AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 175 (3 FEBRUARI 2016 / 24 RABIULAKHIR 1437 H)
Soalan :
Assalamualaikum Ustaz,
Saya sudah buat jamak dan qasar (jamak takdim) untuk solat Zohor dan Asar. Ditakdirkan saya sampai ke destinasi saya yang mana waktu Asarnya belum lagi masuk. Adakah sah solat jamak dan qasar yang dilakukan tadi? Adakah perlu saya mengulangi solat asar tersebut?
Terima kasih
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Sah solat jamak dan qasar yang dilakukan dan tidak wajib mengulangi solat. Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Janganlah kalian bersolat dengan suatu solat itu (yakni solat fardu) dua kali dalam sehari.
Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibn Khuzaimah dan lain-lain.
Namun begitu, jika seseorang itu sampai ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat fardu berjemaah, contohnya solat Asar, maka afdal baginya untuk mengulangi solat bersama mereka sebagai sebagai solat sunat. Daripada Yazid bin Aswad RA bahawa dia berkata:
صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَجْرَ بِمِنًى فَانْحَرَفَ فَرَأَى رَجُلَيْنِ وَرَاءَ النَّاسِ فَدَعَا بِهِمَا فَجِيءَ بِهِمَا تَرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَ النَّاسِ فَقَالَا قَدْ كُنَّا صَلَّيْنَا فِي الرِّحَالِ قَالَ فَلَا تَفْعَلَا إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فِي رَحْلِهِ ثُمَّ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ مَعَ الْإِمَامِ فَلْيُصَلِّهَا مَعَهُ فَإِنَّهَا لَهُ نَافِلَةٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW bersolat fajar di Mina. Lalu Baginda berpaling ke belakang langsung beliau dua orang lelaki di belakang orang ramai (tidak bersolat sekali). Lantas Baginda memanggil keduanya. Lalu dibawa keduanya ke hadapan Rasulullah SAW, keduanya dalam keadaan gemetar. Maka Baginda bertanya bertanya: "Apa yang menghalangi kalian berdua untuk bersolat bersama manusia lain?” Mereka menjawab: "Kami telah menunaikan solat dalam perjalanan." Baginda bersabda: "Janganlah kalian buat seperti itu. Jika salah seorang daripada kalian telah menunaikan shalat dalam perjalanannya lalu mendapati solat sedang didirikan bersama imam, maka hendaklah dia turut menunaikan solat, maka solat itu baginya ialah solat nafilah (sunat)."
Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmidhi, Hakim dan lain-lain.
Wallahua`lam.