اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 120/2026 : BERHEMAH DI JALAN RAYA KERANA DIRI ANDA BERHARGA

TintaMufti.jpg

 

BERHEMAH DI JALAN RAYA KERANA DIRI ANDA BERHARGA

Saban hari kita mendengar berita tentang kematian di negara kita, dan antara yang paling kerap menghiasi ruangan berita ialah tragedi kemalangan jalan raya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan di dalam Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia 2025, sebanyak 4,428 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2024, meningkat 4.3 peratus berbanding 4,244 kematian pada tahun 2023. Ini bersamaan purata 18 nyawa melayang di jalan raya negara kita pada setiap hari disebabkan kemalangan jalan raya, dengan golongan muda berusia 15 hingga 40 tahun mencatatkan bilangan kematian yang paling tinggi.[1]

Kemalangan jalan raya bukan hanya meragut nyawa sahaja, bahkan ia turut meragut ekonomi kita seperti yang dijelaskan oleh YB Menteri Kesihatan mengakibatkan negara menanggung kerugian ekonomi sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap kematian, di samping kesan-kesan lain yang akan ditanggung oleh keluarga mangsa.[2]

Selain kemalangan jalan raya, satu lagi punca kematian yang membimbangkan ialah penyakit-penyakit yang sebenarnya boleh dicegah melalui penjagaan kesihatan dan gaya hidup yang sihat. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tadi juga turut mencatatkan bahawa daripada 198,992 kematian yang direkodkan pada tahun 2024, penyakit jantung iskemia (ischaemic heart diseases) kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia dengan 17,421 kematian (13.0%), diikuti pneumonia (15,332 kematian; 11.5%) dan kencing manis atau diabetes mellitus (6,929 kematian; 5.2%). Kesemuanya adalah penyakit yang lazimnya berkait rapat dengan corak pemakanan, tahap aktiviti fizikal dan cara hidup seharian.[3]

Tidak dinafikan bahawa kehidupan dan kematian adalah merupakan ketentuan Allah SWT. Namun, segala tindak tanduk kita dalam menjaga amanah nyawa yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Inilah antara yang dipesan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah al-Aslamiy:

لا تَزولُ قَدَمَا عَبْدٍ يومَ القيامةِ، حتَّى يُسأَلَ عن عُمُرِه؛ فيمَ أفناه؟ وعن عِلْمِه؛ فيم فعَلَ فيه؟ وعن مالِه؛ من أين اكتسَبَه؟ وفيم أنفَقَه؟ وعن جِسمِه؛ فيمَ أبلاه؟

Maksudnya: Tidak akan berganjak kedua-dua tapak kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga dia ditanya tentang umurnya; untuk apa dihabiskannya? Dan tentang ilmunya; apa yang dilakukannya dengannya? Dan tentang hartanya; dari mana diperolehnya? Dan ke mana dibelanjakannya? Dan tentang tubuh badannya; untuk apa dihabiskannya (digunakannya)?”.

[Riwayat al-Tirmizi]

Statistik yang dipaparkan tadi menggambarkan kepada kita bahawa betapa masih ramai lagi dalam kalangan kita yang kurang cakna dengan tanggungjawab untuk menjaga nyawa dan jiwa yang diamanahkan oleh Allah SWT, sama ada dengan bersikap cuai ketika memandu, mengabaikan peraturan dan tatatertib jalan raya, mahupun memandang ringan risiko yang boleh membawa maut kepada diri sendiri dan orang lain. Sedangkan Islam amat menitikberatkan konsep hifz al-nafs (memelihara nyawa) sebagai salah satu daripada lima perkara utama (al-kulliyyat al-khams) yang menjadi objektif utama pensyariatan.

Jika kita merenungi kita renungi ayat Al-Quran mahupun hadis, kita akan dapati bahawa syarak begitu menegaskan kepentingan dan keagungan memelihara nyawa. Allah SWT telah menetapkan bahawa nilai satu nyawa itu begitu tinggi sehingga membunuh seorang insan tanpa hak diibaratkan seolah-olah membunuh seluruh manusia, sebagaimana firman-Nya:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ

Maksudnya:Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya...

[Surah al-Ma’idah, 32]

Dalam merenungi hakikat kematian ini, elok juga kita menghayati kata-kata seorang tokoh sarjana dan pemikir Islam, Sayyid Qutb rahimahullah, yang turut mengingatkan kita bahawa kematian bukanlah pengakhiran, sebaliknya hanyalah satu peralihan dalam perjalanan hidup seorang insan menuju kepada Allah SWT. Beliau menyatakan:[4]

الموت ليس نهاية الرحلة، وإنما هو مرحلة في الطريق، وما يناله الإنسان من شيء في هذه الأرض ليس نصيبه كله، إنما هو قسط من ذلك النصيب

Maksudnya: Kematian bukanlah pengakhiran perjalanan, tetapi ia hanyalah satu peringkat dalam perjalanan tersebut. Dan apa yang diperoleh oleh manusia daripada sesuatu di muka bumi ini bukanlah bahagiannya secara keseluruhan, tetapi ia hanyalah sebahagian kecil daripada bahagian tersebut”.

Justeru, persoalannya sekarang, apakah yang perlu kita lakukan bagi menangani isu ini? Setiap dari kita perlu kembali menghayati bahawa keselamatan diri di jalan raya bukan sekadar isu keselamatan awam semata-mata, malah ia adalah sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab agama kita dalam memelihara amanah nyawa. Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah sentiasa mematuhi had laju dan peraturan lalu lintas, mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan mengantuk, letih atau di bawah pengaruh bahan yang memabukkan, memakai tali pinggang keledar dan topi keledar dengan betul, serta tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Sunnah Rasulullah SAW turut mengajar kita agar berdoa sebelum memulakan sebarang perjalanan sebagai tanda kesedaran bahawa keselamatan itu adalah pemberian dan pemeliharaan daripada Allah SWT, sekali gus mendorong kita untuk berikhtiar sedaya upaya di samping bertawakal kepada-Nya.

Akhir kata, marilah kita sama-sama merenung dan menginsafi bahawa nyawa yang Allah SWT kurniakan kepada kita ini adalah suatu amanah yang besar, yang akan dipersoalkan kelak di hadapan-Nya. Kesedaran untuk berhemah di jalan raya serta menjaga kesihatan diri bukanlah sekadar tuntutan akal dan undang-undang semata-mata, malah ia adalah sebahagian daripada penghayatan iman dan ketaatan seorang hamba kepada Penciptanya. Semoga dengan kesedaran ini, kita semua dapat menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dalam memelihara amanah nyawa, dan mencapai hakikat tujuan penciptaan kita, iaitu untuk mencapai maqasid tadayyun (menyembah Allah SWT) dan maqasid ‘umran (memakmurkan bumi ini).

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

 22 SAFAR 1448H / 6 OGOS 2026 

 

Rujukan:

[1] Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) (2025), “Perangkaan Sebab Kematian Malaysia”.

[2] Rujuk akhbar Harian Metro di pautan: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/08/1393038/setiap-kematian-nahas-jalan-raya-negara-rugi-rm312-juta-dr-dzulkefly#google_vignette

[3] Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) (2025), “Perangkaan Sebab Kematian Malaysia”.

[4] Sayyid Qutb (2003), Tafsir fi Zilal al-Qur’an, Beirut: Dar al-Shuruq, 1:11.