اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #88: HUKUM MEMBERI DAN MELETAKKAN BUNGA DI ATAS KERANDA

2.jpg

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya. Soalannya: Apakah hukum memberi dan meletakkan bunga di atas keranda bagi mayat bukan Islam?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Di dalam agama Islam, perbuatan meletakkan bunga di atas kubur merupakan perkara yang dibahaskan oleh para ulama’. Sebagaimana amalan menabur bunga di atas kubur ini diharuskan dengan kaedah qias terhadap hadis pelepah tamar yang masyhur. Daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda ketika melalui dua buah kubur yang sedang diseksa:

إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا فَقَالَ: "لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا".

Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering”.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 218)

Kata Sheikh Abu Bakar Utsman al-Dimyathi al-Bakri di dalam penulisannya:

يُسَنُّ وَضْعُ جَرِيْدَةٍ خَضْرَاءَ عَلَى الْقَبْرِ لِلْإ تِّباَعِ وَلِأَنَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُ بِبَرَكَةِ تَسْبِيْحِهَا وَقيِسَ بِهَا مَا اعْتِيْدَ مِنْ طَرْحِ نَحْوِ الرَّيْحَانِ الرَّطْبِ

Maksudnya: Disunatkan meletakkan pelepah kurma yang masih hijau di atas kubur, kerana ia dapat meringankan beban si mati melalui berkat bacaan tasbihnya dan hal ini disamakan dengan sebagaimana adat kebiasaan, iaitu menaburi bunga yang harum dan basah atau yang masih segar.

(Rujuk kitab I’anah al-Thalibin, 2/119)

Maka konklusi di sisi agama Islam, meletakkan bunga di atas kubur adalah disunatkan kerana ia adalah satu medium perantaraan melalui sifatnya yang bertasbih kepada Allah SWT. Moga-moga dengan asbab tasbih itu Allah SWT merahmati ahli kubur dan meringankan azab seksa yang ditangung.

Merujuk kepada soalan yang ditanyakan, apakah hukum memberi dan meletakkan bunga di atas keranda yang bukan beragama Islam? 

Menurut ajaran agama Krisitian, bunga digunakan sebagai simbol kepada berkabung dan kesedihan. Bahkan tidak jauh beza diantara ajaran agama buddha. Di dalam sesebuah upacara kematian, bunga adalah hadiah atau tanda kehormatan kepada si mati. Ia adalah perkara yang dialu-alukan semasa di rumah keluarga si mati atau di kubur. Namun begitu, ia tidak sesuai ketika berada di rumah pengebumian. Bunga putih adalah bunga tradisi dan simbol kepada berkabung. Bunga merah adalah simbol kepada keceriaan dan perayaan dan tidak sesuai untuk dijadikan hadiah ketika waktu berkabung.

(Rujuk A Guide to a Proper Buddhist Funeral, m/s 12; Theravadin Buddhist Chinese Funeral, m/s 11)

Dalam menjawab persoalan ini, kami berpandangan bahawa memberikan dan meletakkan bunga di atas keranda bagi mayat bukan Islam adalah haram kerana ia merupakan ritual dan adat dalam pengurusan mayat bukan Islam. Lebih-lebih lagi, jika niat dan tujuan meletakkan bunga tersebut adalah sama menurut agama Islam iaitu memohon supaya Allah SWT merahmati kematiannya agar diampunkan dosa-dosanya maka ini adalah haram. Firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, memintakan ampun (kepada Allah SWT) untuk orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka.

(Surah at-Taubah: 113)

Begitu juga Imam Nawawi menyatakan bahawa;

وأما الصلاة على الكافر والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Maksudnya: “Adapun solat ke atas orang kafir dan mendoakan agar diampuni dosanya, maka ini merupakan perbuatan haram berdasarkan nas al-Quran dan Ijma’.

(Rujuk Kitab al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 5/120)

Nasihat kami, jika perbuatan untuk memberi dan meletakkan bunga di atas keranda bukan Islam adalah terpaksa, maka letakkanlah sahaja tanpa ada apa-apa niat. Semoga Allah SWT sentiasa menghidayahkan kepada kita dengan petunjuknya. Amin.

WallahuA’lam.