اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #145: DAKWAAN MENYAMAKAN ULAMA DENGAN PENDETA GEREJA DI ZAMAN GELAP EROPAH

DAKWAAN_MENYAMAKAN_ULAMA_DENGAN_PENDETA_GEREJA_DI_ZAMAN_GELAP_EROPAH.jpg

 

SOALAN

Terdapat golongan aliran pemikiran di Malaysia mengkritik ulama sebagai individu yang memiliki autoriti dalam bidang agama. Golongan ini juga beranggapan bahawa sebahagian masyarakat Islam melakukan kesilapan dengan mendewakan ulama yang dianggap sebagai maksum dan memutuskan semua persoalan yang timbul dalam kehidupan mereka. Bagi golongan ini, situasi tersebut berlaku sebagaimana pengalaman orang-orang eropah di zaman gelap dahulu di mana gereja menguasai pemikiran masyarakat sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang ingin membebaskan diri mereka daripada gereja. Mohon pencerahan pihak S.S. Datuk tentang benarkah dakwaan menyamakan ulama dengan pendeta gereja di Zaman Gelap Eropah?

RINGKASAN JAWAPAN

Menyamakan ulama dalam Islam dengan pendeta dalam institusi gereja merupakan persepsi negatif yang diadaptasi daripada Zaman Gelap Eropah. Perkara ini berlaku disebabkan ketika itu perasaan trauma masyarakat Eropah terhadap institusi gereja yang memaksa untuk menuruti semua peraturan dari segenap aspek. Sedangkan, masyarakat Islam diajar untuk menghormati ulama tanpa menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT dan Nabi SAW. Hal ini kerana keilmuan adalah asas kepada ulama, bukan berasaskan jawatan dan ulama tidak berkuasa mutlak. Ulama juga tidak maksum, ijtihad ulama bersifat zanni yang boleh jadi betul atau tersilap serta mengandungi disiplin dalam syarak. Namun demikian, kredibiliti keilmuan dan kesarjanaan ulama jauh lebih tinggi dan dipercayai berbanding masyarakat awam. Menyamakan ulama dalam Islam dengan pendeta dalam institusi gereja ini juga memberi implikasi buruk yang dapat mengurai keterikatan dan kepatuhan kepada institusi Islam. Oleh itu, masyarakat ditegah memaki hamun secara fanatik kepada ulama yang mempunyai pandangan berbeza. Kemukakan hujahan dan kritikan kepada ulama yang berbeza pandangan itu tadi kepada saluran yang betul. Hal ini kerana institusi ulama wajar diletakkan pada tempat sepatutnya yang bersesuaian dengan kewibawaan ilmu mereka sebagai pewaris para nabi.

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan: Persepsi negatif zaman gelap di Eropah

Menyamakan ulama dalam Islam dengan pendeta dalam institusi gereja merupakan persepsi negatif yang diadaptasi daripada Zaman Gelap Eropah. Antara sebab penolakan terhadap ulama termasuklah berpunca daripada perasaan trauma masyarakat Eropah ketika itu kerana institusi gereja memaksa untuk menuruti semua peraturan dari segenap aspek. Masyarakat Eropah ketika itu dilarang untuk melanggar undang-undang gereja kerana konsep kependetaan gereja yang merupakan wakil tuhan di bumi dan dianggap maksum iaitu bebas daripada dosa. Hal yang demikian dirakamkan dalam firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرْبَابًا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓ إِلَٰهًا وَٰحِدًا ۖ  لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ

Maksudnya: Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah. Begitu juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

Surah at-Taubah (31)

Adi bin Hatim mendengar Rasulullah SAW membaca ayat ini dan bersabda:

أما إنهم لم يكونوا يعبدونهم، ولكنهم كانوا إذا أحلوا لهم شيئا استحلوه، وإذا حرموا عليهم شيئا حرمو

Maksudnya: Mereka sebenarnya tidak menyembah pendeta-pendeta mereka. Namun, jika pendeta-pendeta mereka menghalalkan sesuatu, maka mereka turut menghalalkannya. Begitu juga jika pendeta-pendeta mereka menghalalkan sesuatu yang haram kepada mereka, maka mereka turut menjadikannya haram.[1]

Riwayat at-Tirmizi

Sebaliknya, masyarakat Islam diajar untuk menghormati ulama tanpa menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT dan Nabi SAW. Akan tetapi, apabila ketaatan kepada ulama yang menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT dan Nabi SAW, maka ia adalah ajaran yang menyeleweng dan sesat. Terdapat jurang perbezaan antara ulama dalam Islam dengan pendeta, paderi atau pope dalam institusi gereja antaranya termasuklah:

1.       Keilmuan adalah asas kepada ulama, bukan jawatan dan tidak berkuasa mutlak

Masyarakat Islam diajar untuk menghormati kepada ulama kerana dalam setiap pandangan yang dikeluarkan adalah berdasarkan pertimbangan ilmu. Ulama sepenuhnya bertanggungjawab atas mendidik dan menyampaikan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam. Kedudukan ulama yang mempunyai kewibawaan ilmu telah diakui sebagai mana dalam firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat.” 

Surah al Mujadilah (11)

Al-Tabari menjelaskan ayat ini bahawa Allah SWT mengangkat darjat orang berilmu yang beriman berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.[2] Hal ini kerana hakikat ilmu bagi para alim-ulama adalah dapat mengenal Wujud yang tertinggi iaitu Allah SWT dari segi nama dan sifat-Nya. [3]

Oleh yang demikian, tradisi keilmuan Islam yang dibina oleh ulama sejak daripada Zaman Sahabat lagi telah membentuk pandangan yang berautoriti dalam Islam. Pandangan ulama dan ijtihad menjadi panduan kepada ulama Islam hari ini dalam menggubal hukum mengikut situasi semasa.

Sedangkan, pendeta dalam institusi gereja di Zaman Gelap Eropah yang didakwa sebagai wakil tuhan diberi hak mutlak untuk menolak perkembangan ilmu.[4] Bahkan para pendeta gereja dibenarkan menumpahkan darah masyarakat Eropah dalam menjalankan tugas.[5] Perkara ini dapat dilihat ketika itu apabila para ilmuwan yang bertembung dengan institusi gereja ketika itu dibunuh. Dianggarkan seramai tiga ratus ribu (300,000) orang menerima hukuman daripada institusi gereja dan tiga puluh dua ribu (32,000) daripadanya dibakar hidup-hidup.[6]

 

2.       Ulama tidak maksum, ijtihad ulama bersifat zanni dan mengandungi disiplin dalam syarak

Ulama dalam Islam tidak maksum dan tidak mempunyai kekebalan tertentu. Ulama juga boleh tersalah dan tersilap dalam melakukan ijtihad. Mereka tetap berdosa sekiranya melakukan sesuatu kemungkaran atau kemaksiatan. Walau bagaimanapun, ulama diikuti kerana menuruti sumber utama dalam Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Ulama sepenuhnya bertanggungjawab menjelaskan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Tafsiran ulama merupakan huraian kepada sumber hukum Islam berdasarkan sabda Baginda SAW :

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil warisan ilmu tersebut, maka ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

Riwayat Abu Daud

Dalam pada itu, terdapat piawai yang dibangunkan oleh ulama bagi mengelakkan penyalahgunaan dalam Islam. Piawai yang dikenali sebagai ijmak ulama menjadi kayu ukur sebarang penolakan bagi kesalahan individu yang dapat dikesan.[7] Perkara ini menjadi penghalang bagi ulama untuk mengikut hawa nafsu dan melakukan penyelewengan. Oleh yang demikian, apabila sesuatu ijmak itu berlaku dengan menepati syarat-syaratnya, maka ia menjadi suatu pandangan yang berautoriti dalam Islam.

