اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #729 : ADAKAH ANAK YANG LAHIR SELEPAS KEMATIAN BAPA LAYAK MENERIMA PUSAKA?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Saya ada persoalan mengenai faraid harta peninggalan ayah saya. Ayah saya meninggal pada 24/4/1966, manakala saya lahir pada 2/8/1966 iaitu pada hari ke-100 kematian arwah. Adakah saya layak menerima harta pusaka arwah ayah berdasarkan hukum faraid?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kami berpendapat bahawa tuan berhak mendapatkan bahagian faraid peninggalan arwah ayah. Ini sesuai dengan pendapat dalam mazhab al-Syafie bahawa syarat seorang waris itu hendalaklah dia hidup secara pasti selepas kematian pewaris sekalipun satu lahzhah (sebentar). Ini kerana pewarisan itu ditetapkan bagi mereka yang hidup, maka tiada harta pusaka bagi waris yang mati.

Indikasi kewujudan hayat bagi waris boleh ditentukan secara hakikat atau taqdiran (penetapan). Indikasi secara hakikat adalah dengan penyaksian, melihat fizikal, dan pemeriksaan kesihatan. Manakala indikasi secara taqdiran ialah penetapan wujudnya ruh bagi janin dalam kandungan semasa matinya pewaris. Justeru, bahagian pusaka bagi janin itu hendaklah diasingkan awal-awal sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan hanya akan berkuatkuasa dengan syarat janin itu lahir hidup.

 

Ini berdalilkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَهَلَّ الْمَوْلُودُ وُرِّثَ

Maksudnya: “Jika anak yang dilahirkan itu menangis keluar suara, maka sabit baginya harta pusaka.”

Hadis riwayat Abu Daud (2920)

Para ulama berkata syarat mesti istihlal atau menangis dengan jeritan dalam pewarisan adalah kinayah (kiasan) bahawa waris yang dilahirkan itu hidup. Justeru, jika bayi lahir tidak menangis, tetapi terdapat tanda-tanda hayat yang lain, maka tetap sabit hak waris. 

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Sekiranya kehamilan itu disebabkan oleh si suami yang meninggal dunia, maka anak yang dilahirkan itu sabit nasab dan hak pewarisannya, dengan syarat dia lahir dalam tempoh sepanjang-panjang kehamilan (yakni 4 tahun dari tarikh mati suami).”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/353-354 & 490-491).

Berdasarkan fakta dan isu yang dibangkitkan oleh tuan yang bertanya, ternyata tuan berhak terhadap harta pusaka ayah tuan kerana tuan lahir selepas  100 hari kematian ayah tuan dan tidak melebihi sepanjang-panjang tempoh kehamilan. Wallahua’lam.