اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #704 : HUKUM TERLIBAT DENGAN SYARIKAT YANG JALANKAN PEMBINAAN KAWASAN JUDI

Soalan :

Assalamualaikum Dato Dr Mufti. Apakah hukum seorang arkitek terlibat dengan satu projek perumahan yang dalam itu juga bercampur ada projek yang membina kawasan kelab lumba kuda?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, suka kami sebutkan sebuah hadis Nabi saw

الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لَا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ فَمَنْ اتَّقَى الْمُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقع في الحرام كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ

Maksudnya :” Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas dan diantara kedua itu perkara yang samar-samar(musytabihat) yang mana tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menjauhi syubhat maka dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjatuh di dalam  syubhat maka dia telah terjatuh ke dalam perkara yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di kawasan larangan hampir sahaja di masuk ke dalam kawasan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (2051), Muslim (1598)

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang jelas halal dan haramnya.Tiada perkara yang tidak dijelaskan halal dan haramnya. Kerana itu Nabi saw menyifatkan di antara halal dan haram itu adalah perkara yang samar-samar.

Kata Ibnu Hajar al-Haitami al-Syafie ketika mensyarahkan hadis ini :

“Hadis ini adalah kaedah utama yang ada di dalam agama. Ia adalah asal bagi sifat wara’ yang mana ia merupakan sifat yang disertai dengan keyakinan dan juga penyelamat daripada kegelapan syak dan was-was yang menjadi penghalang cahaya keyakinan.”

Rujuk al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in (hlmn 297)

 

Maka dengan itu dalam menjawab persoalan yang telah dikemukakan perlu dilihat dari beberapa aspek.Ini kerana asal bagi suatu pekerjaan itu adalah harus untuk dilakukan. Ini adalah berdasarkan kaedah

الأَصْلُ فِي اللأَشْيَاء الإِبَاحَةُ

Maksudnya:” Asal bagi sesuatu itu adalah harus.”

Termasuk di dalam kardah ini adalah pekerjaan seseorang.Keharusan tersebut adalah melihat kepada jenis pekerjaan yang dilakukan. Jika pekerjaan yang dilakukan itu halal tanpa melanggar hukum hakam syara’ maka harus untuk dilakukan pekerjaan tersebut. Jika pekerjaan tersebut menjurus kepada membantu perkara yang haram maka hukumnya adalah haram. Ini adalah berdasarkan firman Allah swt :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah :2)

Dalam isu si penanya ini berlaku percampuran iaitu adanya projek pembinaan rumah pada masa yang sama ada juga projek yang membina kelab lumba kuda yang merupakan salah satu jenis perjudian.Kaedah menyebut :

 

إِذَا اجْتَمَعَ الحَلاَلُ وَالحَرَامُ غُلِّبَ الحَرَامُ

 Maksudnya :”Jika bergabung (bercampur) halal dan haram maka haram terkehadapan.”

Rujuk al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid min Furu’ Fiqh al-Syafi’iyah (hlmn 106)

 

Mengikut kaedah ini maka apa yang dilakukakan dan hasil daripada pekerjaan tersebut adalah haram.Namun begitu, jika bercampur baur antara halal dan haram dalam pada yang sama dia tidak meyakini bahawa pekerjaan dan hasil pekerjaannya itu adalah haram maka apa yang dikerjakannya itu adalah harus. Ini berdasarkan kaedah :

اليَقِينُ لا يَزولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya:” Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak.”

al-Imam al-Sayuti  menyebut :

“Kata Sheikh Abu Hamid al-Isfirayni : Syak itu ada tiga jenis : Syak tentang asalnya adalah haram, syak tentang asalnya adalah halal dan syak dek keranan tidak tahu asalnya.” Beliau menyebut lagi : “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”

Justeru itu, kami berpandangan bahawa tidak mengapa untuk Tuan si penanya bekerja terlibat di tempat tersebut dengan beberapa syarat :

  1. Tidak terlibat dalam mereka bentuk atau apa-apa yang berkaitan dengan projek membina kawasan lumba kuda tersebut.
  2. Berusaha untuk mencari pekerjaan di tempat yang lain kerana takut-takut terlibat dengan projek yang melibatkan perkara yang haram.Akan tetapi, jika tiada peluang di tempat lain maka tidak mengapa untuk terlibat dengan projek tersebut asalkan tidak terlibat dengan projek yang melibatkan perkara yang haram seberti pembinaan kawasan lumba kuda yang disebutkan.

 

Wallahu’alam