Soalan:
Salam. Apakah hukum meniru dalam peperiksaan?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Soalan ini sebenarnya sudah sangat jelas jawapannya. Meniru dalam peperiksaan adalah haram dan berdosa kerana melakukan penipuan. Sabda Rasulullah SAW:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”
Riwayat Muslim (101)
Berkata Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar (5/251): “Dalam hadis lain riwayat Muslim, Rasulullah menyebut: “Bukan daripada kalanganku.” Berkata al-Nawawi: “Maknanya adalah tidak mengikuti panduanku (yakni Nabi SAW), ilmu, amalan, dan perlakuan atas jalanku, seperti seorang lelaki berkata kepada anaknya yang melakukan sesuatu yang bapa itu tidak suka: “Engkau bukan dariku.”... Sufyan bin Uyainah tidak menyukai tafsiran sebegini dan berkata: “Ini ucapan yang buruk.” Baginya, cukup kita berhenti daripada menta`wilkan kerana itu lebih berasa di jiwa dan terkesan pada kesalahan.”
Berdasarkan daripada keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam. Seseorang boleh mendakwa bahawa mereka berhak meniru kerana mereka membayar yuran pendidikan dan sebagainya, atau mereka berasa meniru itu hanya perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Namun hakikatnya, inilah punca kepada masalah masyarakat yang kian terperangkap dengan masalah rasuah semakin berleluasa sehingga orang yang bukan ahli memegang jawatan penting dalam masyarakat.
Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya: “Apabila amanah itu sudah hilang maka tunggulah datangnya Kiamat.” Abu Hurairah bertanya: "Bagaimanakah amanah itu hilang wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Jika disandarkan suatu urusan kepada orang yang tidak berkeahlian maka tunggulah datang Kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (6496)
Meniru juga memberikan kesan buruk kepada diri sendiri. Orang yang meniru akan rosak kompas hatinya sehingga dia berasa baik apabila melakukan perkara buruk. Dia juga akan terbiasa menipu sedangkan menipu adalah sifat-sifat orang munafik. Selain itu, dia menjadi tidak merdeka dan selalu bergantung dan menyusahkan orang lain. Inilah antara kesan buruk menirup kepada masyarakat dan diri sendiri.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menghapuskan budaya meniru dan menipu dalam peperiksaan agar keberkatan hidup dapat dicapai dan dihindar daripada segala fitnah dan kacau bilau Hari Kiamat.
Wallahua`lam.