اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 106/2026: MIZAN PERJUANGAN WANITA DALAM MISI KEMANUSIAAN THE GLOBAL SUMUD FLOTILLA

TintaMufti.jpg

MIZAN PERJUANGAN WANITA DALAM MISI KEMANUSIAAN THE GLOBAL SUMUD FLOTILLA

Pendahuluan

Dunia hari ini terus menyaksikan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas Gaza. Sekatan yang menjerut kehidupan awam bukan sekadar krisis politik, tetapi tragedi kemanusiaan yang mencabar nurani sejagat. Usaha memecahkan kepungan ini melalui misi The Global Sumud Flotilla merupakan satu bentuk fardu kifayah dan manifestasi jihad kemanusiaan yang bernilai tinggi dalam neraca Syariat. Ia menzahirkan solidariti umat yang hidup, bukan retorik kosong.

Penglibatan aktivis wanita dalam misi ini memperlihatkan dimensi empati yang mendalam. Ia bukan simbolik. Ia adalah isyarat bahawa penderitaan Palestin telah menembusi sempadan emosi dan menggerakkan tindakan. Namun, Syariat tidak pernah membiarkan semangat bergerak tanpa disiplin. Setiap gerak langkah mesti ditimbang dengan neraca hukum. Tanpa kawalan ini, keberanian boleh bertukar menjadi kecuaian dan pengorbanan boleh tergelincir menjadi kemudaratan.

Prinsip Musafir Wanita

Isu musafir wanita dalam misi kemanusiaan wajib ditimbang dengan disiplin fiqh yang tegas. Keharusan perjalanan bersama kumpulan yang dipercayai diiktiraf dalam kerangka Syariat. Namun, keharusan ini bukan bersifat mutlak. Ia tertakluk kepada satu syarat asas yang tidak boleh dikompromi iaitu kewujudan jaminan keselamatan yang nyata dan menyeluruh sepanjang perjalanan.

Konsep jaminan keselamatan yang nyata dalam tradisi fiqh bukan sekadar ketiadaan ancaman biasa. Ia merujuk kepada keadaan laluan dan destinasi yang bebas daripada risiko serius terhadap nyawa dan maruah. Jika ancaman menjadi dominan dan hampir pasti berlaku, maka hukum asal keharusan berubah menjadi larangan.

Al-Rafi‘i menukilkan bahawa dalam keadaan perjalanan yang tidak aman, iaitu apabila laluan rosak, kafilah terputus serta jaminan keselamatan tidak lagi dapat dipastikan kerana kelemahan sistem perlindungan dan autoriti, maka tuntutan jaminan menjadi satu keperluan yang mengikat. Situasi ini menzahirkan bahawa keharusan musafir tidak bersifat mutlak, sebaliknya terikat secara langsung dengan kewujudan keselamatan yang realistik dan boleh berubah kepada larangan apabila risiko menjadi dominan. Ketegasan ini berakar daripada prinsip asas Syariat yang menolak segala bentuk pendedahan diri kepada bahaya yang nyata.

Realiti misi flotila menunjukkan bahawa pelayaran ini secara langsung menyasarkan pemecahan sekatan tentera laut Israel. Ia bukan sekadar bantuan logistik biasa. Ia adalah konfrontasi terbuka dengan kekuatan ketenteraan. Sejarah seperti insiden Mavi Marmara membuktikan bahawa risiko keganasan adalah tinggi dan berulang. Dalam konteks ini, syarat jaminan keselamatan yang nyata telah gugur. Keizinan asal tidak lagi terpakai.

Neraca Maqasid Syariah dan Fiqh Keutamaan

Di sinilah Maqasid Syariah berfungsi sebagai kerangka penentu. Syariat meletakkan pemeliharaan nyawa (Hifz al-Nafs) dan kehormatan (Hifz al-'Ird) sebagai objektif teras yang tidak boleh dikompromi. Sebarang tindakan yang mendedahkan kedua-duanya kepada risiko tinggi perlu ditolak, walaupun atas nama maslahat umum. Allah SWT menegaskan:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:"Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat ini bukan larangan pasif. Ia adalah prinsip operasi dalam semua tindakan berisiko. Ia diperkukuh dengan kaedah fiqh:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: Menolak kemudaratan didahulukan daripada menarik kemaslahatan.

Fiqh al-Awlawiyat menuntut penilaian berlapis. Maslahat memecahkan sekatan perlu ditimbang dengan mafsadah yang berpotensi berlaku. Kehadiran wanita di zon merah bukan sekadar risiko individu. Ia berpotensi mencetuskan implikasi strategik: eksploitasi propaganda musuh, tekanan diplomatik dan perubahan fokus misi daripada bantuan kepada operasi menyelamat.

Al-Qaradawi menegaskan bahawa punca kesilapan sebahagian golongan bukan pada niat mereka, tetapi pada kecacatan dalam cara berfikir dan kefahaman yang tidak tepat sehingga membawa kepada penilaian yang tersasar daripada neraca keutamaan yang sebenar dalam tindakan dan keputusan. Al-Shatibi pula menekankan keperluan menilai ma’alat al-af‘al iaitu implikasi akhir setiap tindakan sebelum ia dilaksanakan. Dalam konteks ini, risiko yang terhasil adalah lebih besar daripada manfaat yang disasarkan.

