اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 108/2026: PERLESENAN DAN TANGGUNGJAWAB PENIAGA MUSLIM DARI PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH

TintaMufti.jpg

PERLESENAN DAN TANGGUNGJAWAB PENIAGA MUSLIM DARI PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH

Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat memiliki sistem perundangan dan peraturan yang tersusun yang digubal dengan tujuan utama menjaga kemaslahatan umum seluruh rakyat dan penduduk tanpa mengira latar belakang. Ketetapan undang-undang merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk aktiviti ekonomi dan perniagaan bagi memastikan keadilan, keselamatan serta kesejahteraan sosial terus terpelihara. Dalam kerangka hukum Islam, kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah adalah suatu kewajipan yang mesti dipatuhi selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Hal ini adalah bersandarkan kepada kewajipan mentaati ulil Amri seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

[Surah Al-Nisa’, 59]

Antara peraturan penting yang ditetapkan di Malaysia ialah keperluan agar setiap aktiviti perniagaan dan pelaburan didaftarkan serta memiliki lesen yang sah daripada pihak berkuasa yang berkenaan. Kewajipan ini diperuntukkan dalam pelbagai undang-undang seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) yang mewajibkan pendaftaran perniagaan milikan tunggal dan perkongsian serta Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang mengawal penubuhan dan pengurusan syarikat. Selain itu, keperluan pelesenan turut diperincikan melalui undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang mensyaratkan lesen bagi menjalankan sesuatu premis atau aktiviti perniagaan. Bagi sektor pelaburan dan perkhidmatan kewangan pula, pengawalseliaan dilaksanakan melalui peruntukan seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) serta Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758). Kesemua peruntukan ini bertujuan memastikan aktiviti ekonomi berjalan secara telus, teratur dan berintegriti, sekali gus melindungi kepentingan pengguna dan memelihara kestabilan ekonomi negara.

Fenomena ini menunjukkan wujudnya jurang antara kefahaman hukum dan amalan sebenar dalam kalangan masyarakat. Malangnya, masih terdapat segelintir pihak yang memandang ringan terhadap keperluan lesen dan pendaftaran dalam perniagaan. Sikap ini dizahirkan melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan tanpa pendaftaran yang sah, pengendalian operasi tanpa lesen daripada pihak berkuasa dan penyertaan dalam skim pelaburan yang tidak diiktiraf atau meragukan. Keadaan ini bukan sahaja menyalahi peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan, bahkan berpotensi menimbulkan pelbagai implikasi negatif seperti penipuan, ketidakadilan dalam urus niaga serta risiko kerugian kepada masyarakat. Lebih membimbangkan, pengabaian terhadap aspek pematuhan ini juga boleh mencemarkan imej peniaga Muslim dan menjejaskan kepercayaan awam sedangkan Islam amat menitikberatkan nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab dalam setiap urusan muamalat.

Dalam konteks ini, kepatuhan terhadap peraturan pelesenan dan pendaftaran bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, bahkan merupakan manifestasi kepada nilai amanah yang dituntut dalam Islam. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Maksudnya:Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”

[Surah Al-Nisa’, 58]

Dalam hal ini, perlu dibezakan antara kesahan akad menurut fiqh dan hukum pelaksanaan dalam pematuhan. Sesuatu transaksi yang dijalankan tanpa lesen boleh dianggap sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat akad seperti ijab dan qabul, pihak yang berkelayakan serta objek yang jelas. Namun demikian, pelaksanaan perniagaan tanpa lesen tetap dihukumkan sebagai haram kerana melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah. Ketaatan kepada pemerintah dalam perkara yang membawa maṣlaḥah adalah suatu kewajipan dan pelanggarannya termasuk dalam perbuatan berdosa. Oleh itu, walaupun akad tersebut sah mengikut fiqh, perbuatannya tetap tidak dibenarkan kerana bercanggah dengan prinsip ketaatan serta membuka ruang kepada kemudaratan yang ingin dicegah oleh syariah.

Penetapan peraturan berkaitan pelesenan dan pendaftaran perniagaan merupakan suatu keperluan yang tidak dapat dipisahkan daripada tanggungjawab kerajaan dalam mentadbir urusan masyarakat. Peraturan-peraturan ini bukan sekadar mekanisme pentadbiran, bahkan berfungsi sebagai instrumen untuk memastikan keadilan, ketelusan dan kesejahteraan dalam aktiviti ekonomi. Dalam perspektif syariah, pemerintah berkewajipan menggubal dasar dan undang-undang yang bertujuan menjaga maṣlaḥah umum serta menolak kemudaratan selaras dengan prinsip siyasah syar‘iyyah yang menyebutkan:[1]

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ ‌مَنُوطٌ ‌بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Tindakan (atau keputusan) pemerintah terhadap rakyat hendaklah terikat dengan maṣlaḥah (kepentingan umum)”.

Dalam kerangka maqasid syariah, penetapan peraturan pelesenan perniagaan ini jelas berperanan dalam memelihara kepentingan asas (al-Daruriyyat al-Khams). Dari sudut pemeliharaan harta (hifz al-Mal), ia bertujuan melindungi masyarakat daripada penipuan, ketidakadilan dan kerugian dalam urus niaga. Seterusnya, dari sudut pemeliharaan agama (hifz al-Din), ia menzahirkan ketaatan kepada pemerintah dalam perkara yang membawa maṣlaḥah. Disamping itu, pemeliharaan nyawa (hifz al-Nafs) pula, memastikan sistem perundangan ini menjaminkan keselamatan pengguna serta mengelakkan eksploitasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan kehormatan mereka. Justeru, pematuhan terhadap peraturan pelesenan bukan sahaja bersifat pentadbiran, bahkan selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam memelihara kesejahteraan manusia secara menyeluruh.

Akhir kata, pematuhan terhadap peraturan pelesenan dan pendaftaran bukan sahaja tuntutan undang-undang, bahkan merupakan tanggungjawab syarie bagi setiap peniaga Muslim. Ketaatan kepada pemerintah dalam perkara yang membawa maṣlaḥah adalah asas kepada kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, setiap urusan perniagaan hendaklah dilaksanakan secara sah dan beretika selaras dengan peraturan yang ditetapkan. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar, membimbing setiap urusan kita agar sentiasa berada dalam landasan yang diredai-Nya, serta mengurniakan keberkatan dalam rezeki dan kehidupan. Mengabaikan perlesenan bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi merupakan satu bentuk kecuaian terhadap amanah syariah dalam memelihara keadilan dan kesejahteraan masyarakat. 

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

6 ZULKAEDAH 1447H / 24 APRIL 2026

Rujukan:

[1] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Sayutiy (1983), Al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 121.