اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 122/2026 : BAHAYA PENAFSIRAN AL-QURAN UNTUK KEPENTINGAN POLITIK

TintaMufti.jpg

 

BAHAYA PENAFSIRAN AL-QURAN UNTUK KEPENTINGAN POLITIK

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh manusia, merentasi zaman dan tempat, yang menjadi panduan lengkap dalam seluruh aspek kehidupan seharian bagi membimbing manusia ke arah kehidupan yang diredai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya:bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...”.

[Surah Al-Baqarah, 185]

Dalam memahami dan menafsirkan al-Quran, Imam Ibn Kathir mengingatkan kita bahawa kaedah yang terbaik adalah dengan merujuk sendiri kepada tafsiran Al-Quran dan Al-Sunnah itu sendiri.[1] Namun sekiranya tiada tafsiran daripada Al-Quran mahupun Al-Sunnah, rujukan terbaik dalam tafsir adalah berdasarkan kepada tafsiran golongan Salaf, bermula dengan tafsiran para Sahabat, tabiin dan seterusnya para tabi’ tabiin kemudiannya yang merupakan golongan yang hampir dengan zaman penurunan Al-Qur’an.[2]

Justeru dalam penafsiran Al-Quran, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan pandangan sendiri tanpa disiplin ilmu yang betul. Walaupun tafsiran tersebut betul sekalipun, seseorang yang menafsirkan Al-Quran tanpa disiplin ilmu yang betul tetap dianggap sebagai melakukan kesalahan kerana dia hanya bersangka-sangka dalam memahami kalam Allah SWT.[3] Syeikh Manna’ Al-Qattān menjelaskan hal ini seperti berikut:[4]

فهذه الآثار وما شاكلها عن أئمة السلف محمولة على تحرجهم من الكلام في التفسير بما لا علم لهم به. أما من تكلم بما يعلم من ذلك لغة وشرعًا فلا حرج عليه ولهذا رُوِي عن هؤلاء وغيرهم أقوال في التفسير -ولا منافاة- لأنهم تكلموا فيما علموه، وسكتوا عما جهلوه، وهذا هو الواجب على كل إنسان، ويكون الأمر أشد نكيرًا لو ترك التفسير بالمأثور الصحيح وعدل عنه إلى القول برأيه

Maksudnya:Maka riwayat-riwayat ini dan yang seumpamanya menunjukkan bahawa para salaf berhati-hati untuk bercakap dalam tafsir tentang perkara yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. Adapun sesiapa yang bercakap tentang apa yang dia ketahui dari sudut bahasa dan syarak, maka tiada kesalahan ke atasnya. Oleh sebab itu, diriwayatkan daripada mereka dan selain mereka pelbagai pendapat dalam tafsir — dan ini tidak bercanggah — kerana mereka bercakap tentang apa yang mereka ketahui, dan mereka diam tentang apa yang mereka tidak ketahui. Inilah kewajipan ke atas setiap insan. Dan perkara ini menjadi lebih tercela lagi sekiranya seseorang meninggalkan tafsir bil-ma'thur yang sahih, lalu berpaling daripadanya kepada pendapatnya sendiri (ra'y)”.

Namun pada hari ini kita dapati bahawa terdapat sebahagian pihak yang menafsirkan sebahagian ayat-ayat Al-Quran bagi menyokong ideologi dan pandangannya, bukannya ayat tersebut yang menjadi panduan baginya. Apatah lagi dalam kehangatan politik dan pilihanraya, sehinggakan ada pihak yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran tertentu demi kepentingan parti politik yang diperjuangkan, yang berpunca daripada ketiadaan metodologi yang tepat dalam menafsirkan Al-Quran.

