اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #804 : PUASA QADHA' RAMADHAN LEBIH UTAMA BERBANDING PUASA NAZAR

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Antara puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa Nazar, puasa yang mana perlu didahulukan perlaksanaaannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Puasa Ramadhan adalah puasa yang disyariatkan untuk kita laksanakan pada waktunya. Jika kita meninggalkannya kerana suatu uzur atau bukan, maka wajib bagi kita menggantikannya. Sekiranya kita melewat-lewatkannya, hingga memasuki Ramadhan yang baharu, maka kita berdosa dan wajib menggantikannya dan membayar fidyah atas kecuaian kita.

Adapun puasa nazar, asalnya hukum berpuasa selain bulan Ramadhan itu adalah sunat, dan menjadi wajib apabila dinazarkan oleh kita. Timbul persoalan, antara perlaksanaan puasa nazar dan puasa qadha’ Ramadhan; mana yang perlu kita utamakan perlaksanaannya?

Jawapannya ialah hendaklah kita mendahulukan qadha puasa Ramadhan berbanding puasa nazar. Ini kerana perintahnya melaksanakannya lebih akid (lebih kuat) berbading puasa nazar. Allah SWT berfirman:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;”

(Surah al-Baqarah: 184)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (6/391):  “Berkata para ashab kami (Syafieyyah): Apabila seseorang bernazar untuk berpuasa Dahr (setahun), maka sah nazarnya tanpa khilaf dan lazim (wajib) baginya untuk menepati nazar itu tanpa khilaf, dan jadilah Hari-Hari Raya, Hari-Hari Tasyriq, Bulan Ramadhan dan hari-hari qadha Ramadhan itu, sebagai pengecualian.”

Ini kerana menangguhkan qadha Ramadhan sehingga melangkau Ramadhan yang baharu, tanpa keuzuran adalah haram. Sedangkan nazar tidak boleh dibuat bagi perkara yang haram.

Keutamaan ini sesuai dengan kaedah fiqh:

إذَا تَعَارَضَ وَاجِبَانِ أَوْ حَرَامَانِ قُدِّمَ آكَدُهُمَا

Maksudnya: “Jika bertembung antara dua perkara yang wajib, atau antara dua perkara yang haram, maka didahulukan perkara yang mana lebih kuat.”

Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/165) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami

Justeru, hendaklah seseorang yang mempunyai puasa qadha Ramadhan dan puasa nazar, mengutamakan puasa qadha. Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada orang yang bertanya. Wallahua’lam.