Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan yang menjadi kemusykilan sehingga hari ini. Memandangkan umat Kristian akan menyambut sambutan Hari Krismas pada masa terdekat ini, apakah hukum orang Islam memakai memakai topi Santa Claus atau apa-apa perhiasan berkaitan krismas. Saya lihat di sebuah pejabat yang mana tiada pun orang Kristian, semua stafnya adalah orang Islam tapi ada yang memakai topi Santa Claus hingga ada yang meletakkan pokok krismas di pejabat mereka. Adakah ianya dibolehkan?. Mohon pencerahan ustaz.
Ringkasan jawapan :
Pemakaian topi santa claus atau apa sahaja perhiasan dan pakaian yang berkaitan dengan Hari Krismas termasuk meletakkan pokok Krismas adalah tidak dibenarkan.Tidak ada keperluan untuk memakainya kerana pemakaian atau perhiasan tersebut seakan-akan menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan tersebut. Jika ada jemputan maka ianya terhad kepada kadar yang diperlukan seperti jamuan makan. Itu pun adalah sebagai tanda menjaga hubungan baik bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka
Huraian jawapan :
Secara umumnya, umat Kristian akan menyambut sambutan hari Krismas pada 25 Disember. Walaupun tarikh sambutan ini menjadi perdebatan dari kalangan Kristian Ortodoks dan Katolik, namun sambutan ini pada asasnya adalah sebagai satu perayaan sempena kelahiran Nabi Isa atau Jesus menurut mereka.[1]
Tidak dapat dinafikan bahawa Allah ﷻ menciptakan manusia dengan pelbagai bangsa dan agama agar manusia boleh saling mengenali dan memahami. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ dalam Al-Quran :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”[2]
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut :
أي للتعارف لا للتناكر، واللمز والسخرية والغيبة تفضى إلى ذلك
“ Iaitu untuk saling mengenali, bukannya untuk saling memungkiri. Celaan, ejekan dan umpatan boleh membawa kepda perpecahan.”[3]
Inilah asas fiqh Ta’ayush atau fiqh co-existence atau fiqh berkenaan kewujudan bersama. Lebih-lebih lagi kita hidup bersama penganut agama yang lain. Namun begitu, asas ini hanya terhad kepada hubungan kemanusiaan agar saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.Seorang Muslim tidak boleh sama sekali atas nama Fiqh Ta’ayush melibatkan diri apatah lagi mengiktiraf apa-apa perkara yang melibatkan akidah agama lain. Ini berdasarkan prinsip yang telah dinyatakan oleh Allah ﷻ :
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya : “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”[4]
Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, perlu kita ketahui berkenaan sejarah simbol-simbol atau perhiasan yang digunakan dalam sambutan Hari Krismas. Bagi topi Krismas ianya sinomim dengan figura yang amat terkenal iaitu Santa Claus. Ada yang mengatakan bahawa santa claus adalah Saint Nicholas seorang tokoh paderi Kristian yang amat terkenal yang mana beliau dikatakan suka memberikan hadiah dan duit kepada masyarakat.[5] Gambaran Santa Claus yang memakai pakaian merah dan topi hanya muncul pada tahun 1881, yang mana ianya dilakarkan oleh Thomas Nest.[6]
Bagi pokok krismas ia mempunyai sejarah yang begitu panjang. Kebanyakannya menggunakan bentuk pokok Cemara Malar Hijau (Evergreen Fir Tree). Pokok ini sebenarnya digunakan bagi merayakan perayaan musim sejuk jauh sebelum munculnya Kristian. Sebagai contoh, bagi penduduk Rom, mereka akan menggunakan pokok ini sempena perayaan Saturnlia. Begitu juga, penduduk Mesir Purba menggunakannya untuk menyembah Tuhan Ra. Pokok ini kemudiannya dibawa oleh penduduk Jerman pada kurun ke 16 di mana penganut Kristian akan membawanya ke rumah mereka dan menghias pokok tersebut. Martin Luther, pengasas mazhab Protestan juga membawa pembaharuan dengan meletakkan juga hiasan lilin pada pokok tersebut.[7]Sehingga hari ini ianya menjadi simbol Kristian kerana bentuk segi tiganya melambangkan konsep Triniti yang dianuti oleh Umat Kristian.[8]
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, secara asasnya, seorang Muslim tidak dibenarkan untuk meniru atau memakai apa sahaja simbol atau pakaian yang mempunyai kaitan dengan agama lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya : “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dari kalangan mereka.”[9]
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda :
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لَا تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى،
Maksudnya : “Bukan dari kalangan kami orang yang menyerupai selain dari kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani.”[10]
Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut :
قَوْلُهُ (لَيْسَ مِنَّا) أَيْ من أهل طريقتنا ومراعي مُتَابَعَتَنَا (مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا) أَيْ مِنْ غَيْرِ أهل ملتنا
“Sabda Nabi ‘bukan dari kalangan kami’ iaitu bukan dari golongan kami dan yang mengikut jalan kami. ‘Sesiapa yang menyerupai selain dari kami’ iaitu yang bukan dari kalangan agama kami.”[11]
Sheikh Zakariyya Al-Ansari menyebut :
وَلَا إنْ شَدَّ الزُّنَّارَ عَلَى وَسَطِهِ أَوْ وَضَعَ قَلَنْسُوَةِ الْمَجُوسِ عَلَى رَأْسِهِ
“Tidak boleh mengetatkan Zunnar (tali pinggang yang menjadi lambang zimmi) di tengah-tengah pinggang atau meletakkan qalansawah (kain) Majusi di atas kepalanya.”[12]
Jika memakai pakaian yang menjadi syi’ar agama lain sudah dianggap sebagai tasyabbuh (penyerupaan) apatah lagi jika ianya melibatkan perhiasan yang menjadi lambang sesuatu perayaan. Ini juga adalah berdasarkan tafsiran yang dilakukan oleh para Ulama terhadap ayat :
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
Maksudnya : “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”[14]
Imam Al-Qurtubi menyebutkan beberapa pandangan ahli tafsir berkenaan ayat ini. Antaranya :
وَفِي رِوَايَةٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ أَعْيَادُ الْمُشْرِكِينَ.
