اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #72: KEDUDUKAN KANAK-KANAK NON MUSLIM YANG MENINGGAL SEBELUM BALIGH

KANAK2 NON MUSLIM.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah status kedudukan kanak-kanak dari keluarga non-Muslim apabila meninggal dunia sebelum baligh?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami bahagikan perbincangan ini kepada dua iaitu kedudukan mereka di dunia dari segi pengurusan dan pengebumian mayat. Yang kedua, kedudukan di akhirat berdasarkan nas-nas yang menyebut berkenaannya.

 

Pertama: Kedudukan di Dunia

Para ulama’ telah ijma’ bahawa hukum mereka di dunia adalah sepertimana hukum ibubapa mereka iaitu mayat mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan ke atas mereka serta tidak dikebumikan di perkuburan orang-orang Islam.

Ibn Abd al-Bar berkata: “Para ahli ilmu telah sepakat bahawa hukum kanak-kanak (daripada ibubapa yang kafir) di dunia adalah mengikut hukum ibubapa mereka selagi mana mereka belum baligh.” (Lihat al-Tamhid, 8/193)

 

Kedua: Kedudukan di Akhirat

Berkenaan kedudukan mereka di akhirat, terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam isu ini. Antaranya:

  • Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, antara lain menyebut sabda Rasulullah SAW:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الطَّوِيلُ الَّذِي فِي الرَّوْضَةِ فَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَّا الْوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الْفِطْرَةِ قَالَ فَقَالَ بَعْضُ الْمُسْلِمِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga) itu, ialah Ibrahim SAW. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang musyrikin?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Termasuk anak-anak orang musyrikin…”

Riwayat al-Bukhari (7047)

Antara ulama’ yang berpandangan dengan pendapat ini ialah Imam al-Nawawi Rahimahullah. Beliau berkata bahawa inilah mazhab yang sahih yang terpilih oleh ulama’ muhaqqiq. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata sepertimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sekiranya tidak diazab mereka yang berakal kerana keadaan mereka yang tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama. (Lihat Fath al-Bari, 4/462)

  • Mereka akan diuji di akhirat nanti. Mereka yang taat akan dimasukkan ke syurga manakala yang ingkar akan dimasukkan ke dalam neraka.

Hal ini sebagaimana ujian yang dikenakan terhadap ahli fatrah yang tidak sampai seruan dakwah kepada mereka. Firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَث رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Ibn Kathir berkata: “Yang demikian itu merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Dia tidak akan mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujjah kepadanya, yakni dengan pengutusan Rasul kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/445)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad bin Sari’, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعَةٌ يَحْتَجُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرِمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ، وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونَنِي بِالْبَعَرِ، وَأَمَّا الْهَرِمُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ، وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَيَقُولُ: رَبِّ، مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ، فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لَيُطِيعُنَّهُ، فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ رَسُولًا أَنِ ادْخُلُوا النَّارَ، قَالَ: فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ دَخَلُوهَا كَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا

Maksudnya: “Ada empat orang yang akan berhujjah dengan memberi alasan pada Hari Kiamat iaitu: (1) orang yang tuli, (2) orang yang amat bodoh dan lembam, (3) orang yang tua nyanyuk, dan (4) orang yang mati dalam masa fatrah. Orang yang tuli akan berkata: ‘Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang ajaran Islam dalam keadaan aku tidak mendengar apa-apa.” Orang yang amat bodoh dan lembam akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepada aku dengan keadaan budak-budak membaling aku dengan tahi unta.” Orang yang tua nyanyuk akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepadaku sedangkan aku tidak memahami apa-apa.” Adapun orang yang mati dalam masa fatrah akan berkata: “Wahai Tuhan, tidak ada satu pun Utusan-Mu yang datang kepadaku.” Maka diambillah perjanjian mereka untuk mentaati-Nya. Diutuslah kepada mereka seorang Rasul yang memerintahkan mereka agar masuk ke dalam api neraka. Beliau SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya mereka masuk ke dalamnya, nescaya mereka akan merasakan dingin dan selamat.”

Riwayat Imam Ahmad (16301), al-Tabarani (2/79) dan Ibnu Hibban (7357)

Ibnu Qayyim ketika menjelaskan pendapat-pendapat yang ada dalam isu ini menyebut: “Pendapat yang kelapan, mereka berpendapat bahawa kanak-kanak kecil orang kafir akan diuji di sebuah dataran pada hari Kiamat. Setiap orang dikirimkan utusan. Orang yang mematuhi utusan tersebut akan dimasukkan ke syurga. Manakala yang membangkang akan dimasukkan ke neraka. Dengan kata lain, sebahagian mereka ada yang masuk syurga dan sebahagiannya ada yang masuk neraka. Pendapat ini mencakupi dalil-dalil yang ada dan didokong oleh banyak hadis. (Lihat Tariq al-Hijratain, hlm. 369)

Imam Ibn Kathir selepas menjelaskan pandangan-pandangan yang ada, beliau kemudian memilih pendapat yang menyatakan bahawa mereka akan diuji pada hari kiamat kelak. Katanya, “Pendapat inilah yang mencakupi semua dalil yang ada. Dan hadis-hadis yang telah saya sebutkan juga menegaskannya dan saling menguatkan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/30)

 

  • Para ulama’ tawaqquf dengan menyatakan Allah SWT lebih mengetahui keadaan mereka.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَوْلَادِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya berkenaan anak-anak orang musyrikin, lalu Baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.”

Riwayat al-Bukhari (6597) dan Muslim (6933)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya berkenaan keturunan orang musyrikin, lalu Baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka lakukan.”

Riwayat al-Bukhari (1384)

Syeikh Syams al-Haq 'Azim Abadi menjelaskan: “ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ” yakni kanak-kanak musyrikin yang mati sebelum baligh. Ungkapan “ذَرَارِيِّ” adalah jama’ kepada “ذرية”, dan ia bermaksud keturunan manusia dan jin.

Manakala ungkapan “اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ”, ia bermaksud keadaan apa yang mereka akan pergi kepadanya sama ada masuk ke dalam syurga, atau neraka, atau ditinggalkan antara dua tempat sepertimana disebut oleh al-Qari. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 12/316)

 

  • Mereka akan menjadi pembantu kepada penghuni Syurga.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang menyebut:

أطفالُ المُشرِكينَ خَدَمُ أهلِ الجنَّةِ

Maksudnya: “Kanak-kanak daripada orang-orang musyrikin adalah pembantu kepada penghuni syurga.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani (5514) dan al-Bazzar (7466). Namun ia telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadis antaranya al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (3/246).

 

Penutup

Para ulama’ berbeza pendapat dalam mentarjihkan pandangan yang paling kuat. Pandangan-pandangan tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Kanak-kanak tersebut akan terus dimasukkan ke dalam Syurga. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh antaranya Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.
  • Kanak-kanak tersebut akan diuji. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh antaranya Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi, Ibn Qayyim dan lain-lain.
  • Kanak-kanak tersebut akan menjadi pembantu kepada penghuni syurga.
  • Allah lebih mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut.

Kami cenderung kepada pendapat yang menyebut bahawa anak-anak dari bukan Islam yang meninggal sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam Syurga berdasarkan nas-nas yang menyokong.

Semoga Allah SWT kurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta Allah tetapkan iman kita hingga ke akhir hayat. Amin.