Soalan
Bolehkah berlaku zihar sementara yang bertempoh?
Jawapan
Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرَ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرَ مِن امْرَأَتِهِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أَنْتِ كَظَهْرِ أمِّي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”
Dari segi istilah, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalaq secara bain dengan wanita yang mahram muabbadkepadanya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 448) Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya. Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.
Hukum melakukan zihar adalah haram berdasarkan kepada nas al-quran dan ijmak ulama. Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنكُم مِّن نِّسَائِهِم مَّا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًا مِّنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: “Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Mujadalah: 2)
Berkaitan soalan yang diajukan, hukumnya adalah sah zihar yang dibuat terhadap isteri untuk tempoh sementara (al-azhar). (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 454) Ini kerana ia dikira seperti zihar yang bersyarat. Contoh lafaznya seperti: “Kamu bagiku seperti punggung ibuku selama sebulan.” Dengan lafaz ini, maka berlakulah zihar terhadap isteri dalam tempoh sebulan, berakhirlah hukum zihar dan isteri kembali halal disetubuhi seperti sebelum berlaku zihar. Walaupun begitu, suami tetap berdosa kerana perbuatan melakukan zihar adalah haram, sekalipun ia dilakukan untuk tempoh yang singkat. Jika zihar sementara itu dilakukan selama tempoh melebihi empat bulan, maka ia akan dikira seperti hukum ila’. Walaubagaimanapun, suami tidak dikenakan kifarat ila’, jika dia menyetubuhi isterinya sebelum tamat tempoh tersebut kerana ketiadaan sumpah. Bahkan ia hanya dikenakan kifarat zihar sahaja [al-Nawawi]. (RujukMughni al-Muhtaj, hlm. 455)
Wallahua’lam.