AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 211 (14 MAC 2016 M / 5 JAMADILAKHIR 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Zikir selepas waktu syuruk atau waktu israk, yang mana satu pahalanya sama dengan mengerjakan haji tu?
Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kami kurang pasti apa yang dimaksudkan oleh penanya. Mungkin yang dimaksudkan ialah fadilat berikut. Daripada Jabirah bin Samurah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الفَجْرَ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (585) dalam Sunan. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.
Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ
Maksunya: Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (586) dalam Sunan. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.
Solat dua rakaat itu sebahagian ulama menganggapnya sebagai Solat Isyrak, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai solat Duha. Kedua-dua hadis di atas menunjukkan kelebihan pahala bagi orang yang memenuhkan masa selepas solat Subuh dengan iktikaf di masjid dan berzikir kepada Allah SWT sehingga terbitnya matahari.
Wallahua`lam.