Soalan :
Assalammualaikum. Saya ingin bertanya, adakah melakukan tazkirah selepas menguburkan mayat itu merupakan suatu sunnah ?
Jawapan :
Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.
Isu memberikan peringatan atau tazkirah di perkuburan, semasa proses pengebumian jenazah adalah merupakan suatu perbahasan yang berlaku dalam kalangan para ulama terdahulu.
Imam al-Bukhari Rahimahullah ada meletakkan satu tajuk bab di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari dengan katanya: Bab Mau’izhah (Peringatan) Yang Disampaikan Oleh Seseorang Di Perkuburan Dan Duduknya Para Sahabatnya Di Sisinya.
Beliau kemudiannya memasukkan hadis al-bab iaitu hadis yang berkaitan dengan bab tersebut, yang merupakan sebuah riwayat daripada Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ جَالِسًا وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ " مَا مِنْكُمْ مِنْ نَفْسٍ إِلاَّ وَقَدْ عُلِمَ مَنْزِلُهَا مِنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ " . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَلِمَ نَعْمَلُ أَفَلاَ نَتَّكِلُ قَالَ " لاَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لهَ ثُمَّ قَرَأَ فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى
Maksudnya: Kami berada dalam proses pengebumian jenazah di perkuburan Baqi’ alGharqad. Kemudiannya Nabi S.A.W datang kepada kami lalu beliau duduk, dan kami pun duduk di sekeliling baginda. Bersama dengan Nabi sebatang kayu lalu baginda memusingmusingkannya daripada atas ke bawah. Kemudian baginda bersabda: ‘’Tidak ada seorangpun daripada kamu, tidak ada satu jiwa yang bernafas melainkan telah ditulis akan kedudukannya di syurga atau neraka. Serta telah dituliskan sama ada dia derita ataupun bahagia. Maka seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, tidakkah patut kita sekadar berserah kepada apa yang telah tertulis untuk kita dan kita meninggalkan beramal ? Maka sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan yang bahagia, ia akan membawanya kepada amalan golongan yang bahagia. Dan sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan derita (celaka) maka itu akan membawanya kepada amalan golongan yang derita’’. Maka kata baginda S.A.W: ‘’Adapun golongan yang bahagia, akan dipermudahkan mereka untuk beramal dengan amalan golongan yang bahagia. Manakala golongan yang derita, akan dipermudahkan untuk beramal dengan amalan golongan yang derita’’. Kemudian baginda membaca ayat: ‘’Maka sesiapa yang diberikan (kurniaan) dan dia bertakwa..’’
Riwayat al-Bukhari (1362)
Berdasarkan hadis di atas, perbuatan Rasulullah S.A.W memberikan pesanan dan nasihat yang berkaitan dengan kematian adalah menunjukkan kepada keharusan dan sunnahnya amalan seperti ini. Kerana itulah, al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk bab ini dengan hal tersebut.
Berikut kami kongsikan kata-kata al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan berkaitan tajuk bab bagi hadis ini: Seakan-akan beliau (al-Bukhari) mengisyaratkan kepada perincian berkenaan keadaan-keadaan duduk (di perkuburan). Sekiranya duduk itu kerana ada maslahah yang berkaitan si mati atau yang masih hidup, ianya tidaklah dimakruhkan. Dan larangan yang warid terhadap perbuatan tersebut (duduk di kuburan) adalah kepada perkara-perkara yang bercanggahan dengan hal tersebut (tanpa sebarang maslahah kepada yang hidup atau si mati). Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani (4/109).
Begitu juga terdapat beberapa riwayat lain yang menjelaskan berkenaan hal ini. Di antaranya adalah sebuah hadis daripada Uthman bin ‘Affan beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ
Maksudnya: Adalah Nabi S.AW apabila selesai sahaja dari pengebumian jenazah, baginda berdiri lalu bersabda : Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat tsabat (ketetapan), kerana dia sekarang ini sedang disoal.
Riwayat Abu Daud (3221)
Hadis di atas ini, secara isyarat menunjukkan kepada keharusan untuk seseorang memberikan tazkirah atau peringatan kepada orang ramai yang berada di majlis pengebumian jenazah supaya meminta pengampunan Allah S.W.T serta berdoa agar si mati diberikan ketetapan dalam menghadapi soal kubur oleh para malaikat.
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan hujahan dan beberapa dalil sokongan, kami berpendapat bahawa hukum menyampaikan tazkirah diperkuburan sesudah atau semasa proses pengebumian dijalankan, adalah harus. Sebagai tambahan, sifat tazkirah itu tidaklah dijadikan seperti khutbah pada hari Jumaat atau hari raya, akan tetapi lebih kepada ucapan nasihat dan peringatan kepada para hadirin yang berada di kubur tersebut dengan kaifiat yang biasa, serta memberi ajakan dan galakan kepada mereka untuk mendoakan keampunan buat si mati. Ini lebih bertepatan dengan petunjuk Nabi S.A.W.
Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.