ini, mesej hiburan dan komersial semakin kerap dipaparkan di ruang awam dan diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun, sebahagian naratif yang diketengahkan menimbulkan polemik apabila peranan dan maruah wanita terutamanya sebagai seorang yang bergelar isteri disalah tafsir dan dikaitkan dengan agama dan keberkatan hidup. Keadaan ini menuntut penelitian dari sudut hukum syarak bagi menilai sejauh mana mesej sedemikian selari dengan kedudukan Isteri dalam Islam serta prinsip keadilan dan pemeliharaan maruah insan yang menjadi teras ajaran Islam.

Kedudukan dan Maruah Wanita Menurut Perspektif Islam

Dalam Islam, wanita dimuliakan dan kedudukannya diangkat sejajar dengan lelaki dari segi hak dan maruah. Perbezaan jantina tidak menjadikan wanita kurang berpotensi untuk mencapai tingkatan iman dan takwa yang tinggi di sisi Allah SWT. Wanita mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dalam beramal soleh seperti lelaki sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT:

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ ۖ

Maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.”

Surah Ali ‘Imran (195)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menerangkan ayat di atas membawa maksud bahawa tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita dalam hal amal soleh dan ganjaran kerana mereka berasal dari jenis yang sama dan satu asal yang sama. Mereka sama dalam tanggungjawab, hukum syarak, ketaatan, pertolongan dan perkara-perkara seumpamanya.[1]

Walau bagaimanapun, selari dengan fitrah kejadian bahawa wanita dan lelaki masing-masing mempunyai peranan yang berbeza. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

Surah al-Nisa (34)

Lelaki diberi tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga (qawwam) manakala wanita mempunyai peranan penting sebagai pengurus rumah tangga, pendidik anak dan penyokong suami. Setiap peranan yang diberikan Allah SWT adalah sesuai dengan keupayaan, potensi dan sifat semula jadi mereka.[2] Perbezaan ini bukan bermakna salah satu pihak lebih rendah atau lemah tetapi saling melengkapi bagi mewujudkan keharmonian, kasih sayang dan kesejahteraan keluarga.

Tanggungjawab Isteri Menurut Syarak

Syariat Islam telah menggariskan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh isteri sebagai sebahagian daripada amanah setelah berlakunya akad perkahwinan. Antaranya:

  1. Wajib mentaati perintah suami pada perkara yang tidak bertentangan dengan Syarak serta menghormatinya sebagai pemimpin dalam dalam sebuah keluarga. Perintah ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruah) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.

(Riwayat Ibn Hibban)

  1. Menjaga maruah diri dan suami serta memelihara harta suami ketika ketiadaannya. Berdasarkan tafsiran hadis oleh Imam al-Qurtubi, beliau menyatakan ciri-ciri wanita solehah :

إِذا نظر إِلَيْهَا سرته وَإِذا أمرهَا أَطَاعَته وَإِذا غَابَ عَنْهَا حفظته فِي نَفسهَا وَمَاله

Maksudnya: “Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, dan apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (maruah suaminya) pada dirinya dan juga harta suaminya”.[3]

  1. Mengandung, melahirkan serta menyusukan anak.
  2. Merelakan dirinya untuk bermesra dengan suami dalam keadaan yang diizinkan oleh Syarak.[4]
  3. Mengikut suami untuk menetap di rumah yang dipilih oleh suami dalam keadaan rumah itu sesuai untuk didiaminya.[5]
  4. Bergaul dengan suami dengan cara yang baik. Syeikh Abu Bakar Syatta menyebutkan:

‌ويجب ‌على ‌الزوجين أن يتعاشرا بالمعروف، بأن يمتنع كل عما يكره صاحبه ويؤدي إليه حقه مع الرضا وطلاقة الوجه من غير أن يحوجه إلى مؤنة وكلفة في ذلك

Maksudnya: Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik seperti menjauhi perkara yang dibenci oleh pasangannya, menunaikan hak pasangan dalam keadaan saling meredhai serta menggembirakan pasangan tanpa menjadikan mereka perlu menanggung kesukaran dan kepayahan dalam menuntut hak tersebut”.[6]

Oleh yang demikian, sekiranya isteri tidak mentaati suami pada perkara yang wajib dan melakukan hal-hal yang mungkar, maka isteri itu boleh disabitkan sebagai isteri yang nusyuz. Perbuatan nusyuz isteri adalah haram dan ia termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar serta boleh dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya.[7] Firman Allah SWT: .

فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ

Maksudnya:Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Surah al-Nisa’ (34)

Berdasarkan dalil di atas, para ulama berbeza pandangan berkenaan langkah-langkah suami mendidik isteri yang nusyuz, adakah dilakukan secara berperingkat atau digabungkan sekali gus. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukuman ini perlu digabungkan secara keseluruhan. Manakala sebahagian yang lain (muktamad) berpandangan bahawa hukuman ini perlu dilakukan secara berperingkat bermula dari yang paling ringan sehingga yang paling berat mengikut tertib iaitu menasihati isteri dan memberi bimbingan, kemudian meninggalkan isteri bersendirian di tempat tidur dan akhirnya memukul isteri dengan pukulan yang tidak bersangatan.[8]

Adapun menurut undang-undang di Malaysia, sabitan nusyuz hanya boleh diputuskan oleh mahkamah syariah melalui penghakiman qadhi dan bukan sewenang-wenangnya diputuskan oleh suami mengikut pemerhatiannya sahaja. Hal ini kerana dibimbangi berlaku ketidakadilan dan bermudah-mudahan dalam mensabitkan nusyuz isteri tanpa asas yang kuat dan kukuh. Sebaiknya aduan dikemukakan kepada mahkamah berserta bukti kerana sifat mahkamah adalah ilzam dan menolak sebarang khilaf.

Berdasarkan Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 59 (Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz) telah menyebutkan:

(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain—

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;

(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Peranan Wanita dalam Kerjaya dan Pengurusan Rumah Tangga

Pada mulanya, tanggungjawab mencari nafkah dan pekerjaan sesebuah keluarga dipikul oleh suami atau bapa sebagaimana yang menjadi uruf dan tradisi kebanyakan kaum serta bangsa. Namun, seiring arus kemajuan dan perubahan gaya hidup, lelaki dan wanita kini bergerak seiring malah saling bersaing secara sihat dalam bidang pendidikan dan merebut peluang pekerjaan.

Secara asasnya, wanita mula bekerja dengan membantu suami mengurus rumah tangga. Lama-kelamaan, mereka mula menceburi bidang pendidikan, perniagaan dan perubatan kerana mengambil teladan daripada Ummul Mukminin Khadijah RA yang berjaya dalam perniagaan serta para sahabiyah yang membantu merawat tentera Islam dalam peperangan. Dalam hal ini, Islam tidak melarang wanita terutamanya isteri untuk bekerja di luar, namun pekerjaan tersebut tidak boleh mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu kepada suami, anak-anak dan rumah tangga yang menjadi asas peranan wanita.

Dalam Islam, wanita memegang peranan penting sebagai pengurus rumah tangga atau rabbatul bayt iaitu tuan rumah yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan keluarga. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut:

أَلا كُلُّكُمْ راعٍ وكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عن رَعِيَّتِهِ، فالإِمامُ الذي علَى النَّاسِ راعٍ وهو مَسْئُولٌ عن رَعِيَّتِهِ، والرَّجُلُ راعٍ علَى أهْلِ بَيْتِهِ، وهو مَسْئُولٌ عن رَعِيَّتِهِ، والمَرْأَةُ راعِيَةٌ علَى أهْلِ بَيْتِ زَوْجِها، ووَلَدِهِ وهي مَسْئُولَةٌ عنْهمْ، وعَبْدُ الرَّجُلِ راعٍ علَى مالِ سَيِّدِهِ وهو مَسْئُولٌ عنْه، ألا فَكُلُّكُمْ راعٍ وكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عن رَعِيَّتِهِ.

