Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah kemungkinan bagi pelaku dosa besar masuk syurga tanpa hisab?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pertama, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).
(Surah al-Nisa: 48)
Ibn Jarir al-Tabari dalam menjelaskan ayat ini menyebut: “Ayat ini menjelaskan bahawa semua pelaku dosa besar berada di bawah kehendak Allah. Jika berkehendak, Dia memaafkannya, dan jika berkehendak, Dia akan menyeksanya. Selama mana dosa besarnya bukanlah sebuah kesyirikan kepada Allah.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Quran, 8/450)
Imam Ibn Kathir pula menjelaskan dengan berkata: “Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik iaitu ketika seorang hamba bertemu-Nya dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129). Menurut Ibn al-Jauzi, Allah SWT tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)
Di tempat yang lain, Allah SWT berfirman:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah al-Zumar (53)
Ibn Kathir menjelaskan: Ia merupakan pengkhabaran bahawa Allah SWT mengampuni semua dosa bagi sesiapa yang bertaubat daripada dosa-dosa itu, walau apapun dosa yang dia lakukan, walaupun ia sebanyak buih di lautan. (Namun), tidaklah benar untuk memahami ayat ini kepada mereka yang tidak bertaubat. Ini kerana dosa syirik tidak diampuni bagi sesiapa yang tidak bertaubat daripadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 7/106)
Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (20/465) meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud R.A berkata: “Umat ini terbahagi kepada tiga bahagian pada hari Kiamat. 1/3 akan masuk syurga tanpa hisab, 1/3 yang lain akan dihisab dengan hisab yang mudah dan 1/3 yang lain datang dengan dosa yang banyak sehingga Dia berfirman: “Siapa mereka?” dan Dia Maha Mengetahui, maka malaikat menjawab: “Mereka datang dengan membawa dosa yang banyak. Hanya sahaja mereka tidak menyekutukan-Mu dengan sesuatu, maka Allah berfirman: “Masukkan mereka ke dalam luasnya rahmat-Ku. Lalu Abdullah bin Mas’ud R.A membacakan ayat ini:
ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا
Maksudnya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami;
Surah Fatir (32)
Justeru, dengan bertaubat kepada Allah, sebesar mana dosa kita pun, selain daripada syirik, maka Allah SWT Maha Pengampun. Benarlah firman Allah SWT:
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).
Surah al-Hijr (49)
Syeikh al-Maraghi menyebut dalam mentafsirkan ayat ini: “(Maksudnya), wahai Rasul! Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku, sesungguhnya Akulah yang akan menghapuskan segala dosa mereka, sekiranya mereka bertaubat dan kembali kepada-Ku. Maksudnya tidak membuka keaiban mereka dan tidak menyeksa mereka kerananya, dan sesungguhnya Aku Maha Penyayang terhadap mereka daripada mengazabkan mereka setelah mereka bertaubat daripada dosa.
Dalam firman-Nya: “نَبِّئْ عِبَادِي” (Wahai Rasul! Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku), terdapat petunjuk bahawa rasul memberi khabar gembira kepada setiap orang yang mahu mengakui ‘Ubudiyyahnya (kehambaannya) kepada Allah SWT, maka termasuk di dalam golongan orang mukmin yang taat dan yang bermaksiat. Di sini nampak jelas, bahawa aspek rahmat Allah SWT dapat mengalahkan aspek seksaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3678)
Kedua, berkenaan dengan persoalan masuk syurga tanpa hisab, kami nyatakan di sini beberapa hadis Nabi SAW:
- Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain R.A, Nabi SAW bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.”
Riwayat al-Bukhari (5752) dan Muslim (220)
Imam al-‘Aini menjelaskan: Maksud mereka tidak minta diruqyah, iaitu yang dilakukan oleh tuan jampi seperti demam, kena rasuk dan seumpamanya. Telah datang sebahagian hadis mengharuskannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Maksud larangan tersebut adalah apabila dijampi bukan dengan bahasa arab yang difahami dan bukan dengan nama-nama Allah serta sifat-Nya. (Lihat Umdah al-Qari, 23/69)
Ibnul Qayyim menyebut bahawa sifat utama dari 70,000 orang tersebut terkumpul pada sifat tawakkal. Kerana tawakkal mereka yang sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial. (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)
- Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A, Nabi SAW bersabda:
لَيَدْخُلَنَّ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا، أوْ سَبْعُ مِئَةِ ألْفٍ - لا يَدْرِي أبو حازِمٍ أيُّهُما قالَ - مُتَماسِكُونَ، آخِذٌ بَعْضُهُمْ بَعْضًا، لا يَدْخُلُ أوَّلُهُمْ حتَّى يَدْخُلَ آخِرُهُمْ، وُجُوهُهُمْ علَى صُورَةِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ
Maksudnya: “Sungguh, tujuhpuluh ribu atau tujuhratus ribu dari umatku akan masuk syurga. Mereka saling berpegangan satu sama lain, tidaklah yang terdepan masuk syurga sehingga yang belakang turut masuk. Wajah mereka seperti bulan malam purnama’.”
Riwayat al-Bukhari (6554)
Berdasarkan umum hadis ini, sekiranya memenuhi kriteria yang disebutkan, maka seseorang itu akan memasuki syurga tanpa dihisab.
Kesimpulan
Berdasarkan nas-nas serta kenyataan di atas, sekiranya seseorang pelaku dosa besar itu bertaubat, maka dia kemungkinan boleh termasuk dalam golongan yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Namun, taubat tersebut hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dengan memenuhi segala rukun-rukun dan syarat-syarat taubat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain RA bahawa seorang wanita telah berzina, lalu dijatuhkan hukuman rejam terhadapnya. Kemudian jenazahnya disolatkan oleh Rasulullah SAW. Saidina Umar RA kehairanan lalu bertanya: “Engkau telah bersolat ke atasnya wahai Nabi Allah sedangkan dia telah berzina?” Jawab Baginda Nabi SAW:
لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ ، وَهَلْ وَجَدْتَ تَوْبَةً أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat yang kalau diagih-agihkan bahagian taubat itu kepada 70 orang penduduk Madinah nescaya akan mencukupi mereka. Apakah engkau jumpa suatu taubat yang lebih utama daripada seseorang yang sanggup menggadaikan nyawa kerana Allah Taala?”
Riwayat Muslim (1696)
Manakala, bagi pelaku dosa besar yang tidak bertaubat, maka ia bergantung atas kehendak Allah SWT, sama ada mengampunkannya atau mengazabkannya, selagimana dia tidak melakukan syirik kepada Allah SWT.
Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan mereka yang masuk ke dalam syurga-Nya tanpa hisab. Amin.