“Dalam riwayat Ibn Abbas menyebut bahawa Al-Zur adalah perayaan-perayaan orang Musyrik.”[15]
Oleh itu, dalam isu ini, kami melihat bahawa pemakaian topi santa claus dan meletakkan pokok krismas adalah tidak dibenarkan jika tiada keperluan.Ini kerana ianya merupakan lambang atau simbol yang sinonim dengan perayaan Hari Krismas. Apatahlagi jika di pejabat atau tempat itu mempunyai jumlah orang Islam yang lebih ramai.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam[16]. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara. Antaranya :
Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak: “Bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau Keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Contohnya:
- Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya; Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama;
- Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh;
- Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam;
- Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam. Contohnya:
- Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
- Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
- Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
- Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya
Kesimpulannya, pemakaian topi santa claus atau apa sahaja perhiasan dan pakaian yang berkaitan dengan Hari Krismas termasuk meletakkan pokok Krismas adalah tidak dibenarkan.Tidak ada keperluan untuk memakainya kerana pemakaian atau perhiasan tersebut seakan-akan menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan tersebut. Jika ada jemputan maka ianya terhad kepada kadar yang diperlukan seperti jamuan makan. Itu pun adalah sebagai tanda menjaga hubungan baik bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka.
Bagi isu mengucapkan ucapan merry Christmas kami telah ulas dalam ruangan artikel Tahkik Al-Masail siri ke 7: HUKUM MENGUCAPKAN “MERRY CHRISTMAS” KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN.[17]
Semoga Allah memelihara kita semua. Wallahu’alam.
Nota Hujung
[1] Lihat pautan https://www.history.com/topics/christmas/history-of-christmas
[2] Surah Al-Hujurat : 13
[3] Al-Maraghi, Ahmad Bin Mustafa, Tafsir Al-Maraghi, Maktabah Al-Babi Al-Halabi Wa Awladihi, Mesir, j.26 h.141.
[4] Surah Al-Kafirun : 6
[5] https://www.nationalgeographic.com/news/2018/12/131219-santa-claus-origin-history-christmas-facts-st-nicholas/
[6] Joseph J Walsh, Were They Wise Man or Kings : The Book Of Christmas questions, h.7-8. Lihat juga https://www.history.com/topics/christmas/santa-claus
[7] Lihat https://www.history.com/topics/christmas/history-of-christmas-trees
[8] Lihat https://www.abc.net.au/news/2016-12-19/the-history-of-the-christmas-tree/8106078.
[9] Riwayat Abu Daud no 4031
[10] Riwayat Al-Tirmizi no 2695
[11] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abdurrahman, Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, j.7 h.392.
[12] Al-Ansari,Zakariya Bin Muhammad, Asna Al-Matalib Fi Syarh Raudh Al-Talib,Dar Al-Kitab Al-Islami, j.4 h.119.
[13] Ibn Hajar Al-Haitami, Ahmad Bin Muhammad Bin Ali, Tuhfah Al-Muhtaj Fi Syarh Al-Minhaj,j. 3 h.38
[14] Surah Al-Furqan : 72
[15] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad Bin Abu Bakar, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Al-Kutub Al-Misriyyah, Mesir,j.13 h.79
[16] Kompilasi pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia h.13-14
[17] Lihat pautan https://muftiwp.gov.my/artikel/tahqiq-al-masail/2919-tahqiq-masail-7-hukum-mengucapkan-merry-christmas-kepada-mereka-yang-beragama-kristian#_ftnref7