اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #421 : BERSENTUHAN ANTARA LELAKI DAN WANITA KETIKA TAWAF, ADAKAH MEMBATALKAN WUDHU’?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 421 (2 NOVEMBER 2016 M / 2 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Saya telah melakukan haji pada tahun 2012 dan ketika sedang tawaf qudum, muka saya telah tersentuh oleh tangan lelaki. Adakah batal wudhu’ saya? Seterusnya, bagaimana pula dengan tawaf saya, adakah sah?

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tawaf merupakan rukun bagi ibadah haji dan umrah. Tanpa tawaf, maka ianya tidak dikira sebagai ibadah haji mahupun umrah. Bagi syarat sah tawaf pula, perlulah suci dari hadas, najis (pada pakaian, badan dan juga tempat tawaf). Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah R.Anha yang mana satu ketika beliau mengadu kepada Rasulullah SAW yang beliau dalam keadaan haidh. Maka Rasulullah SAW bersabda:

افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي
Maksudnya: Lakukanlah apa yang dilakukan oleh mereka yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf sehingga kamu bersih (dari haidh).

Riwayat Al-Bukhari (1650)

Berdasarkan hadith di atas, diketahui bahawa syarat sah tawaf mestilah dalam keadaan bebas dari hadas. Ini juga bermaksud perlu kepada wudhu’ bagi seseorang yang ingin melakukan tawaf.

Berkaitan dengan persoalan di atas, mengenai adakah batal wudhu’ jika tersentuh antara lelaki dan perempuan ketika melakukan tawaf, ianya menjadi perkara khilaf dikalangan para ulama’ dan kami nyatakan seperti berikut:

  • Muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa lapik akan membatalkan wudhu’ sama ada sentuhan itu disertai syahwat ataupun tidak. Begitu juga sama ada sentuhan itu sengaja ataupun tidak ataupun terlupa.
  • Menurut mazhab Hanafi, ianya tidak membatalkan wudhu’ jika tersentuh di antara lelaki dan perempuan. Ianya juga adalah pendapat Muhammad bin Al-Hasan al-Syaibani dan ianya juga adalah pendapat Ibn ‘Abbas, Tawus, al-Hasan, ‘Ato dan ini juga adalah pendapat pilihan Ibn Taimiyyah.
  • Pendapat yang masyhur di sisi mazhab Hanbali dan Maliki mengatakan bahawa sentuhan di antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’ jika tidak disertai dengan syahwat.

Pendapat-pendapat yang kami kemukakan di atas adalah berdasarkan pengamatan kami terhadap pendapat para ulama’. Adapun badan berautoriti yang menguruskan soal ibadat Haji jemaah Malaysia melalui Muzakarah Haji ke-21/1426 H mengatakan boleh beralih dari pendapat syafi’e yang masyhur kepada pendapat syafi’e yang marjuh iaitu tidak batal wudhu’ jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat dalam masyaqqah (kesukaran dan kepayahan) dan haraj seperti kesesakan di tempat tawaf dan lainnya.

Begitu juga di dalam buku Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah yang diterbitkan oleh Bahagian Bimbingan, Lembaga Tabng Haji, yang telah dikemaskini pada tahun 2015 pada halaman 205 menyebutkan:

“Tidak batal wudhu’ jika sentuh tanpa syahwat walau di mana ketika musim haji (dalam keadaan masyaqqah). Maka sah melakukan semua ibadah yang disyaratkan berwudhu’.”

Oleh itu, kami menyatakan sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Haji ke-21 iaitu wudhu’ tidak terbatal berdasarkan pendapat mazhab Syafi’e yang marjuh dan ianya juga bertepatan dengan mazhab Hanbali dan juga Maliki. Maka, sah juga tawafnya kerana wudhu’ tidak terbatal.

Wallahu a’lam.