AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 201 (1 MAC 2016 M / 21 JAMADILAWAL 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum YBhg Datuk SS,
Saya ada satu pertanyaan berkenaan dengan zakat pendapatan. Adakah zakat pendapatan sama seperti zakat fitrah yakni kita perlu bayar di negeri tempat kita mencari rezeki? Adakah zakat pendapatan yg disalurkan ke negeri lain dikira sebagai sedekah dan bukannya zakat?
Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Firman Allah Taala:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Surah al-Baqarah, 2:43
Firman-Nya lagi:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Surah al-Taubah, 9:103
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Surah al-Nisa’, 4:59
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke penduduk Yaman, baginda berpesan, antara lainnya:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah menfardukan ke atas mereka sadaqah (zakat wajib) terhadap harta-harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.
Hadis riwayat al-Bukhari.
Daripada Abu Juhaifah RA bahawa dia berkata:
قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا
Maksudnya: Telah datang wakil Rasulullah SAW untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat daripada kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami.
Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibn Hibban dan al-Tabraniز
Nas-nas di atas difahami oleh para ulama merujuk kepada keutamaan membayar zakat di negeri yakni tempat harta-harta zakat itu diperolehi. Manakala, tugas mengurus pengedaran atau pembahagian itu dilakukan oleh wakil Ulil Amri, Baitul Mal kepada asnaf yang layak. Justeru, penentuan untuk menyalurkan harta zakat kepada kawasan lain wajar ditetapkan oleh Baitulmal yang telah diamanahkan untuk mengetahui hal ehwal asnaf setempat.
Isu sebenarnya bukan pada sah atau tidak zakat tersebut tetapi pada keutamaan membayar zakat di kawasan setempat. Ini boleh difahami melalui analogi berikut. Di tempat A, ada orang-orang kaya dan orang-orang miskin yang ramai. Lalu, orang-orang kaya mereka membayar di negeri-negeri lain, sedangkan kekayaan mereka terwujud di tempat A. Apakah perasaan orang-orang miskin di tempat A? Mereka hanya melihat tanda-tanda kekayaan di tempat mereka, tetapi tidak dapat merasa keuntungan tersebut. Pasti sedikit sebanyak terguris hati. Ini termasuklah zakat pendapatan.
Justeru, selesaikan dahulu keperluan setempat, baru diambil kira keperluan kawasan lain.
Wallahua`lam.
Pautan berkaitan: