Soalan:
Assalamualaikum. Ustaz. Jika seseorang tu meninggal dunia tapi dalam badan dia ada besi maksudnye besi ditanam sebab kemalangan. Kena buang ke atau tidak?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Tidak perlu dibuang besi itu kerana telah dianggap sebahagian daripada badannya. Bahkan jika dibedah kemudian diambil maka itu adalah perbuatan yang berdosa kerana merosakkan kehormatan jasad manusia. Firman Allah Taala:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra: 70)
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.”
Riwayat Abu Dawud (3207)
Kata Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani: “Diambil faedah dari hadis ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang mukmin kekal selepas matinya Sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya.” Rujuk Fath Al-Bari (9/142)
Sabda Nabi SAW:
اغْزُوا بِسْمِ الله وفِي سَبيلِ الله قَاتلُوا مَنْ كَفَرَ بالله اغْزُوا وَلا تَغُلّوا ولاَ تَغْدِرُوا ولاَ تَمثلُوا
Maksudnya: “Berperanglah dengan nama Allah, pada jalan Allah, dan perangilah orang yang kafir dengan Allah, janganlah menipu, janganlah khianat (dalam ghanimah) dan janganlah kamu menyiat-nyiat (anggota tubuh).”
Riwayat Muslim (3/130)
Justeru, mereka yang ditugaskan untuk menguruskan jenazah tidak disyariatkan untuk membelah dan membedah mayat untuk mengeluarkan benda asing seperti besi yang dimasukkan oleh doktor untuk mengukuhkan tulang. Ini kerana benda asing tersebut berdasarkan kaedah istihlak dianggap sudah digunakan oleh badan dan menjadi sebahagian daripadanya. Jika ingin mendapatkannya maka perlu membedah jasad sedangkan membedah jasad tanpa keperluan adalah satu bentuk muthlah yakni perbuatan merosakkan jasad manusia yang diharamkan Syarak. Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj (2/59):
إنْ ابْتَلَعَ مَالَ نَفْسِهِ فَلَا يُنْبَشُ وَلَا يُشَقُّ لِاسْتِهْلَاكِهِ مَالَهُ فِي حَالِ حَيَاتِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu menelan hartanya sendiri maka tidak boleh dikorek kuburnya dan dibelah jasadnya (untuk mengambil harta itu) kerana hartanya itu sudah digunakan semasa hayatnya.”
Semoga pencerahan ini memberikan manfaat kepada kita semua.