اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #484: PERKAHWINAN DENGAN PEREMPUAN AHLI KITAB

Soalan: Apakah status mengahwini Ahli Kitab? Ini kerana, hari ini terdapat orang yang mengahwini perempuan Ahli Kitab.

Jawapan:

Ahli Kitab di dalam al-Qur’an secara jelasnya merujuk kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian yang berpegang kepada Taurat dan Injil. Pun begitu, ulama’ berbeza pandangan dalam menentukan definisi ahli Kitab.

  • Imam al-Syafie mengkhususkan Ahli Kitab kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian. Mereka yang bukan daripada keturunan Bani Israel, tidak tergolong dalam Ahli Kitab walaupun menganut agama Yahudi dan Kristian, tidak termasuk dalam golongan Ahli Kitab. Ini kerana, Nabi Musa dan Nabi Isa hanya diutuskan kepada Bani Israel dan bukan kaum lain. Sebagaimana Taurat dan Injil diturunkan hanya kepada mereka, maka al-Qur’an menamakan mereka sebagai Ahli Kitab. (Rujuk al-Umm, 4/182)
  • Imam al-Syirazi juga berpandangan sebagaimana Imam al-Syafie. Firman Allah SWT

أَنْ تَقُولُوا إِنَّمَا أُنْزِلَ الْكِتَابُ عَلَى طَائِفَتَيْنِ مِنْ قَبْلِنَا وَإِنْ كُنَّا عَنْ دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ
Maksudnya: Supaya kamu tidak mengatakan: "Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka."
(Surah al-An’am: 156)

Menurut Imam al-Syirazi, kalimah “dua golongan” (طَائِفَتَيْنِ) merujuk kepada Yahudi dan Kristian. (Rujuk al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam Syafie, 3/306)

  • Al-Shahrastani pula berpendapat bahawa Ahli Kitab tidak hanya dikhususkan kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian tetapi juga sesiapa sahaja yang menerima Taurat dan Injil, samada mereka mengamalkannya atau tidak. (Rujuk al-Milal wa al-Nihal, 2/13)
  • Menurut Imam Abu Hanifah, Ahli Kitab juga adalah mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) termasuk dalam penganut Kristian. Walaupun mereka banyak perbezaan daripada agama-agama lain; kerana Kristian itu terdapat banyak aliran seperti al-Marquniyyah, al-Aaryusiyyah, al-Maruniyyah. Ketiga-tiga aliran ini daripada mazhab al-Nisturiyyah dan al-Malkiyyah. Aliran al-Ya’qubiyyah berlepas diri daripada aliran-aliran ini dan mengharamkan mereka. Aliran mereka ini dinisbahkan kepada Yahya bin Zakaria, Shith dan mendakwa kitab-kitabnya kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Shith bin Adam, Yahya bin Zakaria dan Kristian menamakan mereka sebagai Yuhanna. (Rujuk Ahkam al-Qur'an, 3/118)

Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, kami melihat bahawa pandangan Imam al-Syafie dan juga Imam al-Syirazi lebih tepat dan menggambarkan apa yang dinyatakan di dalam al-Qur’an. Hal ini dikuatkan lagi dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 14 Julai 1977 yang memutuskan bahawa takrif Kafir Kitabi ialah orang Yahudi atau Nasrani:

  • Yang berketurunan Nabi Yaakub A.S., jika tidak diketahui datuk neneknya memeluk agama itu selepas dinasakhkan (dibatalkan) oleh agama yang berikutnya seperti agama Yahudi dinasakhkan oleh agama Nasrani dan agama Nasrani dinasakhkan oleh agama Islam; ATAU
  • Yang bukan berketurunan Nabi Yaakub A.S., jika diketahui datuk neneknya memeluk agama itu sebelum dinasakhkan

Berhubung status perkahwinan dengan perempuan ahli kitab, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 Mei 1980 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa:

  • Pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Shafie.
  • Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama' dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.
  • Pernikahan suami/isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.