Pemahaman Ayat Al-Quran Tanpa Penghayatan Sabab Nuzul

Secara asasnya, majoriti ulama usul fiqh berpandangan bahawa pengajaran atau hukum yang terdapat sesuatu nas adalah berdasarkan keumuman lafaznya, bukan semata-mata berdasarkan sebab khusus penurunan sesuatu nas tersebut seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Suyuti seperti berikut:[5]

اخْتَلَفَ أَهْلُ الْأُصُولِ: هَلْ الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ أَوْ بِخُصُوصِ السَّبَبِ؟ وَالْأَصَحُّ عِنْدَنَا الْأَوَّلُ

Maksudnya:Para ulama Usul Fiqh berselisih pendapat tentang perkara yang diambil kira: adakah berdasarkan keumuman lafaz atau berdasarkan kekhususan sebab? Pendapat yang lebih tepat menurut kami ialah yang pertama”.

Namun dalam memahami prinsip ini, perlu ditegaskan bahawa prinsip ini bukanlah untuk dipegang secara mutlak, sebaliknya terdapat syarat-syarat yang dibahaskan oleh para ulama silam bagi memastikan penafsiran terhadap sesuatu nas tidak terpesong. Dalam hal ini, Imam al-Zarkashi meletakkan beberapa parameter penting yang mewajibkan pembatasan lafaz kepada konteks penurunan sesuatu ayat, iaitu antaranya apabila terdapat qarinah (petanda) yang mewajibkan fahaman ayat tersebut perlu dibataskan kepada konteksnya. Kata beliau:[6]

أَنَّ مَحَلَّ الْخِلَافِ أَنْ لَا تَظْهَرَ قَرِينَةٌ تُوجِبُ قَصْرَهُ عَلَى السَّبَبِ مِنْ الْعَادَةِ وَنَحْوِهَا، فَإِنْ ظَهَرَتْ وَجَبَ قَصْرُهُ بِالِاتِّفَاقِ

Maksudnya:Tempat perselisihan ini hanyalah apabila tiada qarinah daripada adat dan sebagainya yang mewajibkan pembatasan kepada sebab. Sekiranya qarinah itu wujud, wajib dibataskan secara sepakat ulama”.

Justeru, penafsiran ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat berkaitan orang-orang kafir yang sentiasa memerangi orang Islam dan seumpamanya, perlulah difahami dalam konteks ayat tersebut yang terbatas kepada musuh-musuh Islam yang mengancam akidah, dan tidak seharusnya diumumkan penafsiran ayat-ayat tersebut, apatah lagi ditafsirkan kepada pihak lawan dalam politik kepartian.

Mizan Politik vs Mizan Akidah

Dalam memahami ayat-ayat al-Quran, kita memerlukan apa yang diistilahkan sebagai fiqh al-Mīzān, iaitu kefahaman untuk membezakan antara mizan akidah dan mizan politik sebelum sesuatu ayat itu difahami dan diaplikasikan. Mizan akidah merujuk kepada perkara-perkara yang bersifat qat'i dan tauqifi, iaitu ketetapan iman dan hukum-hakam syarak yang telah tetap nasnya, tidak terkesan dengan perubahan zaman, tempat, atau kepentingan mana-mana pihak. Ayat-ayat sebegini wajib difahami mengikut apa yang telah disepakati oleh para ulama muktabar berdasarkan dalil qat'i, sabab nuzul, dan tafsir yang telah terbina di atas ijma' atau nas yang jelas.

Sebaliknya, mizan politik merujuk kepada ruang ijtihad dalam pengurusan hal-ehwal pemerintahan, muamalat awam, dan pentadbiran kerajaan, yang mana perkara-perkara ini adalah berasaskan kepada maṣlaḥah dan boleh berbeza dan berubah mengikut waktu, tempat, dan keadaan (mutaghayyirat). Malangnya, terdapat sebahagian yang mengambil ayat-ayat Al-Quran yang sepatutnya difahami dalam kerangka mizan akidah tetapi memahaminya dalam kerangka mizan politik, demi untuk menyokong pendirian atau agenda politik tertentu.

Kekeliruan seperti ini dahulunya berlaku pada sebahagian golongan yang tersalah faham yang menjadikan isu ijtihad politik sebagai isu akidah (kufur dan iman), lalu mengkafirkan sesiapa yang tidak sependapat dengan tafsiran politik mereka, sehingga diungkapkan slogan “Tiada hukum melainkan hukum Allah” (إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ). Lalu Saidina ‘Ali RA membalas dengan ungkapan beliau yang masyhur:

كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ

Maksudnya:Perkataan yang benar, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah”.

