Soalan
Assalamualaikum SS Mufti. Saya ingin bertanya berkenaan apa yang telah berlaku baru-baru ini. Apakah sebenarnya faktor yang menjadi punca kepada peristiwa tersebut. Bukankah Allah itu Maha Berkuasa, jadi mengapa Dia membiarkan tragedi seumpama ini berlaku ke atas umat Islam. Apakah iktibar di sebaliknya dan apa sikap kita sebagai seorang Islam? Mohon pandangan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini, ada di antaranya berlaku dengan kehendak yang Maha Berkuasa dan manusia tidak dapat mengelakkannya dari berlaku, seperti kejadian Tsunami yang berlaku di Acheh pada tahun 2004 dan di Jepun pada tahun 2011. Dalam hal ini tidak ada siapapun yang mengutuk atau mengecam kejadian itu. Allah SWT berfirman
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
Maksudnya: “Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.”
Surah al-Anbiyaa (23)
Ada pula peristiwa yang berlaku hasil dari usaha tangan manusia seperti peristiwa pengeboman bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat yang telah meragut 2996 jiwa dan mencederakan lebih 6000 orang.
Satu lagi peristiwa yang berlaku pada 15 Mac 2019 di New Zealand di mana dua buah masjid telah diceroboh dan kira-kira 50 nyawa telah terkorban. Peristiwa seperti ini amat menyentuh perasaan jiwa-jiwa yang masih lagi dibaluti oleh fitrah kemanusiaannya pastinya tidak akan rela dengan tragedi seperti ini.
Dalam tulisan ini kita tidak akan memperkatakan peristiwa Tsunami yang berlaku dengan kehendak Pencipta alam ini, iaitu Allah SWT, tetapi kita akan cuba melihat dua tragedi yang ada kaitannya dengan usaha dan tangan manusia. Kerana apa dilakukan oleh tiada siapa yang boleh mempersoalkannya.
KEROSAKAN DI DARATAN DAN LAUTAN
Adalah menjadi suatu kewajaran apabila kita mempersoalkan dan mengecam sesuatu peristiwa atau tragedi buruk yang ada kaitannya dengan usaha dan tangan manusia, kerana hati nurani manusia tidak dapat menerima sebarang keburukan yang dilakukan oleh orang lain ke atas dirinya, apatah lagi bila tragedi itu melibatkan kehilangan nyawa yang ramai bilangannya.
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Surah al-Rum (41)
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa kerosakan yang berlaku sama ada di daratan atau di lautan adalah hasil dari tangan manusia. Ayat ini menarik perhatian manusia bahawa Allah SWT membiarkan kefasadan itu tetap berlaku - sekalipun Allah SWT berkuasa menggagalkannya – untuk memperlihatkan bahawa kerosakan itu adalah hasil tindakan manusia yang tidak mempedulikan larangan Allah SWT seperti yang tersebut dalam surah al-Qasas ayat 77:
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."
Surah al-Qasas (77)
JANGAN BERTINDAK SECARA MELULU
Nasihat kepada orang-orang Islam supaya bertindaklah secara rasional. Sebarang tindakan yang didorong emosi dan kemarahan yang melulu akan mengundang keburukan lain yang mengusutkan lagi keadaan. Besar kemungkinan, pihak yang tidak berdosa pula akan terlibat sama.
Orang-orang Islam perlu mempamerkan keindahan Islam melalui tindakan mereka. Adab dan kehalusan akhlak Islam perlu diserlahkan, supaya keindahan Islam itu tidak sahaja berkisar dalam bingkai teori tetapi dapat disaksikan dalam alam realiti.
Allah SWT berfirman:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya”
Surah al-Hajj (40)
Imam al-Tabari dalam tafsirnya, setelah mengemukakan beberapa hadis yang mentakwil ayat ini membuat kesimpulan, “Yang paling baik untuk mendapat takwilan yang betul ialah, Allah SWT memberitahu bahawa kalaulah Allah SWT tidak mengadakan golongan yang menghalang dari melakukan kezaliman, sama ada kaum Muslimin menghalang golongan Musyrikin, atau pihak yang berkuasa menghalang rakyatnya, sudah pasti tempat-tempat ibadah seperti biara, gereja dan masjid akan diruntuhkan.” (Lihat Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay al-Qur'an, 18/645)
RAHMAH DALAM PEPERANGAN
Islam sebagai agama yang membawa rahmah kepada seluruh alam sebagaimana yang Allah SWT sendiri menegaskannya, tidak melepaskan manusia bertindak mengikut kehendak hatinya.