Sedangkan, institusi gereja di zaman gelap telah membentuk sekuriti bagi melindungi tindakan brutal mereka terhadap masyarakat Eropah ketika itu. Antaranya termasuklah prosedur kehakiman yang dikenali sebagai inquisition secara kejam menghukum masyarakat Eropah menentang institusi gereja. Konsep pelindungan seperti ini juga menzahirkan institusi gereja memiliki konsep infallible, tidak didapati bersalah atau maksum daripada kesalahan.[8] Perkara ini merujuk kepada perintah atau hukuman yang dibuat secara maksum oleh ketua paderi atau paderi sendiri tanpa siapa yang berhak membantahnya.[9]

Kesimpulan

i.        Menyamakan ulama dalam Islam dengan pendeta dalam institusi gereja merupakan persepsi negatif yang diadaptasi daripada Zaman Gelap Eropah. Perkara ini disebabkan berlaku peristiwa gelap dalam sejarah Eropah. Sedangkan, peristiwa zaman gelap di Eropah ini berbeza dengan konteks sejarah dan tradisi keilmuan Islam. Menyamakan ulama dalam Islam dengan pendeta dalam institusi gereja ini juga memberi implikasi buruk yang dapat mengurai keterikatan dan kepatuhan kepada institusi Islam.

ii.       Kewibawaan ulama terletak pada autoriti ilmu. Ulama yang sebenar dalam Islam merupakan ulama yang berasaskan dengan ilmu dan agama, bukan berdasarkan jawatan, kedudukan atau populariti semata-mata. Kredibiliti keilmuan dan kesarjanaan ulama jauh lebih tinggi dan dipercayai berbanding masyarakat awam. Ulama dinasihatkan untuk memiliki kemampuan yang mendalam dalam mengeluarkan hukum atau ijtihad berpandukan sumber hukum terutama al-Quran dan Sunnah. Ulama juga disarankan bersedia dalam mendepani isu globalisasi yang selaras dengan tuntutan semasa.

iii.       Masyarakat dianjurkan untuk menghormati dan mendampingi ulama supaya mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada mereka. Seandainya timbul persoalan dan permasalahan yang berkaitan dengan Islam, maka sepatutnya bersegera untuk mengajukannya kepada ulama. Walau bagaimanapun, setiap orang mempunyai ruang untuk tidak bersetuju dengan pandangan ulama kerana terdapat perselisihan pandangan yang lain. Namun begitu, masyarakat ditegah memaki hamun secara fanatik kepada ulama yang mempunyai pandangan berbeza. Kemukakan hujahan dan kritikan kepada ulama yang berbeza pandangan itu tadi kepada saluran yang betul. Hal ini kerana insitusi ulama wajar diletakkan pada tempat sepatutnya yang bersesuaian dengan kewibawaan ilmu mereka sebagai pewaris para nabi.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Abū ʿĪsā at-Tirmidhī, Sunan at-Tirmidhī, (Beirut: Dār al-Gharab al-Islami, 1996) 5: 173. (Abwāb al-tafsīr al-Qurān ‘an Rasūlillah SAW, Bāb min sūrah at-Taubah no. Hadith 3095).

[2], Muḥammad Ibn Jarir Ibn Yazid Al-Tabari, Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, (Kaherah: Dar al-Hijrah, 2001), 22: 480. Teks asal:

ويرفعِ اللَّهُ الذين أوتوا العلمَ مِن أهلِ الإيمانِ على المؤمنين الذين لم يُؤْتَوُا العلمَ بفضلِ علمِهم درجاتٍ - إذا عمِلوا بما أُمِروا به

[3] ʻAlī Ibn Muḥammad Al-Jurjani, Al-Ta‘r ifat, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), 145. Teks asal:

العالم: لغةً: عبارة عما يعلم به الشيء؛ واصطلاحا عبارة عن كل ما سوى الله من الموجودات؛ لأنه يعلم به الله من حيث أسماؤه وصفاته.

