اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #774: HUTANG YANG SUDAH TERLALU LAMA

Soalan:

Situasinya begini, suatu ketika dahulu zaman 90 an si polan pernah meminjam duit sesebuah persatuan, lalu beredarnya zaman. Apabila persatuan tersebut mengemaskini data maka terjumpalah bahawa si polan berhutang. Apabila perkara ini dinyatakan kepada si polan, si polan pun belum pasti ingat atau tidak yang dia pernah berhutang.

Andaikata persatuan mengambil kata putus untuk menghalalkan sahaja lalu bagaimana, adakah halal sahaja si polan ini tadi menggunakan duit persatuan.

Jawapan:

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hutang menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القرض).

Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir: ‘قرضت الشيئ قرضا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT menjelaskan berkenaan hutang dan permasalahannya dengan panjang lebar dalam ayat 282-283, Surah al-Baqarah.

Hutang yang dipinjam wajib dilunaskan dalam jumlah yang sama dengan yang diterima daripada pemiliknya dalam tempoh yang disepakati. Orang yang berhutang wajib melunaskan hutang dan apabila telah sampai tempoh yang disepakati dan dia sudah merasa berkemampuan untuk melunaskannya. Rasulullah SAW melarang daripada menangguhkan pembayaran hutang. Sabda Baginda SAW:

مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِىءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: "Penangguhan orang yang telah berkecukupan adalah perbuatan zalim, dan apabila tagihanmu dipindahkan kepada orang yang berkecukupan, maka hendaknya dia pun menurutinya."

Riwayat Muslim (4085)

Dalam menjawab persoalan di atas, isu utama adalah sejauh mana kuasa yang diberikan kepada pemegang amanah. Apakah boleh untuknya memberi kelonggaran kepada yang berhutang agar tidak dibayar hutang dan dilupuskannya.

Kami berpendapat amat wajar isu seperti ini dibincangkan secara bersama dan dikhabarkan kepada yang berhutang dengan pembuktian yang ada. Ini bertujuan agar berlaku kenalpasti akan perkara yang sebenarnya. Begitu juga amat wajar adanya persaksian dalam isu keberhutangan ini. Ini bertujuan supaya hujah dan bukti begitu nyata.

Pada asalnya, sifat amanah untuk membayar hutang hendaklah menjadi agenda utama dalam kamus kehidupan seseorang. Saya nukilkan sebuah kisah berkenaan dengan seorang yang ingin membayar hutang seperti yang termaktub dalam Sahih Bukhari:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW bahawa beliau pernah mengisahkan: bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”

Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.

Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.

Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.

Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu."

Riwayat al-Bukhari (2291)

Semoga kisah ini memberi motivasi dan semangat kepada kita dalam melangsaikan hutang. Ameen.