Oleh kerana pentingnya fiqh mizan dalam memahami nas-nas syarak, maka Allah SWT tidak hanya menurunkan Al-Quran, tetapi turut menurunkan bersama-samanya mizan bagi membimbing pemahaman nas dengan tepat seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ

Maksudnya:Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan...”.

[Surah al-Hadid, 25]

Justeru, memahami nas-nas akidah dengan mizan yang salah seperti menggunakan mizan politik akan menjadikan seseorang memahami bahawa pihak-pihak yang berlawanan dengannya dianggap seperti berlawan dengan agama, sedangkan perbalahan dalam politik tidaklah lebih melainkan ia hanyalah dalam rangka memilih pandangan yang lebih membawa kepada maslahah sahaja, dan bukannya pertembungan antara Islam dan kufur.

Kesimpulan

Akhir kata, semoga kita semua berlapang dada dalam dunia politik. Kebebasan bersuara dan berpandangan bukan tiket untuk kita berbalah sehingga melanggar batasan syarak. Sebaliknya, medan politik sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk mencari jalan terbaik bagi menghasilkan maslahah kepada semua, selaras dengan maqāṣid penciptaan manusia di muka bumi ini untuk beribadah kepada Allah SWT (maqāṣid tadayyun) dan memakmurkan dunia (maqāṣid ‘umrān).

 

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

28 SAFAR 1448H / 12 OGOS 2026   

 

Rujukan:

[1] Ibn Kathīr, ʿImād al-Dīn Abū al-Fidāʾ Ismāʿīl al-Dimashqī. (1998). “Tafsīr al-Qurʾān al-ʿAẓīm”, Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1:7.

إن أصح الطرق في ذلك أن يُفَسَّر القرآن بالقرآن، فما أُجْمِل في مكان فإنه قد فُسِّر في موضع آخر، فإن أعياك ذلك فعليك بالسنة فإنها شارحة للقرآن وموضحة له

[2] Ibid, 1:10.

إذا لم تجد التفسير في القرآن ولا في السنة ولا وجدته عن الصحابة، فقد رجع كثير من الأئمة في ذلك إلى أقوال التابعين، كمجاهد بن جَبْر فإنه كان آية في التفسير

[3] Rujuk Al-Ṭabarī, Abū Jaʿfar Muḥammad ibn Jarīr. (2001). Jāmiʿ al-bayān ʿan taʾwīl āy al-Qurʾān, Dār Hijr li-al-Ṭibāʿah wa al-Nashr wa al-Tawzīʿ wa al-Iʿlān, 1:73.

ما كان من تأويل القرآن الذي لا يُدرك علمه إلا بنص بيان رسول الله صلى الله عليه وسلم، أو بنصبه الدلالة عليه، فغير جائز لأحد القيل فيه برأيه، بل القائل في ذلك برأيه، وإن أصاب عين الحق فيه، فمخطئ في فعله بقيله فيه برأيه، ولأن إصابته ليست إصابة موقن أنه محق، وإنما إصابة خارص وظان، والقائل في دين الله بالظن قائل على الله ما لا يعلم، وقد حرَّم الله جل ثناؤه ذلك في كتابه على عباده

[4] Al-Qaṭṭān, Mannāʿ ibn Khalīl. (2000). Mabāḥith fī ʿulūm al-Qurʾān. Maktabat al-Maʿārif lil-Nashr wa-al-Tawzīʿ, 364.

[5] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥmān ibn Abī Bakr, Jalāl al-Dīn. (1974). Al-Itqān fī ʿulūm al-Qurʾān (Muḥammad Abū al-Faḍl Ibrāhīm, Ed.; edisi ke-1). Al-Hayʾah al-Miṣriyyah al-ʿĀmmah lil-Kitāb, 1:10.

[6] Al-Zarkashī, Abū ʿAbd Allāh Badr al-Dīn Muḥammad. (1994). Al-Baḥr al-Muḥīṭ fī Uṣūl al-Fiqh. Dār al-Kutub, 4:288.