Soalan
Salam ketika melakukan ibadah wuduk atau mandi wajib, saya selalu mengulangi niat wuduk atau mandi wajib tersebut, kerana saya rasa tidak sah niatnya. Untuk mengelak dari mengulangi perkara itu, kadang kala, saya sehingga mengugut diri saya dengan berkata dalam hati "jika aku ulang lagi mandi wajib ni atau wuduk ni, maka murtadlah aku." Kadangkala saya tak mampu lawan, saya ulang juga mandi atau wuduk tersebut. Apakah jatuh murtad perkara tersebut? Dan bagaimana jika saya pernah terlafaz? Saya pun sukar nak ingat Mohon bantuan dan pencerahan.
Ringkasan jawapan
Taklik dari sudut istilah ilmu fiqah menurut Mu’jam Arabi Arabi bermaksud :
ربط التصرّف في وجوده أو زواله بأمر مستقبل محتمل الوقوع
Maksudnya: Mengikat suatu urusan dalam keadaan ia ada atau hilang dengan suatu kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan. Contoh: Ali berkata: “sepuluh peratus dari keuntungan perniagaan akan aku sedekahkan kepada fakir miskin jika aku peroleh keuntungan yang besar bulan ini”.
Perbuatan ini dinamakan sebagai Taklik Murtad. Taklik Murtad adalah sesuatu tindakan mengaitkan suatu perbuatan apabila dilakukan di masa hadapan akan menyebabkan Murtad. Taklik Murtad ini termasuk dalam sebab seorang itu murtad. Oleh yang demikian perbuatan ini sangat ditegah oleh agama. Bagi orang yang telah melakukan perbuatan ini bukan dengan niat untuk murtad dia perlu kembali bertaubat dengan mengucap lafaz syahadah untuk kembali kepada agama kerana perbuatan ini telah menjadikannya murtad tanpa dia sengaja.
Huraian
Murtad berasal dari perkataan riddah yang memberi makna keluar dari agama Islam. Riddah dari sudut bahasa adalah kembali dari sesuatu ke suatu yang lain. Manakala dari sudut istillah syarak pula adalah kembali kafir setelah memeluk agama islam dan boleh terjadi dengan perkataan, perbuatan dan iktikad (kepercayaan).
[Rujuk Kifayah al-Akhyar fi Ghayah al-Ikhtisar: 494-495]
Melalui takrif syarak riddah ini dapat difahami ada tiga sebab seseorang yang beriman boleh terkeluar dari Islam.
- Murtad dengan sebab perkataan
- Murtad dengan sebab perbuatan
- Murtad dengan sebab I’tiqad
Murtad dengan sebab perkataan boleh terjadi apabila seseorang mengucapkan lafaz-lafaz seperti:
- Apabila seseorang berkata kepada musuhnya “Kalau Allah tuhanku aku akan beriman”
- Apabila seseorang berkata musuhnya “Kalau Muhammad itu nabi aku aku beriman”
- “Ayah, ibu atau isterinya lebih dicintai dari Allah dan rasulNya”
- Mengatakan betul terhadap pengakuan seseorang sebagai nabi sedangkan dia bukan nabi.
- Taklik murtad dengan menyatakan “jika anakku mati aku jadi Yahudi atau Nasrani.”
Manakala murtad dengan sebab perbuatan adalah seperti melakukan perbuatan berikut:
- Sujud kepada selain Allah seperti berhala, matahari bulan dan lain-lain
- Mencampak Al-Quran
- Beramal dengan sihir
- Menghina nama Allah
- Mempermainkan suruhan-Nya dan balasan-Nya.
- Minum arak, melakukan zina dan maksiat-maksiat lain dengan menyebut nama Allah dengan tujuan untuk menghina Allah.
Murtad dengan iktikad pula adalah seperti:
- Berpegang Allah bersifat baru dan alam ciptaan pula bersifat qadim
- Menafikan sifat wajib bagi Allah atau menafikan sifat mustahil bagi Allah
- Menghalalkan perkara yang disepakati ulama Islam tentang pengharamannya atau mengharamkan perkara yang disepakati ulama Islam tentang hukum halalnya.
- Menafikan kewajiban sesuatu yang wajib dalam agama.
[Lihat Kifayah al-Akhyar fi Ghayah al-Ikhtisar: 493-495]
Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini dalam kitabnya Raudah al-Talibin ketika. Beliau menyatakan dengan menukilkan perkataan al-Mutawalli:
وَالْعَزْمُ عَلَى الْكُفْرِ فِي الْمُسْتَقْبَلِ كُفْرٌ فِي الْحَالِ، وَكَذَا التَّعْلِيقُ بِأَمْرٍ مُسْتَقْبَلٍ، كَقَوْلِهِ: إِنْ هَلَكَ مَالِي أَوْ وَلَدِي تَهَوَّدْتُ، أَوْ تَنَصَّرْتُ
Maksudnya: Keazaman untuk keluar dari agama Islam pada masa hadapan menjadikan seseorang itu kufur. Demikian juga perbuatan taklik keluar islam dengan perkara yang akan berlaku seperti seseorang berkata “jika hartaku hilang atau anak aku mati, aku jadi yahudi atau aku jadi kristian”.
[Rujuk Raudah al-Talibin wa U’mdah al-Muftin: 10/65]
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang ditanya, keadaan individu bertanya ini bukan lagi dianggap tidak sengaja. Malah perbuatan ini adalah suatu tindakan yang dipandu dengan emosi. Justeru, perbuatan mentaklik urusan ibadah atau urusan seharian kita dengan keluar dari Islam adalah sesuatu perkara yang dilarang. Ia juga adalah sebab keluar dari agama.
Oleh yang demikian, individu yang telah melakukan perbuatan ini perlu bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah untuk kembali kepada agama Islam.
Setiap perkataan, perbuatan atau iktikad perlu selari dengan pegangan aqidah Islam. Setiap muslim perlu berhati-hati dalam setiap ucapan yang dikatakan supaya tidak mengucapkan sesuatu yang boleh menjadi penyebab kepada murtad atau keluar dari agama.
Oleh yang demikian, setiap perkataan dan perbuatan seorang muslim perlu dijaga dan diteliti kerana setiap perbuatannya pasti akan dipertanggunjawabkan dihadapan Allah SWT. Seperti yang difirmankan Allah di dalam surah Yasin ayat 65 :
ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Pada hari ini kami tutup mulut mereka. Tangan-tangan mereka akan berkata-kata kepada kami dan kaki-kak i mereka akan bersaksi terhadap apa yang telah mereka usahakan”.
Surah Yasin (65)
Wallahua'lam
Disediakan oleh,
Muhammad Asyraf bin Ahmad
Rujukan
- Abu Bakar Bin Muhammad Taqiyyuddin al-Syafie (1994), Kifayah al-Akhyar Fi Hil Ghayati al-Ikhtisar, Damsyik, Dar al-Khair, p: 493-495
- Imam al-Nawawi (1991), Raudah al Talibini wa U’mdah al-Muftin, Beirut, Maktab al-Islami, jld. 10 p: 65
- https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/التعليق/