اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI KE-454: TANDA-TANDA 100 HARI SEBELUM KEMATIAN

Soalan: Mengenai tanda-tanda kematian yang disebarkan melalui internet seperti tanda sebelum 100 hari dan lain-lain. Adakah ianya boleh diguna pakai?

Jawapan:

Kaedah yang penting bagi menilai sesuatu khabar yang kita dengar samada ianya benar adalah memastikan dahulu sumbernya daripada al-Qur’an dan al-Hadith. Allah menegaskan dalam al-Qur’an

وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.”
(Surah Luqman: 34)

Firman Allah SWT:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”
(Surah al-An’am: 59)

Sekiranya tanda-tanda tersebut berdasarkan pengalaman peribadi, maka ianya boleh sahaja dipakai sebagai panduan umum. Tetapi, tidak boleh untuk meyakini secara teguh bahawa ianya adalah tanda-tanda sebelum kematian. Walaubagaimanapun, secara pastinya tanda-tanda 100 hari yang tersebar itu bukannya berasal daripada mana-mana hadis dan dilarang untuk menisbahkannya kepada Rasulullah SAW. Tidak dinafikan, ada sebahagian ulama’ yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT untuk mendapat tahu atau merasakan tanda-tanda kematiannya. Sebagai penutup, kami nukilkan kisah kematian Ibn Rajab al-Hanbali untuk renungan bersama.

Pada tahun 795 Hijrah, Ibn Rajab telah kembali bertemu penciptaNya di kota Damsyik dan  dikebumikan di perkuburan al-Bab al-Saghir berhampiran makam Syaikh Abdul Wahid bin Muhammad al-Syairazi. Dalam menentukan tahun kewafatan beliau, ulama’ tidak berkhilaf pada hal tersebut tetapi ulama’ telah berkhilaf pada menentukan bulan kewafatan Ibn Rajab samada pada bulan rejab atau ramadhan.

Ibn Nashiruddin berkata : “Bahawa orang yang menggali liang lahad untuk Ibn Rajab berkata kepadaku bahawa Ibn Rajab telah datang kepadanya beberapa hari sebelum kewafatannya dan berkata : "Galilah lahad untukku di sini sambil menunjuk ke arah salah satu tempat".

Penggali lahad tersebut berkata : "Aku pun menggali lahad untuknya sebagaimana yang diminta. Setelah aku selesai menggali lahad tersebut, Ibn Rajab turun ke dalamnya dan berbaring di dalamnya. Aku terkejut dengan tindakan Ibn Rajab tersebut”.

Setelah itu, Ibn Rajab berkata : “Lahad ini bagus” dan beliau terus beredar. Penggali lahad berkata lagi kepadaku : “Demi Allah, aku tidak merasakan apa-apa setelah peristiwa itu berlalu selama beberapa hari dan ternyata Ibn Rajab didatangkan ke liang lahad tersebut dalam keadaan telah meninggal dunia dan diusung di atas keranda. Lalu aku meletakkannya di dalam lahad tersebut dan menutup liang lahad tersebut dengan tanah. Semoga Allah merahmatinya dan mengurniakannya syurga firdaus".

Kisah ini dinukilkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Radd al-Wafir hlm. 107