Strategi Keterlibatan Wanita

Pendekatan Syariat bukan menolak peranan wanita sebaliknya ia menyusun peranan agar lebih berkesan dan selamat. Hal ini menuntut satu manhaj tindakan yang jelas dan berdisiplin seperti pemisahan daripada Zon Pertembungan. Wanita tidak wajar ditempatkan di titik konflik yang hampir pasti berlakunya kekerasan. Pengunduran daripada zon merah adalah pematuhan kepada Syariat, bukan tanda kelemahan.

1. Pengukuhan Peranan di Zon Selamat:

Peranan wanita di pangkalan operasi adalah kritikal. Bidang perubatan, logistik, advokasi media dan diplomasi awam merupakan medan strategik yang menentukan kejayaan misi. Sejarah membuktikan bahawa sokongan belakang tabir sering menjadi faktor penentu kemenangan.

2. Penilaian Risiko oleh Kepimpinan:

Kepimpinan misi memikul amanah syarie yang berat. Keselamatan peserta bukan isu sampingan malah merupakan indikator utama kejayaan. Mengheret orang awam ke dalam konfrontasi bersenjata tanpa keupayaan pertahanan ialah keputusan yang bercanggah dengan prinsip hikmah dan tadbir urus Islami.

Hikmah dan Disiplin Perjuangan

Semangat aktivis tidak boleh dipadam. Ia perlu dipandu. Keinginan mereka untuk terlibat lahir daripada iman dan empati yang tulen. Namun, Syariat tidak mengiktiraf tindakan yang didorong emosi tanpa pertimbangan ilmu.

Keberanian dalam Islam bukan tindakan nekad tanpa arah. Ia adalah keberanian yang terikat dengan hikmah. Mundur dari zon bahaya untuk menyusun strategi adalah sebahagian daripada seni perjuangan. Ia bukan kekalahan. Ia adalah kecerdasan.

Penutup

Kejayaan misi kemanusiaan tidak diukur pada tahap risiko yang diambil, tetapi pada keberkesanan mencapai objektif dengan kerosakan minimum. Syariat memuliakan wanita sebagai agen perubahan, namun dalam masa yang sama melindungi mereka daripada risiko yang tidak seimbang.

Perjuangan Palestin menuntut strategi jangka panjang. Ia memerlukan disiplin, bukan sekadar semangat. Wanita memainkan peranan besar dalam ekosistem perjuangan ini seperti di medan yang tepat dengan pendekatan yang tepat dan dalam kerangka Syariat yang tepat. Keseimbangan inilah yang menjadi mizan sebenar antara keberanian dan kebijaksanaan.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

22 SYAWAL 1447H / 11 APRIL 2026

 

 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, "Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-929: Hukum Wanita Menyertai Misi Flotila Menghantar Bantuan Ke Palestin," Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, diakses April 10, 2026,https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/6358-irsyad-hukum-siri-ke-929-hukum-wanita-menyertai-misi-flotila-menghantar-bantuan-ke-palestin.

 Abd al-Karim ibn Muhammad al-Rafi‘i al-Qazwini, Fath al-‘Aziz bi Sharh al-Wajiz (Beirut: Dar al-Fikr), 10: 216. Teks asal:

وَاعْلَمْ أَنَّ الْقَاضِي الرُّوْيَانِيَّ اخْتَارَ مَذْهَبَ مَالِكٍ فَقَالَ لَهُ الْمُطَالَبَةُ بِالْكَفِيلِ فِي السَّفَرِ الْمَخُوفِ وَفِي السَّفَرِ الْبَعِيدِ عِنْدَ قُرْبِ الْحُلُولِ فِي هَذَا الزَّمَانِ لِفَسَادِ الطُّرُقِ وَانْقِطَاعِ الْقَوَافِلِ وَعَجْزِ الْحُكَّامِ عَنْ اسْتِيفَاءِ الْحُقُوقِ

 Report of the United Nations Fact-Finding Mission on the Gaza Flotilla Incident, United Nations Human Rights Council, 2010.

 Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, “Al-Mustasfa min ‘ilm al-Usul”, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 174. Teks asal:

ومقصود الشرع من الخلق خمسة: أن يحفظ عليهم دينهم ونفسهم وعقلهم ونسلهم ومالهم، فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوت هذه الأصول فهو مفسدة ودفعها مصلحة

 Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Awlawiyat: Dirasah fi al-Kitab wa al-Sunnah (Kaherah: Maktabah Wahbah, 1995), 60. Teks asal:

فآفة هؤلاء ليست في ضمائرهم ولا نياتهم ٬ بل في عقولهم وأفهامهم ٬ ولهذا وصفوا

 Abu Ishaq al-Shatibi, Al-Muwafaqat fi Usul al-Shari'ah (Kaherah: Dar Ibn Affan, 1997), 5: 177. Teks asal:

النظر في مآلات الأفعال معتبر مقصود شرعًا كانت الأفعال موافقة أو مخالفة، وذلك أن المجتهد لا يحكم على فعل من الأفعال الصادرة عن المكلفين بالإقدام أو بالإحجام إلا بعد نظره إلى ما يؤول إليه ذلك الفعل، مشروعًا لمصلحة فيه تستجلب، أو لمفسدة تدرأ، ولكن له مآل على خلاف ما قصد فيه،