Soalan:
Assalamualaikum S.S Mufti, di rumah saya terdapat banyak pakaian dan barangan lama yang tidak terpakai. Setiap kali saya ingin sedekahkan, pasti sahaja akan berlaku pergaduhan antara saya dengan ibu yang mengatakan saya ingin membuang barangan tersebut. Saya ingin memohon nasihat tuan Mufti berkenaan isu ini.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini, sebarang perbezaan pendapat yang berlaku di antara seorang anak dengan ibubapa hendaklah ditangani dengan akhlak dan tutur kata yang baik. Ini kerana, Allah S.W.T berfirman:
وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertutur kepada keduanya dengan perkataan yang mulia.
Surah Al-Isra’ (23)
Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: ‘’Iaitu ucapan yang lemah lembut, baik, serta penuh adab, memuliakan, dan membesarkan (kedua ibubapa). Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (5/65).
Justeru, hendaklah seorang anak itu memberikan penerangan dengan penuh hemah dan berakhlak kepada ibunya berkenaan kelebihan sedekah dan menginfakkan harta kerana Allah S.W.T kepada golongan yang lebih memerlukan, serta berusaha untuk menghilangkan kekeliruannya dalam hal tersebut.
Kelebihan Sedekah
Terdapat begitu banyak kelebihan-kelebihan bersedekah di jalan Allah S.W.T yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi S.A.W. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
Surah Al-Baqarah (261)
Ini merupakan suatu dalil yang jelas menunjukkan betapa besarnya pahala sedekah yang boleh menghasilkan 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya. Ayat ini umum meliputi sebarang bentuk sedekah sama ada ia datang dalam bentuk harta benda, makanan dan minuman, pakaian, dan seumpamanya.
Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah S.W.T tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.
Surah Saba’ (39)
Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (20/413).
Manakala dalil paling jelas berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ لَبِسَ ثَوْبًا جَدِيدًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي . ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي أَخْلَقَ أَوْ أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ كَانَ فِي كَنَفِ اللَّهِ وَفِي حِفْظِ اللَّهِ وَفِي سِتْرِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا
Maksudnya: Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: ‘’Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku’’. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.
Riwayat Ibn Majah (3557)
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami megemukakan kepada penyoal supaya dapat bersifat matang dan berhemah dalam memberikan penjelasan kepada ibu mengenai kelebihan dan ganjaran besar dari amalan bersedekah. Sesungguhnya pahala bagi mereka yang menyedekahkan pakaian lama amat besar sehingga mendatangkan kebaikan sehinggalah selepas kematian sebagaimana yang telah disebutkan.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.