اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 160/2026 : PENGARUH SEBAGAI AMANAH KEPIMPINAN DALAM ISLAM

t.jpeg

 

PENGARUH SEBAGAI AMANAH KEPIMPINAN DALAM ISLAM

 

Pendahuluan

Baru-baru ini, pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penerbitan The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims edisi 2027 telah meletakkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, pada kedudukan ke-13 dalam senarai 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.[1] Menurut laporan tersebut, pengaruh beliau merangkumi aspek kepimpinan politik, pembangunan ekonomi dan diplomasi antarabangsa. Selain itu, pendekatan Malaysia MADANI yang diperkenalkan pada tahun 2022 turut diberikan perhatian kerana menggabungkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial dan nilai moral. Peranan beliau dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan menyuarakan isu kemanusiaan Palestin juga menjadi antara faktor yang diketengahkan dalam penerbitan tersebut.

Pengaruh merupakan elemen penting dalam kepimpinan Islam kerana pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab mentadbir sesebuah organisasi atau negara, malah berperanan membentuk hala tuju masyarakat. Pengaruh kepemimpinan membolehkan seseorang mempengaruhi masyarakat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan serta mewujudkan kehidupan sejahtera. Dalam Islam, pengaruh kepemimpinan seharusnya berlandaskan al-Quran dan hadis. Perkara ini boleh dilihat menerusi model kepimpinan Rasulullah SAW supaya ia menjadi asas penting dalam melahirkan pimpinan yang berwibawa dan mampu membawa maslahah kepada ummah.

Pengaruh Kepimpinan Rasulullah SAW

Rasulullah SAW merupakan contoh pemimpin Islam yang unggul dan mempunyai pengaruh besar dalam sejarah peradaban manusia. Baginda SAW bukan sahaja berperanan sebagai Nabi dan Rasul, malah turut menjadi pemimpin masyarakat dan ketua negara. Pengaruh Baginda SAW terserlah melalui akhlak mulia, sifat jujur dan amanah sehingga mendapat gelaran al-Amin. Keperibadian ini akhirnya berjaya membina kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia."

Surah al-Qalam (4)

 

Selain itu, pengaruh Rasulullah SAW turut terserlah melalui kebijaksanaan dalam menyelesaikan konflik dan menyatukan masyarakat. Contohnya, peristiwa peletakan semula Hajar al-Aswad oleh Baginda SAW telah menyelesaikan perselisihan antara kabilah Arab secara adil dan berhikmah. Begitu juga dengan peristiwa selepas penghijrahan ke Madinah, Baginda SAW berjaya menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar dengan memperkenalkan Piagam Madinah sebagai asas keharmonian masyarakat.

Di samping itu, Rasulullah SAW menggunakan pengaruhnya untuk menyebarkan dakwah dan mendidik masyarakat agar berpegang teguh pada ajaran Islam. Baginda SAW sentiasa mengutamakan pendekatan berhikmah, kesabaran dan nasihat yang baik dalam menyampaikan risalah Islam. Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.”

Surah al-Nahl (125)

Jelaslah bahawa kepimpinan Rasulullah SAW membuktikan pengaruh yang sebenar bukan bersandarkan kuasa dan kedudukan semata-mata sebaliknya dibina melalui akhlak mulia, kebijaksanaan, keadilan dan keupayaan membawa perubahan positif kepada masyarakat. Oleh itu, kepimpinan Baginda SAW wajar dijadikan contoh dan panduan oleh setiap pemimpin Islam sepanjang zaman.

Kepentingan Pengaruh kepada Pemimpin Islam

  1. Membina Kepercayaan dan Keyakinan Masyarakat

Pengaruh kepemimpinan yang baik mampu membina kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang dipimpinnya. Hal ini kerana, masyarakat lebih cenderung untuk memberikan sokongan kepada pemimpin yang berintegriti, jujur dan berkepribadian yang baik. Apabila pemimpin mempunyai pengaruh yang positif, maka tindakan dan dasar yang diperkenalkan lebih mudah diterima oleh masyarakat. Dalam Islam, kepercayaan merupakan asas penting dalam hubungan antara pemimpin dengan rakyat kerana melaluinya rakyat akan memberikan ketaatan dan sokongan kepada pemimpin.

 

  1. Menjadi Teladan kepada Masyarakat

Pemimpin Islam bertanggungjawab untuk menjadi contoh teladan kepada masyarakat kerana setiap tindakan dan keputusan mereka boleh mempengaruhi tingkah laku orang lain. Pengaruh pemimpin membolehkan nilai-nilai murni diterapkan dalam kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, apabila seseorang pemimpin mengamalkan budaya kerja berdisiplin, menepati janji dan mengutamakan kepentingan rakyat, maka masyarakat akan terdorong untuk mencontohi sikap tersebut. Hal ini selaras dengan model kepimpinan Rasulullah SAW yang sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik sebelum memberikan arahan kepada para sahabat.

  1. Medium Penyampaian Dakwah

Pemimpin Islam yang berpengaruh membolehkan penyampaian dakwah dan penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Mereka berpeluang menggunakan kedudukan dan jawatan untuk menyebarkan mesej kebaikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tuntutan agama. Sebagai contoh, penggunaan saluran komunikasi rasmi, media sosial dan program-program kemasyarakatan untuk menyampaikan dakwah Islam. Dengan adanya pengaruh yang positif, setiap mesej dapat disampaikan dengan lebih meluas dan memberikan kesan mendalam.

  1. Mempengaruhi Perubahan dan Pembangunan Masyarakat

Pengaruh kepimpinan mampu menggerakkan masyarakat untuk menerima perubahan dan menyokong usaha pembangunan yang baik. Pengaruh membolehkan pemimpin menyampaikan suatu matlamat dengan jelas serta mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi mencapai kemajuan bersama. Dalam konteks kepimpinan Islam, pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi dan infrastruktur, malah merangkumi pendidikan, kebajikan, akhlak dan kesejahteraan sosial. Contohnya, pemimpin yang berpengaruh boleh menggalakkan masyarakat meningkatkan tahap pendidikan, memperkukuh ekonomi dan sebagainya.

  1. Mengukuhkan Perpaduan dan Keharmonian Masyarakat

Pengaruh pemimpin mampu menyatukan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, budaya dan pandangan. Pemimpin Islam perlu menggunakan pengaruhnya untuk menggalakkan sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama. Hal ini penting bagi mengelakkan perselisihan faham dan permusuhan yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Contohnya, menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik masyarakat melalui pendekatan dialog, perbincangan dan musyawarah. Pendekatan ini selaras dengan prinsip syura dalam Islam yang menggalakkan perbincangan bagi mendapatkan keputusan terbaik.

Kesimpulan

Dalam kepimpinan Islam, pengaruh merupakan satu amanah berat yang lahir daripada akhlak mulia, kebijaksanaan dan keadilan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW. Pemimpin wajib memanfaatkan pengaruh tersebut dengan penuh integriti dan berlandaskan syariat bagi membina kepercayaan, keharmonian, serta kemajuan ummah bukannya untuk mengejar populariti atau kepentingan peribadi.

[1] The Royal Islamic Strategic Studies Centre, The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2026 (Amman: Royal Al-Bayt For Islamic Thought, 1448H) Hlm. 96-97.