اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 116/2026: KESEIMBANGAN KECERDASAN BUATAN (AI) DAN NILAI KEMANUSIAAN DALAM SEKTOR KEWANGAN MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

TintaMufti.jpg

KESEIMBANGAN KECERDASAN BUATAN (AI) DAN NILAI KEMANUSIAAN DALAM SEKTOR KEWANGAN MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Akhirat.

Baru-baru ini, pihak kami telah meneliti satu kenyataan dan pelaporan artikel menerusi portal berita Astro Awani yang bertajuk "Masa depan sektor kewangan perlu keseimbangan antara manusia dan AI - Amir Hamzah". Berdasarkan laporan tersebut, YB Menteri Kewangan II menekankan bahawa walaupun keupayaan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) berkembang pantas, sistem perbankan yang teguh bukan sahaja bergantung kepada teknologi semata-mata, malah kepada kualiti modal insan. Nilai teras seperti integriti, amanah, dan perkhidmatan kepada masyarakat tidak mungkin boleh digantikan sepenuhnya oleh algoritma komputer.[1]

Melihat kepada realiti perkembangan ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa isu ini sangat relevan dan signifikan untuk diulas dari sudut pandang Islam, khususnya dalam kerangka maqasid syariah dan etika tata kelola dalam kewangan Islam.

Daripada sorotan artikel tersebut, dapat dirumuskan beberapa titik perbincangan utama:

1.     Kebergantungan kepada Pertimbangan Manusiawi

Dalam membuat keputusan, AI sangat cemerlang dalam memproses data dan mengesan corak penipuan dengan pantas. Namun, AI tidak mempunyai roh kemanusiaan, rasa empati dan neraca pertimbangan etika bagi mengadili sesuatu masalah di luar parameter data.

2.     Krisis Kepercayaan vs Kegagalan Teknologi

Taktik jenayah kewangan masa kini seperti kejuruteraan sosial dan penipuan yang dijana AI seperti penyamaran identiti dan deepfake telah menyebabkan rakyat menanggung kerugian bilion ringgit. Ia berlaku kerana wujudnya ruang manipulasi kepercayaan manusia. Perkara ini menuntut bank untuk memperkukuh pertahanan siber demi menjaga keyakinan pelanggan.

Penggunaan AI dari Sudut Pandangan Islam

Islam ialah agama yang menyeluruh dan mendepani zaman. Penggunaan teknologi terkini tidak pernah dilarang, namun ia perlu ditelusuri dengan neraca akhlak dan syariat.

1. AI Hanya Sebagai Wasilah bagi Mencapai Suatu Matlamat

Dalam kerangka syarak, penciptaan dan penggunaan instrumen baharu adalah harus selagi mana ia mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah. Sebuah kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

للوسائل حكم المقاصد

Maksudnya: "Hukum bagi wasilah itu mengambil hukum matlamatnya."

Dengan ini, jika AI digunakan untuk menjaga keselamatan transaksi pelanggan, ia merupakan sesuatu yang amat digalakkan. Namun, meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada AI tanpa pengawasan manusia boleh membuka ruang kepada kezaliman dan kesilapan algoritma. Manusia ialah khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan mentadbir, manakala teknologi hanyalah alat yang diurus, bukan yang mengurus.

2. Memelihara Harta (Hifz al-Mal) Tunjang Maqasid Syariah

Antara lima keperluan asas (al-daruriyyat al-khams) yang dipelihara oleh syariah ialah harta. Maqasid syariah menuntut institusi kewangan untuk mengguna pakai teknologi AI bagi membanteras penyamaran identiti, scam dan pancingan data (phishing) demi menjaga harta umat Islam daripada diambil secara batil. Perkara ini amat bertepatan firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain sesama kamu dengan jalan yang salah"

Surah al-Baqarah (188)

Pemerkasaan AI untuk memelihara masyarakat daripada ditipu juga dianggap sebagai satu usaha membantu saudara kita yang dizalimi dan yang menzalimi iaitu yang menjalankan aktiviti penipuan. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا

Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”

(Riwayat al-Bukhari)

3. Nilai Amanah Menjadi Titik Pemisah Antara Manusia dan Mesin

Sebijak manapun kecerdasan buatan, ia tidak dikurniakan bebanan taklif. Hanya manusia yang memahami erti amanah. Institusi kewangan memegang wang dan data peribadi rakyat yang merupakan satu amanah yang sangat berat. Sabda Nabi SAW:


لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له

Maksudnya: “Tidak sempurna Imam seseorang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menunaikan janji.”

(Riwayat Baihaqi)

Sifat integriti, belas kasihan dan budi bicara dalam menilai kes-kes pengecualian atau kecemasan pelanggan hanya boleh dilaksanakan secara telus melalui pertimbangan tulus akal manusiawi yang bertakwa. Kebergantungan penuh kepada AI boleh menyebabkan orang yang tidak bersalah dizalimi kerana sistem yang tidak ada budi bicara.

Penutup

Sebagai penutup, pihak JMWP menyambut baik dan menyokong penuh agar wujudnya keseimbangan di antara kepesatan teknologi AI dan pengekalan nilai-nilai murni kemanusiaan khususnya dalam sektor kewangan. Kami menasihatkan beberapa perkara seperti berikut:

1.     Pelaksanaan Prinsip Human-in-the-Loop (HITL): Institusi kewangan di negara ini, khususnya perbankan Islam disaran memastikan manusia sentiasa menjadi pembuat keputusan pada tahap kelulusan dan pemantauan yang kritikal agar sistem kewangan kita sentiasa memelihara hak pengguna.

2.     Pengukuhan Etika AI: Algoritma yang dibina harus dipastikan bebas daripada unsur berat sebelah dan ketidakadilan yang boleh menzalimi golongan yang rentan atau memerlukan bantuan kewangan.

3.     Konsep Tabayyun Bagi Pengguna: Orang awam dituntut untuk sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyelidik dan mengesahkan setiap panggilan, tawaran pelaburan atau pautan yang diterima sebelum membuat pemindahan wang atau menyerahkan maklumat peribadi yang sulit. kerana ancaman tipu daya AI pada masa kini amat luar biasa halusnya.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Astro Awani, "Masa Depan Sektor Kewangan Perlu Keseimbangan Antara Manusia dan AI - Amir Hamzah," Astro Awani, 8 Julai 2026, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/masa-depan-sektor-kewangan-perlu-keseimbangan-antara-manusia-dan-ai-amir-hamzah.