Soalan:
As salam Dato'. Sy nak tanya betulkah apabila menyilang jari kita spt menggenggam tu dilarang? Kalau ada hadis mengenainya adakah dia sahih? Maksud saya jari jari tangan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Perbuatan menggenggam sambil menyilang jari jemari antara telapak tangan kanan dan kiri itu dinamakan sebagai “tasybik”. Perbuatan tasybik ini hukumnya adalah makruh sekiranya dilakukan oleh seseorang yang menuju dan bersiap sedia untuk bersolat, seperti dalam perjalanan atau ketika sedang menunggu solat dan mendengar khutbah Jumaat.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا كَانَ يَعْمِدُ إِلَى الصَّلَاةِ فَهُوَ فِي صَلَاةٍ
Maksudnya: “Maka sesungguhnya setiap seorang daripada kalian tatkala bersiap sedia menuju maka dia sedang berada dalam keadaan solat.”
Hadis riwayat Muslim (602)
Ketika solat makruh bagi seseorang itu untuk menggenggam secara tasybik. Mengikut jumhur ulama, larangan yang sama juga berlaku bagi seseorang bersiap sedia menuju solat.
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Telah bersepakat para ashab (ulama Syafieyyah) dan selain daripada mereka tentang hukum makruh melakukan tasybik pada jari jemari ketika dalam perjalanan menuju masjid, ketika di dalam masjid pada hari Jumaat, dan selainnya, dan dimakruhkan semua bentuk perbuatan sia-sia selama mana seseorang itu menuju solat, atau menunggunya. Ini berhujahkan hadis Ka`ab bin `Ujrah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ خَرَجَ عَامِدًا إلَى الْمَسْجِدِ فَلَا يُشَبِّكَنَّ يَدَهُ فَإِنَّهُ فِي صَلَاةٍ
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian berwuduk maka sempurnakanlah wuduknya, kemudia apabila dia keluar menuju ke masjid maka janganlah dia melakukan tasybik pada tangannya kerana dia itu berada dalam keadaan solat.”
Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi dengan sanad yang daif
Berkata al-Khattabi: “Perbuatan tasyabbuk ini dilakukan orang sebagai satu benda perkara yang sia-sia. Sebahagian mereka pula meletupkan jari jemarinya. Sebahagian manusia pula duduk ihtiba (duduk di atas punggung sambal menegakkan dua peha dan memeluk pehanya), sambil bertasybik jari jemarinya sehingga mungkin dia akan dikalahkan dengan tidur lalu menjadi sebab batallah wuduknya. Oleh kerana itu dilarang bagi orang yang bersiap sedia untuk solat daripada berbuat semua yang disebut tadi kerana demikian tidak sesuai bagi orang yang hendak bersolat.” Terkecuali daripada hal ini ialah apa yang disebut dalam Sahih al-Bukhari.”
Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (4/544-545)
Pengecualian yang dimaksudkan ialah tidak dimakruhkan tasybik ketika selain waktu menuju dan menunggu solat sekalipun di dalam masjid. Ini kerana telah sahih daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda juga melakukan tasybik.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:
شَبَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW melakukan menggenggam secara tasybik pada jari jemarinya.”
Hadis riwayat al-Bukhari (478)
Daripada Abu Musa al-Asy`ari R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu dengan orang beriman yang lain seumpama binaan yang saling mengukuh.” Lalu Baginda menggenggam tasybik.
Hadis riwayat al-Bukhari (482)
Wallahua’lam.