اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Suami selalu bersedekah, isteri pula cemburu pahala

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 214 (15 MAC 2016 M / 6 JAMADILAKHIR 1437 H)


SOALAN:

 

Salam SS Datuk Mufti.

Nak tanya, saya kerap bersedekah. Sedangkan isteri tidak kerana tak bekerja. Bagaimana isteri nak dapatkan pahala sebagaimana suaminya bersedekah?

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt

Banyak cara boleh dilakukan oleh si isteri seperti bersedekah dengan memberikan makanan yang dimasak kepada orang yang memerlukan seperti jiran dan kaum kerabat yang miskin, setelah dia sudah memastikan yang suami dan keluarga sudah dapat makan daripada masakan yang dimasaknya. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

يَا نِسَاءَ المُسْلِمَاتِ، لاَ تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا، وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ

Maksudnya: “Wahai wanita-wanita muslimah! Janganlah seorang tetangga meremehkan untuk memberikan sedekah kepada tetangganya, walaupun hanya sepotong kaki kambing.”

Hadis riwayat al-Bukhari (2566) dan Muslim (2376).

Cara kedua, ialah si suami memberikan kepada isteri peruntukan untuk bersedekah, contohnya digunakan untuk bersedekah ke masjid-masjid. Cara lain ialah, isteri itu sendiri menggunakan duit nafkah bulanan, contohnya, daripada pemberian suami, sebahagian digunakan untuk makan dan sebahagian digunakan untuk bersedekah. Dan pelbagai cara lagi yang boleh kita fikirkan.

Sesungguhnya kita mahu semua ahli keluarga kita dapat berbakti dan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Kita mahu sama-sama berjaya masuk ke syurga Allah dan kekal bersama dalam kebahagiaan. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ* جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ * سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ

Maksudnya: Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.

(Surah al-Ra`d, 13:22-24)

Semoga rumahtangga yang kita bina sentiasa mendapat rahmah, mawaddah dan keredaan Allah SWT, yang akhirnya menatijahkan kebahagiaan. Amin.

Wallahua`lam.