اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI#260 : SUNNAHKAH BERPOLIGAMI?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 260 (3 MEI 2016 M / 25 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz.

Saya ingin bertanya. Adakah poligami itu sunnah? Mohon ustaz beri pencerahan tentang ini kerana ada yang keliru mengatakan poligami itu memang betul sunnah kerana Nabi S.AW buat.

Syukran ustaz.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pertama sekali, kita lihat apakah maksud Sunnah? Ulama mendefinisikannya:

ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم من قول أو فعل أو تقرير أو صفة خُلُقية أو خَلقية

Maksudnya; “Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW dariapda jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlaq ataupun fizikal. “

Rujuk Kitab Ulum al-Hadith wa Nusus min al-Athar (1/31).

Namun begitu apakah setakat itu maksudnya? Hukum itu juga perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya. Kaedah mengatakan:

أحكام الشارع معللة بالأسباب مرتبطة بالمصالح

Maksudnya: Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.

Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.

Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.

(Surah al-Nisa', 4:3)

Ayat di atas dengan jelas menunjukkan kalau ditakuti membawa kepada kezaliman jika berpoligami, maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Kezaliman ini juga perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal. Jika tidak diraikan perkara ini, kebahagian yang diburu tidak ditemui sebaliknya hanya derita dan mungkin ke Hospital Bahagia!

Renungilah ayat Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat 21:

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Wallahua’lam.