اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI #462: ADAB-ADAB MENZIARAHI MAKAM RASULULLAH SAW

 

Soalan:

Apakah adab-adab menziarahi makam Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Untuk menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini satu subtopic berkenaan adab-adab dalam menziarahi makam Rasulullah SAW yang mana telah kami terjemahkan dari kitab fiqh terkenal mazhab al-Syafi’e iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e. Antara adab-adab yang disebutkan adalah:

  1. Sunat berazam menziarahi Nabi SAW dan masjidnya ketika menuju ke Madinah supaya mendapat pahala kedua-duanya. Begitu juga, sunat memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW dalam perjalanan tersebut.
  2. Sunat mandi sebelum masuk Madinah sekiranya ada kemudahan. Jika tiada kemudahan, mandilah sebelum masuk ke dalam masjid dan pakailah pakaian yang paling bersih.
  3. Apabila sampai di pintu masjid, Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca:

أَعُوْذُ بِاللهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الكَرِيْمِ وَبِسُلْطَانِهِ القَدِيْمِ مِنِ الشَّيْطَاِن الرَّجِيْمِ، بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُلله، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلَّمَ. اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Maksudnya:Aku memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung, dengan zat-Nya yang Maha Mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang Maha Qadim, daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah dan segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya, dan sejahterakanlah mereka! Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-Mu untukku.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Zikir dan doa ini sunat dibaca di setiap masjid, sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadith sahih dan yang lainnya.

  1. Setelah bersolat di Raudhah, pergilah ke maqam Baginda yang mulia. Berdirilah di situ dengan membelakangi kiblat dan menghadap dinding maqam kira-kira 4 hasta jaraknya daripada bahagian kepala.

Sambil tunduk menghadap dinding maqam, kosongkanlah fikiran daripada hal-hal keduniaan, seolah-olah berhadapan dengan Baginda dengan segala kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi dan ucapkanlah salam dengan perlahan:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيْرَةَ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيرَةَ رَبِّ العَالَمِيْنَ. جَزَاكَ اللهُ يَا رَسُوْلَ اللهَ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى نَبِيًّا وَرَسُوْلاً عَنْ أُمَّتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ عَبْدُهُ وَرَسُوْلِهِ مِنْ خَلْقِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ الأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ

Maksudnya:Sejahtera atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.

 

Kemudian, bergeraklah sedikit ke kanan di tempat kubur Abu Bakar dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرِ الصِّدِّيْقِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar al-Siddiq.

 

Kemudian, bergerak lagi ke kanan di tempat kubur Umar bin al-Khattab dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا عُمَرَ بِنْ الْخَطَّابِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Umar bin al-Khattab.

 

Kemudian, kembalilah ke tempat permulaan. Sambil menghadap kiblat, berdoalah untuk diri sendiri dan semua orang Mukmin, sebarang doa yang dihajati. Sesungguhnya itulah masa berdoa yang mustajab, Insya-Allah.

  1. Tidak harus tawaf di maqam Nabi SAW. Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Makruh melekapkan badan di dinding maqam, mengusap-usap dan mengucupnya, sebagaimana yang banyak dilakukan oleh mereka yang jahil. Cara yang beradab adalah dengan berada jauh dari maqam tersebut, seolah-olah berada di hadapan Baginda ketika hayatnya.
  2. Sebaik-baiknya, bersolatlah di masjid Rasulullah SAW selama berada di Madinah dan ziarahilah perkuburan Baqi’ pada setiap hari dan juga perkuburan para syuhada’ di Uhud.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini, dapat menyemarakkan lagi cinta kita terhadap Baginda SAW namun yang lebih penting dari itu adalah dengan mengamalkan segala sunnah Nabi SAW yang sahih dan semoga dengannya akan beroleh keberkatan. Wallahu a’lam.