اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #749 : SOLAT DI KAWASAN YANG SIANG DAN MALAMNYA MENCECAH 6 BULAN

Soalan :

Bagaimana solat di kawasan artik yang mana tempoh siangnya adalah selama 6 bulan. Begitu juga malamnya.

Jawapan :

Alhamdulillah. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan sekalipun. Dan waktunya juga adalah waktu yang telah ditetapkan. Ini berdasarkan firman Allah :

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya :” Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’ : 103)

Nabi saw juga menjelaskan dengan begitu terperinci tentang 5 waktu solat yang wajib dilakukan. Daripada Abdullah Bin Amru Bin al-‘As. Nabi saw bersabda :

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغْرُبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ

Maksudnya :” Waktu Zuhur adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang. Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.”

Riwayat Muslim (173)

Walau apa jua keadaan, solat mesti ditunaikan pada waktunya.  Bagi persoalan yang dikemukakan, siang di kawasan artik mencapai 6 bulan sehingga tidak boleh dibezakan bilakah matahari terbit dan bilakah matahari terbenam. Situasi seperti menyebabkan kesukaran untuk menentukan waktu solat. Melihat kepada situasi ini para ulama memberikan 2 solusi penyelesaian agar solat boleh ditunaikan pada waktunya.

  1. Waktu solat boleh ditentukan berpandukan waktu solat di negara terdekat yang siang dan malamnya boleh dibezakan dalam masa 24 jam. Ini berdasarkan hasil istinbat dari hadis yang diriwayatkan oleh Talhah Bin Ubaidillah. Nabi saw bersabda :

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ

Maksudnya :” Lima solat adalah pada (waktu) siang dan malam.”

Riwayat Muslim (109)

Pandangan ini juga berdasarkan peristiwa Isra’ dan Mikraj ketika mana Nabi saw ditaklifkan dengan 50 waktu solat. Nabi berulang-alik sehingga dikurangkan menjadi 5 waktu solat. Sehinggalah Allah berfirman  :

يَا مُحَمَّدُ إِنَّهُنَّ خَمْسُ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

Maksudnya :” Wahai Muhammad, kesemuanya adalah lima kali solat pada waktu siang dan malam.”      

Riwayat Muslim (429)

Maka mana-mana negera terdekat yang siang dan malamnya boleh dibezakan dalam 24 jam, perlu diikut waktu tersebut untuk menentukan waktu solat. Seperti contoh, antara negara terdekat adalah negara Sweden. Di Sweden waktu matahari terbit adalah pada pukul 3.51 pagi dan terbenam pada pukul 9.40 malam.Jika dikira-kira maka waktu zohor akan masuk pada pukul 12.45 tengahari. Waktu asar pada pukul 5.18 petang, waktu Isyak pada pukul 11.23 malam dan waktu subuh pada pukul 1.57 pagi.

 

  1. Mengikut waktu solat Mekah.Ini kerana waktu di Mekah lebih muktadil jika dibandingkan dengan negara-negara sekitar artik. Di situ la tempat turunnya wahyu. Ini dapat dilihat apabila Allah swt menyebut Mekah sebagai Ummul Qura pusat bagi kawasan-kawasan sekitar. Firman Allah swt :

وَلِتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ

Maksudnya :” dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya.”

(Surah al-‘An’am : 92)

 

Ini adalah pandangan Sheikh Ali al-Qurah Daghi [1]Sheikh Rashid Redha[2] , Sheikh Mustafa al-Zarqa dan juga fatwa yang dikeluarkan oleh Haiah Kibar Ulama di Saudi.

Kesimpulannya, kami lebih cenderung kepada pandangan yang kedua disebabkan waktu di negara Mekah adalah lebih muktadil berbanding negara-negara di sekitar artik.Ini memberi keluasan dan keringanan berbanding waktu di negara terdekat yang mana jarak antara waktu solat agak dekat yang boleh menyebabkan kesusahan.

Akan tetapi kami menasihatkan agar merujuk terlebih dahulu pihak autoriti Muslim di sana (jika ada) agar tidak berlakunya salah faham dan perselisihan.

Wallahu’alam.

 

[1] http://www.qaradaghi.com/chapterDetails.aspx?ID=659

[2] Rujuk Fatawa Rashid Ridha (5/2577-2588)