اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #61: MENDOAKAN ORANG BUKAN ISLAM DENGAN HIDAYAH

DOA ORG BKN ISLAM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah kita mendoakan kepada orang bukan Islam seperti mendoakannya supaya beroleh petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berdoa kepada orang bukan Islam dengan mendoakan mereka agar diberi petunjuk dan hidayah adalah dibolehkan. Antara dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya. Tufail berkata:

إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”

Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”

Riwayat al-Bukhari (2937) dan Muslim (2524)

Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk bab untuk hadis ini dalam kitab sahihnya dengan: “بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ” (Bab mendoakan kebaikan untuk orang musyrik dalam bentuk permohonan hidayah supaya dapat melembutkan hati mereka).

Imam Nawawi berkata: “Jika seseorang memberi ucapan penghormatan kepada kafir zimmi dengan ucapan selain ucapan salam, maka al-Mutawalli dan al-Rafi’i membolehkan perkara ini. Misalnya, seseorang mengucapkan kepada non Muslim ‘semoga Allah memberi hidayah untukmu’ dan ‘semoga Allah memberi nikmat kepadamu di pagi ini’, maka itu tidak ada masalah.” (Lihat al-Majmu’, 4/607-608)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, katanya:

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: Dahulu orang-orang Yahudi bersin berhampiran Nabi SAW dengan harapan Nabi SAW berdoa kepada mereka: “يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ” (Semoga Allah merahmati kamu). Namun doa yang diucapkan Nabi SAW ialah: “يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi hidayah/petunjuk kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu).

Riwayat Ahmad (15986), al-Tirmizi (2739), al-Bukhari dalam al-Adab
al-Mufrad (940) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8908).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Adapun dari sudut syarak, maka hadis Abi Musa menunjukkan bahawa mereka termasuk dalam mutlaq perintah untuk menjawab bagi orang bersin. Tetapi bagi mereka (orang bukan Islam), dikhususkan doa untuk mereka hidayah dan baik keadaan mereka. Maka keadaan itu tidaklah ditegah. Berlainan dengan menjawab bersin orang Islam. Ini kerana mereka berhak mendapat doa dan rahmat. (Lihat Fath al-Bari, 10/604)

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dan menyebut pada akhirnya: “Dan janganlah seseorang dari kalangan orang Islam berkata kepada mereka ‘يرحمكم الله’. Ini kerana rahmah dikhususkan kepada orang yang beriman. Tetapi hendaklah dia berdoa untuk mereka dengan apa yang membawa kebaikan seperti hidayah, taufik dan iman.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/10)

Al-Imam al-Qarafi berkata: “Adapun perintah untuk berbuat baik kepada mereka (non Muslim) dengan dasar tanpa ada rasa cinta di dalam hati, menyayangi mereka yang lemah, menyantuni orang fakir mereka, memberi makan mereka yang lapar, memberikan pakaian kepada mereka yang tidak berpakaian, berkata santun kepada mereka atas dasar kelembutan dan kasih sayang, bukan dengan jalan ketakutan dan penghinaan, bersabar atas gangguan dari mereka dalam bertetangga, dan berusaha untuk menghilangkannya, sebagai bentuk kelembutan kita kepada mereka, bukan kerana takut dan bentuk pengagungan, mendoakan mereka agar mendapat hidayah, menjadikan mereka termasuk yang berbahagia, menasihati mereka pada semua urusan mereka sama ada pada urusan agama mahupun urusan dunia, menjaga harta, keluarga, kehormatan mereka pada semua hak dan kemaslahatan mereka, berusaha untuk mencegah kezaliman menimpa mereka, menyampaikan hak-hak mereka, semua kebaikan yang baik dilakukan dari atas ke bawah maka lakukanlah, semua itu termasuk akhlak yang mulia.

Semua yang kita lakukan kepada mereka sebaiknya dilakukan dari sisi ini, bukan dalam bentuk kemuliaan dan pengagungan dari kita. Juga bukan mengagungkan mereka dan menghinakan diri kita sendiri dengan semua amalan yang dilakukan di atas.” (Lihat al-Furuq, 3/15)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas di atas, berdoa untuk orang bukan Islam adalah dibolehkan tetapi mempunyai dawabit dan asbab yang telah kita nyatakan. Kami telah menjawab dengan panjang lebar dalam artikel bertajuk Fiqh al-Ta’ayush[1] agar kehidupan bermasyarakat yang dibina antara orang Islam dan non Muslim terzahir keharmonian dan suasana yang aman damai tanpa prasangka yang boleh mengakibatkan dan memarakkan api permusuhan sesama Islam dan non Muslim. Ini merugikan sesebuah bangsa dan negara yang akhirnya kehidupan menjadi kucar-kacir dan tiada lagi cahaya keamanan serta keharmonian.

Kami berdoa kepada Allah, semoga kita hidup dalam keadaan penuh ketenangan serta keharmonian yang akhirnya boleh membawa kepada sinar bahagia. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Rujuk laman web kami, dalam Bayan Linnas Siri Ke-155: Konsep Fiqh Al-Ta’ayush: Isu Di Malaysia Dan Penyelesaiannya.