اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 721 : HUKUM BERTARANNUM SELAIN DARIPADA AL-QURAN

Soalan :

Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya nak bertanya, baru-baru ini viral video salah seorang penerima BR1M bertarannum setelah mendapat BR1M. Lagu yang dinyanyikan dalam bentuk tarannum bukanlah ayat al-quran. Apakah hukum bertarannum? Adakah berdosa bagi orang yang menyanyi lagu bahasa melayu dalam nada bertarannum? Adakah ia dianggap mempersendakan Al-Quran? Sekian, terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca al-Quran dengan diperelokkan suara dan bacaan adalah satu perkara yang baik. Ianya juga adalah  perkara yang digalakkan oleh Nabi saw. Daripada al-Bara’ Bin ‘Azib, Nabi saw bersabda :

Daripada Bara’ Bin ‘Azib. Nabi saw bersabda :

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya :”Hiasilah al-Quran dengan suara kalian.”

Riwayat Ahmad (18788)

Kata Sheikh al-‘Azim Abadi :

 “Yang dimaksudkan adalah memperbaiki tartil (tajwid) dan bacaan.”

Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (9/285)

Ibnu Hajar ketika menjelaskan hadis ini beliau menukilkan kalam Ibnu Battal. Ibnu Battal menyebut :

“Yang dimaksudkan daripada sabda Nabi saw adalah membaca dengan bacaan mad (panjang), tartil (bertajwid) dan membaca al-Quran dengan sebenar-benar bacaan. Jangan dia salah menyebut huruf mahupun teragak-agak (untuk membaca).”

Rujuk Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari (10/357)

Nabi saw sentiasa membaca al-Quran dengan suara dan bacaan yang terbaik. ‘Adi Bin Thabit menyebut :

سَمِعْتُ الْبَرَاءَ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِشَاءِ { وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ } فَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا أَوْ قِرَاءَةً مِنْهُ

 Maksudnya :” Aku mendengar al-Bara’ berkata : Aku mendengar Nabi saw membaca ketika solat Isyak (وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ). Tidak pernah aku mendengar seseorang yang elok suaranya atau baik bacaannya daripada Nabi saw.”

Riwayat al-Bukhari (7546)

Di dalam hadis yang lain menyebut  :

مَا أَذِنَ اللَّهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرْآنِ

Maksudnya :”Tidaklah Allah mengizinkan bagi sesuatu apa yang Allah izinkan bagi Nabi iaitu supaya memperlagukan (memperelokkan bacaan) al-Quran.”

Riwayat al-Bukhari (5024)

Sufian al-Thauri menafsirkan perkataan يتغنى  sebagai cukup dengan bacaan al-Quran (tanpa mendengar bacaan kitab lain).

Begitu juga di dalam hadis yang ditujukan kepada Abu Musa al-‘Asy’ari yang disifatkan sebagai sahabat yang elok dan bagus  bacaan al-Qurannya. Daripada Abdullah bin Buraidah daripada ayahnya Buraidah Bin Hasib :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَأَخَذَ بِيَدِي فَدَخَلْتُ مَعَهُ فَإِذَا رَجُلٌ يَقْرَأُ وَيُصَلِّي قَالَ لَقَدْ أُوتِيَ هَذَا مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ وَإِذَا هُوَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ قَيْسٍ أَبُو مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ

Maksudnya :” Sessungguhnya Rasulullah saw memasuki masjid seraya mengambil tanganku. Maka aku pun masuk ke masjid bersama Baginda. Pada ketika itu,seorang lelaki membaca al-Quran dan bersolat. Lalu Nabi saw bersabda : Telah diberikan seruling ini (suara) daripada seruling keluarga Daud. Yang diberikan itu adalah kepada Abdulllah Bin Qais Abu Musa al-‘Asy’ari.”

Riwayat Imam Ahmad (23033) di dalam Musnadnya.

Maka dapat kita fahami, hadis-hadis di atas adalah galakan untuk memperelokkan bacaan al-Quran dari segi tajwid dan makhrajnya bukan sekadar memperelokkan suara..

Tarannum pula adalah satu seni bacaan atau kaedah suara yang dipelbagaikan bunyi mengikut prosesan nada, rentak dan irama yang tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan khususnya bacaan al-Quran. Ianya mempunyai dua bahagian iaitu Hijazi yang merangkumi maqam Bajankah, mayyah, Rakbi dan Dakkah. Yang kedua adalah Masri yang merangkumi maqam soba,hijaz, rast, jiharkah,sikah dan nahawand.

Kesemua ini adalah seni suara yang mana tujuannya adalah sekadar memperelokkan lagi seni suara yang bukan sahaja tertumpu pada bacaan al-Quran bahkan lebih meluas lagi adalah pada bacaan atau dendangan yang lain. Yang ditekankan adalah berkaitan memperelokkan bacaan dari segi tajwid dan makhraj huruf yang mana kedua-dua ini iaitu tajwid dan makhraj adalah sesuatu yang sangat penting dalam bacaan al-Quran.

Oleh itu, kami melihat tidak adalah masalah bagi seseorang bagi menyanyikan lagu bahasa melayu menggunakan tarannum kerana tarannum adalah salah satu seni suara yang digunakan dan yang dibacakan itu bukanlah ayat al-Quran. Selagi mana seseorang itu menggunakan tarannum untuk dalam keadaan dia tidak berniat untuk mempersendakan al-Quran maka dibolehkan. Jika dia berniat untuk mempersendakan al-Quran maka pada ketika ini ianya tidak dibolehkan bahkan dilarang.

Wallahu’alam.