Soalan :
Assalamualaikum S.S Datuk.Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah terapi al-Quran? Apakah hukumnya?
Jawapan :
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, terapi membawa maksud rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa menggunakan ubat atau pembedahan. Terapi al-Quran pula bermaksud merawat penyakit secara proses pemulihan dengan menggunakan al-Quran.
Secara asasnya, al-Quran adalah penyembuh, doa dan zikir yang paling mustajab. Firman Allah swt :
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya :” Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Surah al-Isra’ :82)
Kata Imam al-Baidawi berkenaan ayat ini :
“Iaitu yang boleh menguatkan agama mereka dan juga memberi kebaikan seperti ubat penyembuh bagi orang yang sakit.”
Rujuk Tafsir al-Baidawi ( 3/445)
Begitu juga firman Allah swt :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya :” Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Yunus : 57)
Terapi al-Quran lebih kurang sama dengan ruqyah Syar’iyyah. Iaitu membaca al-Quran sebagai usaha penyembuhan. Bezanya ialah terapi al-Quran lebih kepada pesakit untuk membacanya sendiri berbanding mencari orang untuk membacakan ruqyah kepadanya.
Perlakuan ini tidak ada masalahnya selagi mana tidak melakukan perkara-perkara yang syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh ‘Auf Bin Malik al-‘Asyja’ie. Sabda Nabi saw :
اعْرِضُوا عَلَىَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ
Maksudnya :” Bentangkan kepadaku ayat ruqyah kalian. Tidak mengapa untuk beruqyah selagi mana tidak ada syirik.”
Riwayat Muslim (5862)
Kata Sheikh ‘Azim al-Abadi :
“Hadis ini menjadi dalil keharusan untuk beruqyah dan berubat menggunakan apa yang tidak ada kemudaratan dan juga dengan sesuatu yang tidak bercanggah dengan syara’.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud ( 10/266)
Oleh itu, kami melihat terapi menggunakan al-Quran tidak menjadi kesalahan. Bahkan ia juga adalah salah satu cara untuk menenangkan jiwa dan hati. Firman Allah swt :
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّـهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya :” Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’du : 28)
Kesimpulannya, harus dan tidak mengapa untuk berterapi dengan al-Quran kerana ia adalah salah satu cara penyembuhan dan juga penyebab tenangnya hati. Di samping itu kami mengesyorkan beberapa perkara berkenaan kaedah terapi ini :
- Berusaha untuk memperbetulkan bacaan ayat al-Quran
- Cuba untuk memahami setiap ayat al-Quran yang digunakan sebagai terapi.
Wallahu’alam.