[4] Yusuf Qaradhawi, Al-Islam Wal-’Ilmaniyah, Wajhan Liwajhin. (Kaherah: Attab’ah Atsaniyah Dar-al-Sohwah Linnasyr Wa Tauzi’, 1994), 53 – 59. Teks asal:

(د) تاريخ الكنيسة غير تاريخ الإسلام :إن تاريخ الكنيسة نفسه مع العلم والفكر والحرية ، تاريخ مخوف ، فقد وقفت الكنيسة مع الجهل ضد العلم ، ومع الخرافة ضد الفكر ، ومع الاستبداد ضد الحرية، ومع الملوك والإقطاعيين ضد الشعب ، حتى ثارت الجماهير عليها ، وتحرورا من الحكم المباشر لرجالها ، واعتبروا عزل الدين عن الدولة ، كسبا للشعوب ضد جلاديها

[5] Safar Ibn Abdurrahman al-Huwaily, Al-’ilmaniyah Nasyatuha wa Tathawwuruha wa atsaruha fi al-Hayat al-Islamiyah al-Mu’ashirah. (t.tp: Dar al-Hijrah, t.t), 128. Teks asal:

منذ أن ظهر إلى الوجود ما يسمى المسيحية الرسمية في مجمع نيقية (٣٢٥م) والكنيسة تمارس الطغيان الديني والإرهاب في أبشع صوره، ففرضت بطغيانها هذا عقيدة التثليت قهراً، وحرمت ولعنت مخالفيها، بل سفكت دماء من ظفرت به من الموحدين، وأذاقتهم صنوف التعذيب وألوان النكال، ونصبت نفسها عن طريق المجامع المقدسة "إلهاً" يحل ويحرم، ينسخ ويضيف، وليس لأحد حق الاعتراض، أو على الأقل حق إبداء الرأي، كائناً من كان، وإلا فالحرمان مصيره، واللعنة عقوبته لأنه كافر "مهرطق".

[6] An-Nadwi, Abu al-Hassan Ali al-Hasani, Maza khasira al-'alam bi-inhitat al-Muslimin, (Mesir: Maktabah Iman, 1420 H), 157. Teks asal:

ويقدر أن من عاقبت هذه المحاكم يبلغ عددهم ثلثمائة ألف، أحرق منهم اثنان وثلاثون ألفاً أحياءواجتهدت أن لا تدع في العالم النصراني عرقاً نابضاً ضد الكنيسة، وانبثت عيونها في طول البلاد وعرضها، وأحصت على الناس الأنفاس، وناقشت عليهم الخواطر حتى يقول عالم نصراني: ((لا يمكن لرجل أن يكون مسيحياً ويموت حتف أنفه)) ، كان منهم العالم الطبيعي المعروف برونو، نقمت منه الكنيسة آراء من أشدها قوله بتعدد العوالم، وحكمت عليه بالقتل، واقترحت بأن لا تراق قطرة من دمه، وكان ذلك يعني أن يحرق حياً، وكذلك كان

[7] Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, (Beirut: Dar al-Fikr, 1998), 1: 490, Teks asal:

وعرفه جمهور العلماء : بأنه اتفاق المجتهدين من أمة محمد بعد وفاته في عصر من العصور على حكم شرعي .

[8] Frederiek Djara Wellem, Kamus Sejarah Gereja, (Jakarta: Gunung Mulia, 1994), 101.

[9] `Abd al-Rahman Hassan Habannakah al-Maydani, Kawashif zuyuf fi al-madhahib al-fikriyyah al-muasirah (Damsyik: Dar al-Qalam, 1991), 43. Teks asal:

ثمّ دفعهم هذا إلى اعتماد القرارات والأوامر التي يصدرها البابا وهو الرئيس الأعلى لكل رجال الدين المسيحي التابعين له والخاضعين لسلطته ومنح رجال الدين هؤلاء نفسهم العصمة عن الخطأ فيما يقررون من أحكام، فكانوا بذلك أرباباً من دون الله، يحللون ويحرمون لشعب الكنيسة بحسب آرائهم وأهوائهم وما يرون من مصالح لأنفسهم ولخدمة المسيحية المحرفة الأصول، دون أن يكون لأحد مهما كان عالماً بالدين أن يعترض على قرارات المجامع، أو قرارات البابا وأوامره ونواهيه.