Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa perbezaan antara taufik dan hidayah?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Allah SWT berfirman:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
Surah al-Qasas (56)
Ibn Kathir berkata: "Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 10/473)
Guru kami, Fadilatu al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti berkata: “Hidayatu al-Taufiq khusus untuk Allah, tidak diberikan kepada nabi yang diutuskan atau malaikat yang hampir. Justeru, Nabi Nuh sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim kepada bapanya – walaupun kepada anak atau ayahnya.”
Imam Ibn Rajab al-Hanbali membahagikan hidayah kepada dua:
- Hidayah yang bersifat mujmal, iaitu hidayah kepada agama Islam dan iman, yang ini dianugerahkan-Nya kepada setiap muslim.
- Hidayah yang bersifat khusus dan terperinci, iaitu hidayah untuk mengetahui perincian cabang-cabang iman dan islam, serta pertolongan-Nya untuk mengamalkan semua itu. Hidayah ini sangat diperlukan oleh setiap mukmin siang dan malam.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 225)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT merakamkan kata-kata Nabi Syu'aib AS:
وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.”
Surah Hud (88)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3250)
Ibnu Qayyim menyebut, bahawa taufiq itu ialah iradat Allah yang datang dari-Nya sendiri terhadap hamba-Nya untuk melakukan yang baik, diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhai-Nya, didorong oleh kecintaan kepada-Nya.
Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.
Dalam bahasa yang lain, hidayah al-taufiq dengan maksud Allah jadikan petunjuk dalam hatinya yang akhirnya dapat dilaksanakan sebarang bentuk kebaikan dan kesolehan. Justeru, kami katakan, hidayah bersifat umum sedangkan taufiq bersifat khusus berdasarkan kepada nas Ilahi bahawa taufiq dan hidayah adalah milik Allah.
Justeru, kami dapati hakikat hidayah taufik merupakan milik Allah yang wajib kita mohon kepada-Nya. Maka kami tutup dengan mukadimah khutbah Nabi SAW pada kebanyakannya:
كانَ رسولُ اللَّهِ يقولُ في خُطبتِهِ ، يحمدُ اللَّهَ ويثني عليْهِ بما هوَ أَهلُهُ ثمَّ يقولُ من يَهدِهِ اللَّهُ فلا مضلَّ لَهُ ومن يضللْهُ فلا هاديَ لَهُ
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW dalam khutbahnya, dia memuji Allah dan memuja-Nya mengikut yang selayaknya, kemudian bersabda: “Sesiapa yang Allah hidayatkan padanya, maka dia tidaklah sesat dan siapa yang disesatkannya, nescaya seseorang itu tidak akan mendapat petunjuk.”
Riwayat Muslim (867) dan al-Nasaie (1578)
Kami menutup dengan berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan, Dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu dari bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan. Amin.
Riwayat Abu Daud (1425), al-Tirmizi (464), al-Nasaie (1745), Ibn Majah (1178) dan Ahmad (1718)