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Hamba adalah pemimpin dalam menjaga harta tuannya dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.

(Riwayat al-Bukhari)

Peranan wanita sebagai isteri dan ibu dalam urusan rumah tangga amat besar dan berat sehingga ia menjadi satu kerjaya utama dan terpenting bagi wanita. Peranan ini termasuklah urusan mengasuh anak, menyediakan keperluan keluarga serta menyokong suami dalam pelbagai urusan rumah tangga. Tradisi ini dapat dilihat melalui teladan wanita solehah seperti puteri Nabi Muhammad SAW, Fatimah al-Zahra’ RA yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan mengurus keperluan rumah tangga. Perkara ini dirakamkan dalam sebuah hadis daripada kitab Sahih al-Bukhari dalam bab mengenai pekerjaan wanita di rumah suaminya bahawa Ali RA meriwayatkan tentang Fatimah RA yang mengadu kepada Nabi SAW tentang bebanan kerja rumah dan jawapan Nabi SAW sebagai panduan praktikal.[9]

Begitu juga nenek moyang kita telah menunjukkan pengorbanan dan dedikasi mereka dalam memelihara rumah tangga dan keluarga. Hal ini menunjukkan bahawa peranan wanita dalam rumah tangga bukanlah tanda kelemahan bahkan ia satu tanggungjawab mulia dan bernilai tinggi. Pengurusan rumah bagi seorang wanita merupakan ruang untuk manifestasi kesabaran, dedikasi dan kepimpinan dalam konteks domestik selaras dengan ajaran Islam.

Wanita yang berkerjaya perlu memahami tugas hakiki mereka sebagai isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan sokongan ketika berada di rumah. Kefahaman ini akan menumbuhkan perasaan kasih sayang, rahmah dan sakinah dalam rumah tangga. Apabila seorang wanita memahami tanggungjawab dan haknya sebagai isteri dan ibu serta melaksanakannya dengan sebaik mungkin, ia akan memperoleh penghormatan dan mewujudkan keharmonian dalam kehidupan keluarga.

 

Ruang Awam sebagai Medium Pembentukan Nilai Masyarakat

Ruang awam termasuk media, pengangkutan awam dan platform digital memainkan peranan besar dalam membentuk norma dan persepsi masyarakat. Setiap mesej, paparan atau naratif yang disebarkan di tempat awam bukan sekadar hiburan atau informasi semata-mata tetapi turut mempengaruhi cara masyarakat berfikir, bertindak dan menilai sesuatu isu.

Dengan penggunaan ruang awam secara bijak dan selaras dengan ajaran Islam, masyarakat dapat dibentuk ke arah nilai yang positif, kesedaran awam yang adil dan keharmonian sosial, seterusnya mengurangkan stereotaip dan konflik dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.

Penutup

Dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, Islam menekankan kepentingan menunaikan hak berbanding sekadar menuntut hak. Maksudnya, manusia hendaklah lebih memberi perhatian kepada melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan ke atas diri sendiri sama ada sebagai suami, isteri, ibu, bapa atau anggota masyarakat. Berusaha menunaikan hak akan mendidik seseorang untuk bersikap bertanggungjawab, amanah dan prihatin terhadap keperluan orang lain.

Justeru, dengan menekankan normalisasi peranan yang sebenar dan betul bagi wanita serta menunaikan hak masing-masing, konflik dalam rumah tangga dan masyarakat dapat dikurangkan. Apabila setiap individu memahami tanggungjawab mereka, menghormati peranan orang lain dan melaksanakan hak dengan ikhlas, ia akan mewujudkan keharmonian, kasih sayang dan kestabilan dalam kehidupan keluarga serta sosial.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

18 SYAABAN 1447H / 6 FEBRUARI 2026

[1] Al-Zuhaili, Wahbah. Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj. (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991). Jld 4 hlm 211.

