اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL_KAFI #251 :PEMBAHAGIAN MALAM DAN QIAMULLAIL

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 251 (19 APRIL 2016 M / 11 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalammualaikum. Saya, AZMAN BIN JAFFAR dari Muar. Saya keliru dengan pengertian 1/3 malam. Jam 7.00 hingga 12.00 dikira malam. Jam 1 hingga 6.00 dikira pagi (Sebelum masuk Subuh di tempat saya. Adakah kita mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, 7-12 malam? ATAU kita mengerjakan solat Tahajjud jam 1-6.00 pagi (sebelum Solat Subuh). Apakah pengisian-pengisian yang kita lakukan semasa Solat Tahajjud? Terima Kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Sebenarnya, bermula waktu malam ialah dengan masuknya waktu Maghrib dan berakhir dengan habisnya waktu Isyak. Jika diambil kira waktu solat semasa di Kuala Lumpur mengikut kaedah 24 jam, waktu Maghrib bermula pada jam 19:21 dan berakhirnya waktu Isyak pada jam 05:52. Maka, jumlah waktu malam ialah 10 jam 50 minit. Jika sepertiga malam ialah 3 jam 50 minit, maka bermulanya sepertiga malam terakhir ialah kira-kira pada jam 02:21 sehingga subuh.

Berkenaan solat sunat Tahajjud, solat ini dilaksanakan, selepas bangun dari tidur dan sebelum masuk waktu subuh Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/217).

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (1145) dalam Sahih-nya.

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya Ketetapan—Nya, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.

Kami cenderung bahawa pembahagian malam ini hanyalah bersifat taqribi (anggapan paling dekat; lebih kurang) bukannya tahdidi (secara tepat). Terpulang kepada penanya untuk berqiamullail mengikut keselesaan dan kemampuan.

Wallahua’lam.