اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #727: HUKUM MEMANDIKAN JENAZAH YANG TIDAK DILETAKKAN MENGADAP KE ARAH KIBLAT

 

 

Soalan: Apakah hukum memandikan jenazah yang tidak diletakkan mengadap ke arah kiblat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Antara perkara yang wajib disegerakan kepada orang yang telah meninggal dunia adalah disunatkan menyegerakan pengurusan jenazah tersebut seperti memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya serta mengebumikannya.

 

Telah berlaku ijma’ dalam kalangan umat Islam bahawa hukum keempat-empat perkara tersebut adalah fardhu kifayah ke atas kesemua orang Islam di tempat berlaku kematian tersebut. Jika tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang melaksanakan tugas tersebut, maka akan berdosalah kesemua masyarakat yang berada di tempat tersebut. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 250/1]

 

Adapun berkaitan cara memandikan jenazah terdapat dua iaitu yang paling ringkas (hanya dilakukan yang wajib sahaja) dan yang paling sempurna (melakukan yang wajib disertai dengan perkara-perkara yang sunat dan adab-adab ketika memandikan jenazah).

 

Cara yang ringkas itu adalah yang mencapai maksud mandi serta sempurna dengannya akan perkara yang wajib dan terlepas daripada dosa adalah dengan menghilangkan najis yang mungkin terdapat pada badan kemudian meratakan air ke seluruh badannya. Perkara yang wajib dilakukan ketika mandi junub pada hak orang yang hidup adalah sama juga pada hak orang yang telah meninggal dunia pada perkara yang wajib dilakukan ketika mandi. Jika seseorang itu memandikan jenazah dengan cara sebegini maka mandiannya itu telah memadai dan sah.

 

Berdasarkan soalan di atas, jika jenazah dimandikan dalam keadaannya jenazah tersebut tidak mengadap kiblat adalah sah dan dibolehkan kerana mengadap kiblat bukanlah syarat sahnya mandi tersebut. Ini kerana, yang wajib dilakukan ketika memandikan jenazah adalah cukup meratakan sahaja air ke seluruh badan jenazah tersebut. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 371] Untuk itu, kami katakan bahawa hukum memandikan jenazah dalam keadaan tidak mengadap ke arah kiblat adalah sah dan dibenarkan.

 

Semoga dengan jawapan yang ringkas ini menjawap persoalan berikut serta sedikit sebanyak memberi manfaat kepada yang bertanya dan semua yang membacanya. Akhirnya, kami mendoakan agar kita semua diberikan kefahaman di dalam agama kerana itu menandakan bahawa Allah SWT inginkan kebaikan kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam