اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #747 : HUKUM MEMBAYAR MAHAR SECARA HUTANG

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum suami membayar mahar secara hutang?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.”

Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (4/75)

Kami ada menghuraikan persoalan mahar di: https://goo.gl/YqSwGN

Berkenaan hukum membayar mahar secara hutang, maka hukumnya adalah diharuskan. Menurut al-Fiqh al-Manhaji (4/77):

Mas kahwin tidak mempunyai kadar minimum dan maksimumnya. Setiap sesuatu yang dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, boleh dijadikan mas kahwin sama ada sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat, seperti kain, sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran. Firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ

Maksudnya:  “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.”

                                                                                                              (Surah al-Nisa’: 24)

            Ayat ini hanya menyebut harta (المال) semata-mata tanpa menetapkan kadar yang tertentu.

Begitu juga, hadith Rasulullah SAW bersabda:

أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Engkau berikanlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Dan hadith yang lain, daripada Amir bin Rabi’ah RA, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwinnya, seperti kasut. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu redha dengan mendapat sepasang kasut sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”

Riwayat al-Tirmidzi (1113)

Ini menunjukkan mahar yang diserahkan secara hutang adalah dibenarkan, berdasarkan persetujuan isteri. Namun begitu, hendaklah ditentukan waktunya kerana itu adalah hak isteri. Menurut al-Fiqh al-Manhaji:

“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan kesemuanya sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhan itu hendaklah ditentukan masanya. Ini kerana mas kahwin itu milik isteri. Dia berhak meminta disegerakan atau ditangguhkan mengikut kehendaknya. Apabila mas kahwin tersebut diminta agar diserahkan segera, maka isteri berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehinggalah mas kahwin diterimanya. Jika mas kahwin itu dipersetujui untuk ditangguhkan, isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana dia sendiri telah bersetuju dengan penangguhan tersebut.”

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat kita simpulkan beberapa perkara:

  1. Mahar adalah pemberian yang wajib diberikan kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai. Ia boleh diberikan secara tunai atau hutang.
  2. Akad nikah yang tidak dinyatakan mahar adalah sah, walaupun mahar tetap wajib diserahkan kemudiannya.
  3. Mahar adalah hak isteri. Justeru, isteri ada hak untuk menghalang diri daripada disetubuhi suami sekiranya suaminya belum memberikannya mahar yang dia minta untuk segerakan.
  4. Sekiranya isteri telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran mahar, maka dia tidak lagi layak menghalang diri daripada dipersetubuhi oleh suaminya. Namun, penangguhan itu perlu ditetapkan masanya.

Wallahua’lam.