AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 194 (22 FEBRUARI 2016 M / 13 JAMADILAWAL 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum, ustaz. Saya mahu bertanyakan tentang pesan Allah di dalam al-Quran yang bermaksud, "Janganlah kamu mendekati zina." 1. Adakah zina yang dimaksudkan hanya untuk perbuatan zina sahaja? 2. Adakah kita boleh menggunakan ayat tersebut untuk maksiat? 3. Adakah perbuatan homoseksual dikategorikan sebagai zina?
Saya berharap ustaz meluangkan masa untuk memberikan jawapan kepada persoalan saya.
Saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Firman Allah Taala:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
Surah al-Isra’, 17:32
Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Jelaslah maksud “jangan mendekati” dalam al-Quran menunjukkan bahawa semua sarana yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.
Berkenaan dengan homoseksual, perkataan “fahisyah” dalam ayat tersebut juga merujuk kepada kategori perbuatan keji termasuk liwat. Firman Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِين إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?. "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".
Surah al-A`raf, 7:80-81
Ibnu Kathir juga menyebut bahawa perbuatan keji ini tidak pernah menjadi adat dan dilakukan oleh manusia, bahkan tidak pernah terlintas dalam aqal mereka, sehingga kaum Sodom melakukannya dan Allah melaknat mereka. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim 3/445.
Ulama bersepakat secara ijmak bahawa perbuatan homoseksual seperti kaum Lut itu ialah maksiat dan dosa besar, tetapi mereka berbeza pendapat adakah hukumannya sama seperti zina atau bukan. Inilah yang disebut oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma (1/131). Sebahagian ulama berpendapat dosanya lebih keji daripada zina kerana merosakkan fitrah manusia.
Kami sertakan di sini keburukan-keburukan yang datang daripada zina dala kitab al-Kabair (1/50-54) oleh al-Dzahabi:
- Mengikut hukum Islam, penzina yang belum pernah berkahwin disebat 100 kali sebatan sedangkan bagi yang sudah berkahwin, direjam sehingga mati.
- Bagi mereka yang terlepas daripada hukuman dunia dan tidak bertaubat, para penzina digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka sambil dipukul kemaluan mereka dengan cemeti daripada besi sambil dicemuh oleh Malaikat Zabaniah.
- Dicabut iman daripada dalam hatinya ketika berzina, seperti pakaian yang dicabut daripada tubuh.
- Allah Taala tidak akan berkata-kata dengan orang tua yang berzina di Hari Kiamat, tidak mahu melihatnya (yakni membiarkannya), dan tidak menyucikannya daripada dosa-dosa dan baginya azab yang pedih.
- Dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh nyawa tanpa alasan yang hak.
- Dijadikan bekas seperti ketuhar dalam neraka bagi para penzina, yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya, setiap kali disambar api mereka akan menjerit-jerit kerana panas yang melampau.
- Kemaluan mereka akan berbau sangat busuk sehingga menyeksa para penghuni ahli neraka.
- Iblis berbangga dengan para tenteranya yang berjaya menarik manusia melakukan zina hingga menganugerahkan mahkota istimewa kepada mereka.
- Mendapat tiga keburukan di dunia; dihilangkan seri wajahnya, dipendekkan umurnya dan berkekalan dalam kefakiran.
- Memperolehi tiga keburukan di akhirat; kemurkaan Allah, penghitungan amal yang buruk dan azab neraka.
- Dijadikan sebatang sungai dalam neraka yang mengalirkan nanah dan muntah daripada kemaluan orang berzina yang menjadi minuman para peminum arak.
- Dijadikan bagi mereka sebuah lembah di dalam neraka yang dalamnya ada ular dan kala jengking sebesar baghal, yang memiliki tujuh puluh duri yang berbisa yang mengengat para penzina selama seribu tahun sehingga terlerai dagingnya.
- Dijadikan azab kubur baginya seperti azab separuh umat.
- Diharamkan syurga buat orang yang berzina sedangkan dia tahu perbuatan itu dilarang.
- Selain itu, perbuatan zina juga boleh merosakkan nasab manusia dengan lahirnya anak di luar hubungan perkahwinan. Semoga Allah mengampuni kita dan menjauhi kita daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar.
Wallahua`lam.