Ketika Abu Bakar RA menghantar Zaid bin Abu Sufyan ke Syam, beliau berpesan, “Kamu akan menemui satu golongan yang mengurung diri mereka di biara-biara. Biarkan mereka. Jangan kamu bunuh orang tua, perempuan dan kanak-kanak. Jangan runtuhkan bangunan, jangan potong pokok kecuali ada manfaatnya, jangan bunuh binatang kecuali ada manfaatnya, jangan bakar pohon kurma, jangan tenggelamkannya, jangan khianat, jangan kelar anggota manusia, jangan menakutkan dan jangan belenggu.” (Lihat Sunan al-Baihaqi, 9/90, no. 17929)
“Bergeraklah kalian dengan nama Allah, dengan pertolongan Allah dan atas dasar menegakkan agama Allah. Jangan kalian membunuh orang tua, bayi, kanak-kanak dan wanita. Jangan melampau. Kumpulkanlah harta rampasan. Berbuat baiklah, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik.” (Lihat Sunan Abi Daud, 2/44, no. 2614)
ALLAH MEMBIARKAN PERKARA ITU BERLAKU, KENAPA?
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّـهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)”.
Surah Ibrahim (42)
Mungkin ada yang bertanya, kenapa Allah SWT membiarkan kefasadan berlaku sedangkan Dia berkuasa untuk menggagalkannya?
Berdasarkan ayat 42 surah Ibrahim, jelas bagi kita bahawa Allah SWT ada perancangan tersendiri untuk bertindak mengikut masa, ketika dan bagaimana Dia akan melakukannya. Yang pasti ayat tersebut menjelaskan bahwa tindakan Allah kepada golongan zalim ialah pada masa yang manusia itu tidak mempunyai masa lagi untuk memperbaiki dirinya, iaitu pada hari Akhirat.
PERKEMBANGAN YANG MENGGEMBIRAKAN
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah mengarahkan azan Jumaat dikumandangkan ke seluruh negara dan meminta supaya diam dalam masa 2 minit sebagai menghormati azan yang dilaungkan. Beliau juga berkata, ia merupakan sebagai tanda sokongan kepada umat Islam di sana untuk kembali ke masjid. (Lihat New Zealand bertafakur, siar azan seluruh negara Jumaat ini, portal Astro Awani)[1]
Beliau juga hadir dengan memakai selendang hitam ketika menghadiri acara solat Jumaat di pekarangan masjid al-Noor pada 22 Mac 2019. (Lihat Wanita NZ pakai selendang tanda sokongan, portal Berita Harian Online)[2]
Ada juga warga non-Muslim yang datang ke masjid-masjid dan pusat Islam berdekatan dengan mereka untuk memberi sokongan moral, ada yang membawa kalungan bunga sebagai tanda takziah. Malah ada yang secara sukarela datang untuk mengawal keselamatan orang-orang Islam yang sedang solat berjemaah di dalam masjid.
HARAPAN
Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya menjadikan peristiwa yang berlaku di dua buah masjid di New Zealand sebagai peluang untuk memperlihatkan kebaikan dan keindahan Islam sebagai agama yang menyeru kepada kesejahteraan sejagat dan menentang sebarang kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh sesiapa pun. Semoga rahmat Allah SWT mendakap seluruh manusia.
Bacaan berkaitan:
- Qalam Mufti #30: Tragedi Berdarah Buat Umat Islam
- Qalam Mufti #31: Terima Kasih New Zealand
- Bayan Linnas Siri Ke-173: Insiden Di Masjid Al-Noor Dan Masjid Linwood Di Christchurch, New Zealand: Kenyataan Kami
- Al-Kafi #1158: Solat Jenazah Ghaib Kepada Warga Muslim New Zealand
Nota Hujung:
[1] Lihat http://www.astroawani.com/berita-dunia/new-zealand-bertafakur-siar-azan-seluruh-negara-jumaat-ini-201654
[2] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/544067/wanita-nz-pakai-selendang-tanda-sokongan