AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 204 (4 MAC 2016 M / 24 JAMADILAWAL 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Bagaimana hukum menjual dan membeli emas secara online? Duit dah dibayar tetapi barang emas diperolehi selepas beberapa hari disebabkan proses penghantaran melalui pos. Mohon pencerahan Dr.
Terma kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kami cenderung kepada pendapat bahawa transaksi sedemikian jangan dilakukan. Ini kerana salah satu syarat perniagaan barang ribawi berbentuk emas ini ialah mewajibkan taqabudh, yakni penyerahan antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad. Hal ini untuk mengelak riba nasiah. Penyerahan ini boleh dilakukan secara hukmi, seperti perwakilan dan juga hissi, yakni secara pegangan fizikal. Al-Barra’ bin `Azib dan Zaid bin Arqam pernah bertanyakan Rasulullah SAW tentang hukum pertukaran matawang. Baginda menjawab:
إِنْ كَانَ يَدًا بِيَدٍ فَلاَ بَأْسَ، وَإِنْ كَانَ نَسَاءً فَلاَ يَصْلُحُ
Maksudnya: Jika dilakukan secara tangan dengan tangan (saling mengambil) maka tidak mengapa, manakala jika secara bertangguh itu tidak baik (yakni, dilarang).
Hadis riwayat al-Bukhari 2060.
Kami juga menyarankan agar mengelakkan diri daripada mencari khilaf-khilaf dalam perkara ini. Gunalah mimbar warak, dan pergilah ke daerah pegangan yang lebih yakin, selamat, betul dan tepat.
Wallahua`lam.