لا فرق بين الذكر والأنثى في العمل والثواب، فهما من جنس واحد، ومن نفس واحدة، وبعضهم من بعض في التكليف والأحكام والطاعة والنصرة ونحو ذلك

[2] Ibid. Jld 5 hlm 54-55.

وسبب القوامة أمران:

الأول-وجود مقوّمات جسدية خلقية: وهو أنه كامل الخلقة، قوي الإدراك، قوي العقل، معتدل العاطفة، سليم البنية، فكان الرجل مفضلا على المرأة في العقل والرأي والعزم والقوة…

الثاني-وجوب الإنفاق على الزوجة والقريبة، وإلزامه بالمهر على أنه رمز لتكريم المرأة.

وفيما عدا ذلك يتساوى الرجل والمرأة في الحقوق والواجبات، وهذا من محاسن الإسلام، قال الله تعالى: {وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلِلرِّجالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ} [البقرة 228/ 2] أي في إدارة البيت والإشراف على شؤون الأسرة، والإرشاد والمراقبة، وذلك كله غرم يتناسب مع قدرات الرّجل على تحمل المسؤوليات وأعباء الحياة. وأما المرأة فلها ذمة مالية مستقلة وحرية تامة في أموالها.

[3] Al-Suyuti, Abd Rahman bin Abi Bakar. al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim. (Saudi: Dar Ibn ‘Affan, 1997). Jld 4 hlm 85.

[4] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Muktamad fi al-Fiqh al- Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2015). Jld 4 hlm 278.

التمكين: وهو تمكين الزوجة نفسها من الزوج, بأن لا تمنعه من وجوه الاستمتاع المشروع بها

[5] Ibid. Jld 4 hlm 279.

الاتباع: وهو أن تتبع الزوجة زوجها في البلد والبيت الذي يختاره ويصلح للسكنى

[6] Abu Bakar al-Dimyati. I’anah al-Tolibin ‘ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in. (t.tp: Dar al-Fikr, 1997). Jld 3 hlm 421.

[7] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Muktamad fi al-Fiqh al- Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2015). Jld 4 hlm 90-92

[8] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir. (Beirut: Dar al-Fikr, 1991). Jld 5 hlm 58

وهل العقوبات السابقة مشروعة على الترتيب أو لا؟ يرى بعضهم أن هذه العقوبات مشروعة في مجموعها، دون ترتيب بينها؛ لأن الواو لا تقتضي الترتيب. وذهب آخرون إلى أن ظاهر اللفظ‍، وإن دلّ على مطلق الجمع، فإن فحوى الآية يدلّ على الترتيب؛ لأن الواو داخلة على جزاءات متفاوتة في القوة، متدرجة من الضعيف إلى القوي، إلى الأقوى: الوعظ‍، فالهجران، فالضرب، وذلك جار مجرى التصريح بالتزام التدرّج.

[9] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. (Mesir: Matba’ah al-Sultaniah, 1311H). 7:65. No. 5361.

أَنَّ فَاطِمَةَ عليهما السلام أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم تَشْكُو إِلَيْهِ مَا تَلْقَى فِي يَدِهَا مِنَ الرَّحَى وَبَلَغَهَا أَنَّهُ جَاءَهُ رَقِيقٌ، فَلَمْ تُصَادِفْهُ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لِعَائِشَةَ، فَلَمَّا جَاءَ أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ قَالَ: فَجَاءَنَا وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا فَذَهَبْنَا نَقُومُ، فَقَالَ: عَلَى مَكَانِكُمَا، فَجَاءَ فَقَعَدَ بَيْنِي وَبَيْنَهَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى بَطْنِي، فَقَالَ: أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى خَيْرٍ مِمَّا سَأَلْتُمَا؟ إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا أَوْ أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا فَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ.