Soalan: Pada pandangan Dato’ Seri, bilakah bermulanya istilah Sufi dan Tasawwuf dalam dunia Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Seperti yang telah kami jelaskan dalam Al-Afkar Siri ke-88: Definisi Tasawwuf, perkembangan tasawwuf sebagai satu disiplin ilmu dalam dunia Islam, berlangsung agak lambat. Ianya sebagaimana ilmu-ilmu lain seperti fiqh, nahu, saraf, tauhid dan sebagainya. Namun, intipatinya sudah ada sejak zaman Rasulullah SAW.
Malah, tasawwuf sendiri wujud sejak zaman Nabi Adam alaihissalam dengan dalil yang jelas melalui firman Allah SWT:
فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Baqarah: 37)
Para salafussoleh berbeza pandangan tentang maksud “kalimah” dalam ayat di atas:
- Menurut Sa’id bin Jubair, Mujahid dan al-Hasan, kalimah yang dimaksudkan adalah:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”
(Surah al-A’raf: 23)
- Menurut Mujahid dan Muhammad bin Ka’b al-Qarzi, kalimah itu adalah:
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ رَبِّ عَمِلْتُ سُوءًا وَظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي إِنَّكَ أنت الغفور الرَّحِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ رَبِّ عَمِلْتُ سُوءًا وَظَلَمْتُ نَفْسِي فَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: “Tiada Tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau dan segala puji untuk-Mu. Tuhanku, aku telah melakukan dosa dan menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku karena Engkau sebaik-sebaik pemberi ampunan. Tiada Tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau dan segala puji untuk-Mu. Tuhanku, aku telah melakukan dosa dan menzalimi diriku sendiri, maka kasihanilah aku, sesungguhnya Engkau sebaik-baik pengasih. Tiada Tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau dan segala puji untuk-Mu. Tuhanku, aku telah melakukan dosa dan menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku, sesungguhnya Engkau sebaik-baik penerima taubat dan Maha Penyayang.”
Oleh kerana itulah tingkatan maqamat dalam tasawwuf bermula dengan taubat. Tahap-tahap atau tingkat-tingkat maqam ini bukannya sama bentuk dan turutannya di antara ahli-ahli sufi, namun mereka sependapat bahawa tahap permulaan bagi setiap maqam ialah taubat. (Lihat al-Luma’, m. 68; 'Awarif al-Ma'arif, m. 428)
Penggunaan Istilah Sufi/Tasawwuf
Perkataan Sufi tidak digunakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan juga tabi’in. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Nasr al-Sarraj:
“Kami tidak mendengar nama al-Sufiyyah pada era para Sahabat Nabi SAW, begitu juga selepasnya...gelaran sufi itu tidak diberikan kepada mana-mana Sahabat Nabi SAW.” (Lihat al-Luma’, m. 42).
Menurut al-Suhrawardi, punca lewatnya penggunaan perkataan Sufi adalah kerana gelaran Sahabat dan Tabi’in. (Lihat ‘Awarif al-Ma’arif, m. 63). Gelaran ini sudah sudah memadai dan tinggi kedudukannya di sisi Islam menyebabkan tidak wujud keperluan akan gelaran yang lain. Imam al-Qusyairi menambah, gelaran atba’ al-tabi’in juga menjadi sebab kelewatan munculnya gelaran Sufi. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 1/61).
Ibn Khaldun menegaskan bahawa pada kurun ke-2 Hijrah dan seterusnya, masyarakat mula cenderung kepada urusan duniawi. Pada masa itu, nama “Sufi” diberikan kepada mereka yang cenderung kepada ibadah. (Lihat al-Muqaddimah, 3/76)
Al-Qusyairi berpandangan kebangkitan tasawwuf bermula sebelum 200 Hijrah (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 1/62) manakala al-Suhrawardi menyatakan istilah itu tidak diketahui sehinggalah pada 200 Hijrah. (Lihat ‘Awarif al-Ma’arif, m. 63).
Abu Nasr al-Sarraj mengkritik pandangan mereka yang berkata bahawa istilah berkenaan adalah baharu dan dicetuskan oleh penduduk Baghdad. Menurut beliau, istilah Sufi ditemui seawal zaman al-Hasan al-Basri yang pernah berguru dengan beberapa Sahabat Nabi SAW. Diriwayatkan beliau pernah berkata: “Aku telah melihat seorang Sufi melalui tawaf. Oleh itu, aku memberinya sesuatu tetapi ditolaknya dan dia berkata: ‘Aku sudah mempunyai empat dawaniq (duit syiling perak kecil). Jadi, ia mencukupi bagiku.” (Lihat al-Luma’: 42)
Kesimpulan
Melalui hujah-hujah di atas, kami cenderung berpandangan bahawa istilah Sufi dan tasawwuf mula dikenali seawal zaman Tabi’in iaitu awal kurun ke-2 Hijrah. Ini kerana, al-Hasan al-Basri meninggal dunia pada 110 Hijrah. Oleh kerana beliau sempat berguru dengan beberapa orang Sahabat Nabi SAW dan meriwatkan hadith daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Abu Musa al-Asy'ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, dan masih banyak lain, maka beliau dikira sebagai Tabi’in.
Hujah menyatakan istilah ini wujud pada awal kurun ke-2 Hijrah juga bertepatan dengan kenyataan oleh Imam al-Qusyairi dan Imam al-Suhrawardi bahawa istilah tersebut wujud pada kurun ke-2 Hijrah dan lebih awal. Manakala, kenyataan Ibn Khaldun secara spesifiknya boleh jadi merujuk kepada awal kurun ke 2 Hijrah iaitu sebelum 110 Hijrah. Malah, keadaan masyarakat yang disebutkan oleh Ibn Khaldun, bertepatan apa yang diceritakan oleh al-Hasan dalam al-Risalah.